TIADA sesiapa yang mahu dirinya ditimpa kesakitan. Apatah lagi jika penyakit yang menyerang itu boleh membawa maut seperti kanser. Pastinya, perasaan gerun menguasai diri dan kematian sudah membayangi diri.

Namun demikian, kudrat seorang insan sememangnya tidak mampu melawan qada dan qadar. Semua itu sudah diatur dan disusun cantik oleh-NYA sejak azali lagi.

Sejauh mana pun kita berlari, andai sudah tersurat begitu takdirnya, masanya akan tiba jua. Pun demikian, mereka yang diuji dengan kesakitan tidak boleh berserah kepada takdir semata-mata.

Ketahuilah, Islam mengajar agar umatnya berikhtiar mencari penawar di atas setiap kesakitan yang dialami, selain bertawakal dan berdoa mengharapkan kesembuhan daripada-NYA.

Surah al-Fil
BERSABARLAH andai diuji dengan kesakitan dan jangan pernah menyerah begitu sahaja tanpa berusaha serta berikhtiar untuk mencari penawarnya.

Selain mendapatkan rawatan daripada mereka yang pakar dalam perihal perubatan, ayat al-Quran dijadikan sebagai medium penting untuk pulih.

Untuk penyakit kanser misalnya, antara pendekatan rohani yang sering kali dijadikan amalan adalah dengan melazimkan bacaan Surah al-Fil saban hari. Hal itu banyak sekali dikongsikan menerusi di platform media sosial.

Apakah sebenarnya kekuatan dan keistimewaan yang tersirat dalam surah berkenaan? Seperkara lagi, benarkah penyakit kanser datang daripada gangguan jin?

Kekuasaan ALLAH SWT

Sinar Islam mewawancara pendakwah Muhammad Hadi Talhah bagi mengupas lanjut mengenainya. Sebelum berbicara lanjut mengenainya, beliau memperincikan inti pati Surah al-Fil terlebih dahulu.

MUHAMMAD HADI

Ujar beliau, surah ke-105 dalam al-Quran itu diturunkan di Makkah (Makiyyah). Ia memerihalkan tentang bagaimana ALLAH SWT bertindak ke atas tentera bergajah yang dipimpin oleh Abrahah al-Ashram untuk meruntuhkan Kaabah.

"Abrahah sebenarnya diutuskan oleh Raja an-Najasyi untuk bertindak demikian. Ini kerana di Yaman, ada sebuah gereja besar. Mereka berpandangan, sekiranya Kaabah tidak diruntuhkan, orang tidak akan datang untuk beribadat di sana.

"Namun, kuasa ALLAH SWT mengatasi segalanya. Walaupun gajah ialah haiwan yang besar dan kuat, malangnya ia tidak boleh mendekati Kaabah, seolah-olah ada sesuatu yang menghalangnya.

"Bayangkan kekuasaan ALLAH SWT melindungi dan memelihara kiblat umat Islam. Akhirnya, DIA mengutuskan burung Ababil yang mana setiap burung berkenaan membawa tiga biji batu daripada neraka. Lalu, dilontarkan batu itu kepada tentera-tentera bergajah tadi menyebabkan mereka musnah bagaikan daun yang dimakan oleh ulat," jelasnya.

Berdasarkan kisah itu, jelas Muhammad Hadi, ia membuktikan betapa hebat dan berkuasanya ALLAH SWT yang menciptakan dan menguasai sekalian alam.

Surah al-Fil
AMALKAN membaca Surah al-Fil selepas solat fardu.

"Ia sebagai satu bentuk peringatan. Rumah ALLAH sentiasa dalam peliharaan-NYA. Jangan ada usaha untuk merobohkannya," tegasnya.

Surah itu walaupun tiada satu pun dalil yang mengisahkan tentang merawat penyakit kanser, namun ujar pendakwah itu, ia sering kali dilazimkan sebagai amalan.

Boleh dikatakan, pendekatan tersebut sebagai satu bentuk percubaan oleh kebanyakan masyarakat kita pada hari ini. Semuanya demi menghancurkan sel-sel kanser, terangnya.

Beliau menambah, terdapat beberapa tatacara tertentu untuk mengamalkannya. Antaranya, surah berkenaan dibaca pada setiap kali selepas solat fardu. Ini kerana ia antara waktu doa mudah dikabulkan oleh ALLAH.

Usai sahaja solat fardu, bacalah Surah al-Fatihah sebanyak satu kali, Surah al-Ikhlas (tiga kali), selawat ke atas nabi (tiga kali) dan kemudian diikuti dengan Surah al-Fil sebanyak 21 kali secara konsisten selama 21 hari.

"Seperkara, setiap kali membaca Surah al-Fil, hembus atau tiup pada anggota yang terkena kanser itu jika ia melibatkan penyakit di luar. Ketika hembus itu, niatlah supaya ALLAH SWT menghancurkan sel-sel kanser berkenaan seperti daun-daun yang dimakan oleh ulat.

"Seandainya kanser itu melibatkan tempat yang dalam seperti usus, limpa dan sebagainya, maka setiap kali selepas membaca Surah al-Fil, tarik nafas dalam-dalam seolah-olah kita sedang 'masukkan' surah itu ke dalam jasad kita.

"Lakukanlah ia dengan penuh keyakinan, sabar dan mengharapkan agar ALLAH SWT memberikan kesembuhan. Insya-ALLAH dengan keizinan-NYA, penyakit boleh pulih," katanya.

Gangguan jin

Begitupun, Muhammad Hadi yang juga pengamal perubatan Islam menegaskan, semua usaha tersebut hanyalah sebagai asbab atau wasilah semata-mata.

"Kita hanya mampu berikhtiar merawat mengikut kaedah ruqyah dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran. Apa-apapun ingatlah, hanya ALLAH SWT sahaja yang berkuasa untuk menyembuhkan penyakit," katanya.

Surah al-Fil
SELAIN mengamalkan bacaan Surah al-Kahfi, teruskan mendapatkan rawatan daripada pihak yang pakar untuk kesembuhan penyakit yang dihadapi.

Pada masa sama, pendakwah itu mengingatkan agar mereka yang mengamalkannya itu teruskan berikhtiar dengan rawatan moden. Gabungan kedua-duanya adalah lebih baik.

"Di samping itu, penyakit juga boleh dirawat dengan cara bersedekah sebagaimana disebutkan dalam sebuah Hadis Riwayat Abu Daud sebagai satu jalan untuk sembuh.

"Jangan lupa berdoa minta supaya ALLAH sembuhkan penyakit di samping rawatan moden dan ruqyah. Kemudian, banyakkanlah beristighfar. Barangkali kita sakit akibat dosa-dosa yang dilakukan sebelum ini. Semoga dengan istighfar penuh keikhlasan akan terangkatlah dosa-dosa tadi," katanya.

Iklan

Benarkah penyakit kanser datang daripada gangguan jin? Menjawab persoalan itu, Muhammad Hadi lantas mengiyakan, tetapi beliau menegaskan tidak semua penyakit berpunca daripada makhluk ALLAH yang satu itu.

"Ya, kadang-kadang ada juga penyakit kanser akibat daripada gangguan jin. Adakalanya jin boleh menyebabkan organ-organ kita sakit apabila ia berada di dalam badan. Jadi, kita kena buat ruqyah terlebih dahulu untuk mengesannya.

"Jika benar ada gangguan jin, besar kemungkinan ia punca kepada penyakit kronik tersebut. Seandainya tidak, ia merupakan penyakit fizikal daripada pelbagai penyebab lain antaranya faktor pemakanan, genetik dan seumpamanya.

"Maka, sebab itulah pentingnya untuk kita mendapatkan kedua-dua jenis rawatan iaitu moden dan ruqyah," jelasnya.

(Artikel berkaitan: Amalkan ayat al-Quran ini untuk penawar semua penyakit. Insya-ALLAH dengan izin-NYA)

Amalan segelintir ulama

Fakta yang dilontarkan oleh Muhammad Hadi turut dipersetujui oleh perawat perubatan Islam, Dr Jahid Sidek.

DR JAHID

Agamawan itu menjelaskan, inti pati Surah al-Fil sarat dengan kudrat dan iradat ALLAH menghancurkan dalam tentera Abrahah yang mahu menyerang Kaabah.

Maka, disebabkan itulah orang awam dan segelintir ulama memilih surah berkenaan untuk ruqyah, ungkapnya.

"Misalnya, para ulama yang hatinya sentiasa memandang hakikat, semua ayat al-Quran boleh digunakan untuk merawat apa jua penyakit. Ia termasuklah penyakit yang boleh membawa maut seperti kanser.

"Bagi mereka, ungkapan kalimah Bismillahir rahmanir rahim sahaja pun sudah memadai sebagai doa penyembuh kepada pelbagai penyakit.

"Namun begitu, bagi orang Mukmin di luar (umpamanya orang awam), mereka tetap juga memilih ayat-ayat yang menyebut kekuasaan ALLAH atau kisah-kisah tertentu yang telah atau akan berlaku," katanya.

Menyambung hujahnya, Dr Jahid yang merupakan pakar rujuk dalam bidang perubatan Islam itu menjelaskan, rata-rata perawat yang menggunakan Surah al-Fil sebagai wasilah menumpukan seluruh kekuatan rohani terhadap rahmat dan pertolongan ALLAH SWT. Ia terutama pada dua ayat terakhir surah berkenaan.

"Ketika itu, perawat akan membayangkan ALLAH dengan rahmat dan inayah-NYA membinasakan syaitan atau jin yang menyebabkan kanser atau apa sahaja penyakit lain.

"Ia sebagaimana ashabul fil (bala tentera bergajah) dibinasakan oleh ALLAH. Maka demikianlah juga halnya ALLAH SWT membinasakan syaitan atau jin yang menjadi penyebab kapada kanser.

"Cuma, kadangkala ada segelintir perawat akan menambahkan bacaan Surah al-Fil dengan ayat-ayat al-Quran lain antaranya Surat al-Hasyr, ayat 21 hingga 24. Malah, ada juga sesetengah daripada mereka turut menambah bacaan ayat 63 dan 64, Surah Yasin," ujarnya.

Kepada satu soalan, Dr Jahid berkata: "Sebenarnya terlalu banyak kelebihan yang dikurniakan kepada orang Mukmin yang istiqamah mengamalkan Surah al-Fil.

"Antaranya mendapat pahala, dikurniakan pelbagai rahmat dan nimat zahir serta batin, ditakuti dan digeruni musuh, menjauhkan diri daripada godaan syaitan, selain diberi kesabaran dan ketenangan.

"Bahkan, mereka yang melazimkannya juga akan selamat dan aman daripada pelbagai penyakit zahir serta batin, dikuatkan iman, mudah memperoleh rezeki, musuh takut dan dimusnahkan oleh ALLAH serta dikurniakan kubur yang terang lagi lapang," katanya menoktahkah bicaranya.

Al-Quran penawar jasmani, rohani umat Islam

Iklan

Al-Quran bukan sahaja mukjizat agung Nabi Muhammad SAW yang diturunkan kepada umatnya untuk dijadikan pedoman hidup.

Malah, pendakwah Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da'i Fuad menjelaskan, kalam ALLAH SWT itu sebenarnya mengandungi penawar kepada penyakit jasmani dan rohani. Ia sebagaimana disebutkan dalam kitab suci itu sendiri dan beberapa hadis masyhur.

DA'I FUAD

Antaranya, Rasulullah SAW bersabda: "Hendaklah kamu berubat dengan dua ubatan iaitu al-Quran dan madu." (Riwayat Ibnu Majah)

Firman ALLAH SWT: "Dan KAMI turunkan darial-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dengan al-Quran dan tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selaindaripada kerugian." (Surah al-Isra', ayat 82) 

Berdasarkan dalil berkenaan, kata Da'i Fuad, jelaslah banyak pengisian dalam kalamullah itu yang mempu memberikan ubat atau penawar kepada diri kita waima penyakit itu berkaitan rohani, jiwa mahupun jasmani.

Beliau juga mengajak kita mendasari satu peristiwa sahabat nabi, Abu Sa'id al-Khudri. Ketika Abu Sa'id memasuki sebuah perkampungan, beliau terserempak dengan seseorang yang sakit kerana terkena racun akibat digigit kala jengking.

"Abu Sa'id bingkas bangun dan membacakan Surah al-Fatihah. Dengan izin ALLAH, kesakitan orang itu semakin hilang.

"Sesungguhnya, kisah itu menjadi bukti bahawa kemampuan ayat-ayat al-Quran terhadap segala jenis penyakit termasuklah jiwa," katanya kepada Sinar Islam ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, Da'i Fuad menjelaskan, Nabi Muhammad SAW pernah ditimpa penyakit rohani dan jasmani. Bahkan, baginda juga pernah diuji apabila disihir oleh Labid bin al-A'sam daripada Bani Zuraiq.

"Meskipun nabi tidak sihat selama 40 hari menanggung sakit, ia tidaklah menyebabkan baginda terlupa dengan riwayat atau hadis-hadis berkaitan ilmu-ilmu agama ALLAH SWT. Baginda tetap menghadapinya dengan sabar.

"Sehinggalah apabila nabi hampir hilang kekuatan untuk meneruskan baki kehidupannya, baginda memohon kepada ALLAH SWT dengan membaca surah al-Mu'awwidzatain iaitu Surah al-Falaq dan Surah an-Nas.

"Baginda membaca kedua-dua surah itu agar diberikan kesembuhan dan menjauhkannya daripada kesakitan, selain bala bencana," katanya.

Kepada satu soalan, Da'i Fuad menjelaskan: "Mengambil sepotong atau beberapa ayat al-Quran bagi rawatan perubatan itu adalah diharuskan kerana para anbia, rasul-rasul dan orang yang soleh juga berbuat demikian dalam kehidupan mereka.

"Bahkan, orang soleh terdahulu 'menzikirkan' al-Quran hingga ayat suci itu menjadi syifak dan merawat semua jenis penyakit sama ada jasmani mahupun rohani."

Surah al-FilANEKDOT

ANTARA ayat al-Quran boleh diamalkan ketika sakit

- Sebelum merawat segala jenis penyakit, ambil dahulu faedah daripada ujian tersebut.

- Meskipun ada sebahagian penyakit yang membuatkan kita 'lumpuh' seketika untuk menjalani kehidupan, ketahuilah bahawa ia sebenarnya mendidik seseorang untuk lebih dekat dengan ALLAH SWT.

- Ia sebagaimana dinyatakan menerusi firman-NYA: "Sesungguhnya (segala keterangan yang disebutkan) ini, menjadi peringatan; maka sesiapa yang mahukan (kebaikan dirinya) bolehlah ia mengambil jalan yang menyampaikan kepada keredaan ALLAH (dengan iman dan taat)." (Surah al-Insan, ayat 29)

- Demikian ayat yang memberi kekuatan kepada kita. Apabila kita beramal dengannya, ia boleh menangkis apa sahaja jenis penyakit dalam kehidupan.

- Sebenarnya ada banyak amalan para alim ulama yang mengkhususkan beberapa penyakit dengan menggunakan beberapa ayat al-Quran tertentu.

- Antaranya, ayat yang boleh diguna pakai bagi merawat 1,001 jenis penyakit adalah ayat 80, Surah al-Syu'ara'.

- Ayat itu berbuyi: "Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku". Amalkan sebanyak 21 kali selepas solat dan zikir untuk diniatkan agar kita keluar daripada kesakitan dan diberikan kesembuhan oleh ALLAH SWT. Insya-ALLAH, DIA akan memberikan ubat daripada jalan-jalan yang diizinkan dalam agama suci ini.

- Selain itu, digalakkan juga untuk mengamalkan ayat 82, Surah al-Isra' iaitu "Dan KAMI turunkan darial-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang berimandengan al-Quran dan tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selaindaripada kerugian."

- Demikian antara ayat al-Quran yang acap kali digunakan oleh majoriti kebanyakan ulama ketika ingin merawat pelbagai jenis penyakit dalam kehidupan mereka.

Sumber: Pendakwah Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar

 Foto: Freepik