CERITA tentang keistimewaan lailatulqadar kalau dihimpunkan memang sangat banyak.

Rasanya berkajang-kajang kertas jika nak dihuraikan kesemuanya. Sesungguhnya, malam penuh barakah itu bukan calang-calang istimewanya.

Kalau kita beramal ibadah atau buat kebaikan pada malam itu, ia adalah lebih baik daripada 1,000 bulan.

Pendek kata, ibadah dan amal kita, ganjarannya adalah lebih baik jika ibadah atau kebaikan itu dilakukan daripada 1,000 bulan yang tiada lailatulqadar. Jika dihitung, 1,000 bulan itu bersamaan dengan lebih 83 tahun!

Namun, seandainya kita tidur ketika kehadiran malam agung itu, adakah ia juga dikira sebagai mendapat ganjaran ibadah selama 83 tahun?

(Artikel berkaitan: Rebut peluang, 4 tanda malam lailatulqadar)

(Artikel berkaitan: Awas! Kesilapan yang mungkin tak sedar kita buat ketika memburu malam lailatulqadar)

Iklan

Menurut Pegawai Hal Ehwal Islam di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Muhammad Fahmi Rusli, kategori tidur yang tetap mendapat ganjaran lailatulqadar adalah seseorang yang tidur dalam keadaan jantung hatinya bersih.

“Bersih dengan Tauhid. Bersih daripada kotoran syirik dan khurafat serta bersih daripada hasad, takabbur riak, ‘ujub dan segala sifat mazmumah yang lain.

“Dia tidur dalam keadaan jiwanya tenang. Tidak bermusuhan dengan sesiapa. Dia tidak menganggap dia lebih baik daripada orang lain dan tidak menganggap orang lain lebih kurang berbanding dirinya. Hatinya seperti hati burung,” terangnya menerusi ciapan di Twitter miliknya baru-baru ini.

Jelaslah bahawa begitu pentingnya untuk mencari dan memburu malam lailatulqadar ini. Berdoalah agar kita dipanjangkan umur untuk bertemu dengan lailatulqadar pada 10 hari terakhir Ramadan ini.

Iklan

Datangnya hanya setahun sekali saja. Maka, peluang itu memang sayang seandainya ia disia-siakan.

(Sumber: Twitter @fahmirusli)