Ini 9 kelebihan 10 awal Zulhijah yang kita perlu tahu

Kelebihan bulan Zulhijah
July 22, 2020
Oleh Nurulfatiha

KITA kini sudah memasuki bulan Zulhijah. Bulan ini juga dikenali sebagai bulan haji dan ibadah korban.

Pada bulan terakhir dalam kalendar Islam inilah kita akan menyambut Hari Raya Aidiladha.


Maka, disebabkan itulah Zulhijah juga dikenali sebagai bulan yang membuka peluang kepada seluruh umat Islam untuk beribadah.

Ketahuilah, 10 hari awal Zulhijah terkandung kelebihan tersendiri. Justeru, kita perlu ambil peluang ini untuk meningkatkan amalan sepanjang tempoh berkenaan.

Kongsi pendakwah Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman, ada sembilan kelebihan 10 awal Zulhijah iaitu:

Iklan

1. Tempoh masa itu dinyatakan dalam al-Quran

Menerusi kitab suci yang mengandungi kalam-NYA, ALLAH SWT berfirman: “Demi waktu fajar (subuh). Demi malam-malam sepuluh.” (Surah al-Fajr, ayat 1-2)

Iklan

Jumhur mufassirin berpendapat, 10 malam ini adalah 1 hingga 10 Zulhijah.

2. Ayyam ma’lumat (hari-hari yang ditentukan)

Firman ALLAH SWT: “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama ALLAH, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaan-NYA kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban).” (Surah al-Hajj, ayat 28)

Ibnu Abbas mentafsirkan ayyam ma’lumat dengan 1 hingga 13 Zulhijah. Ini pendapat yang dipegang Imam Syafie dan Imam Nawawi.

(Artikel berkaitan: 6 amalan yang digalakkan pada 10 hari terawal Zulhijah)

3. Termasuk dalam 40 hari Nabi Musa bermunajat di Bukit Thur

ALLAH SWT berfirman: “Dan KAMI telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama 30 malam, serta KAMI genapkan jumlahnya dengan 10 malam lagi, lalu sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya 40 malam.” (Surah al-A’raf, ayat 142)

Dalam tafsirnya, Ibnu Kathie menyatakan, kebanyakan ulama tafsir menukilkan bahawa 40 hari ini adalah 30 hari bulan Zulkaedah dan 10 hari awal Zulhijah.

4. Terdapat Hari Arafah di dalamnya

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada hari yang lebih banyak ALLAH bebaskan hamba lebih daripada Hari Arafah.” (Sahih Muslim)

5. Ada ibadah haji

Semua orang maklum bahawa Zulhijah merupakan bulan umat Islam menunaikan Rukun Islam ke-5. Namun. Pada kali ini, kita tidak berpeluang untuk menjadi tetamu ALLAH kerana wabak Covid-19 yang sedang melanda.

Namun, ada banyak lagi amalan yang boleh kita lakukan untuk mendapat pahala.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Hari paling besar di sisi ALLAH adalah hari Nahar (10 zulhijah).” (Riwayat Ahmad)

6. Pahala berganda

Sesungguhnya pahala berganda menanti bagi sesiapa yang beramal pada 10 hari awal bulan Zulhijah.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak ada amal soleh yang lebih ALLAH sukai untuk beramal lebih dari 1 hingga 10 Zulhijah.” Mereka bertanya: “Adakah jihad di masa lain tidak menyamai?” Nabi Muhammad menjawab: “Jihad pun tidak menyamai kecuali lelaki yang keluar dengan jiwa dan hartanya berjihad, tetapi kedua-duanya terkorban.” (Sahih Bukhari)

7. Nabi Muhammad SAW berpuasa pada 1 hingga 9 Zulhijah

Perkara itu ada dinyatakan dalam hadis riwayat al-Tirmidzi, al-Bazzar dan Ibn Majah.

Kelebihan puasa setiap hari sepanjang tempoh berkenaan seperti puasa setahun dan qiamullail setiap malamnya menyamai qiamullail pada malam laitatulqadar.

8. Hari terbaik di dunia

Dalam sebuah hadis riwayat al-Bazzar, ada dinyatakan bahawa sebaik-baik hari di dunia dalah hari-hari 10 Zulhijah.

9. Salafus soleh bersungguh-sungguh beribadah pada 10 hari terawal Zulhijah

Diriwayatkan bahawa Said bin Jubair bersungguh-sungguh beribadah hingga beliau hampir tidak mampu melakukannya.

Melihat kepada keistimewaan di atas, alangkah ruginya jika kita mengabaikannya begitu sahaja.

Jom sama-sama rebut peluang untuk tingkatkan amal ibadah.

Sumber: Facebook PU Salman

Foto: Pexels

Iklan

About Nurulfatiha

Biodata Penulis