NABI MUHAMMAD SAW diperintahkan oleh ALLAH SWT untuk memberitahu kepada semua manusia bahawa sesiapa yang sesat dan menyimpang daripada prinsip-prinsip syariat yang telah tetapkan-NYA, maka kemungkaran dan kesesatan itu akan menimpa diri mereka.

Firman ALLAH SWT dalam surah Yunus, ayat 108: Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Telah datang kepada kamu kebenaran (al-Quran) daripada Tuhan kamu. Oleh itu, sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beriman kepada-NYA), maka hidayah itu berguna untuk dirinya sendiri. Sesiapa yang sesat (mengingkarinya) maka bahaya kesesatannya itu mencelakakan dirinya sendiri. Aku pula bukanlah menjadi penjaga terhadap (amalan) kamu.”

Antara yang tergolong mengingkari ALLAH SWT pada hari ini adalah tindakan individu atau kumpulan dalam kalangan manusia yang berpegang kepada aliran pemikiran yang hanya tertumpu kepada penjanaan akal, logik dan buah fikiran bersifat eksperimental tanpa disatukan dengan teras Islam iaitu akidah, fiqah dan tasawuf.

Tindakan yang berlandaskan hukum akal semata-mata ditolak oleh Islam. Sesungguhnya, Islam tertakluk dengan implimentasi dan gabungan akal (akliah) dengan wahyu (naqliah).

Akal dengan segala hujahannya adalah lemah dan tertolak dengan apa yang ditetapkan oleh dalil-dalil naqliah (al-Quran, al-Sunnah, Ijmak dan Qiyas) secara mutlak jika ia tidak menepati kehendak nas atau bercanggah dengannya.

Ketahuilah, Islam tidak pernah memisahkan antara dunia dengan akhirat atau antara sains dengan agama. Semuanya saling menguatkan antara satu sama lain. Semua elemen itu begitu penting dan mempunyai peranan masing-masing.

Pemikiran sesat

Perlu dijelaskan, fahaman sekular adalah aliran pemikiran yang melahirkan fahaman humanisme (yang mengutamakan nilai-nilai, kepentingan dan maruah manusia serta tidak mementingkan nilai-nilai lain), modenisme (segala yang baharu adalah dianggap lebih baik), empirisisme (teori atau pengetahuan yang berdasarkan pancaindera sahaja yang dianggap wujud), feminisme (gerakan atau faham yang menuntut persamaan hak wanita dengan kaum lelaki) dan relativisme (tiada nilai mutlak bagi menghukum sesuatu perbuatan) yang mana semuanya adalah pemikiran-pemikiran yang membawa kepada kesesatan yang nyata.

Fahaman sesat
UMAT Islam perlu jauhi fahaman yang menyimpang daripada landasan Islam. -Gambar hiasan

Sekularisme adalah kesesatan lahir dari dunia Barat dalam mengamalkan agama mereka sendiri. Ia menular dalam pemikiran umat Islam hari ini dalam pelbagai aspek kehidupan. Sekularisme merujuk kepada sifat keduniaan yang memisahkan langsung alam rohani atau akhirat. Ia juga boleh difahami sebagai suatu pemikiran yang memisahkan roh dan jasad.

Satu lagi fahaman besar yang sesat adalah fahaman liberalisme. Liberalisme adalah aliran pemikiran yang bertujuan meningkatkan batas kebebasan yang diberikan kepada individu tanpa sekatan atau dengan sekatan paling sedikit dalam perkara-perkara berkaitan ekonomi, politik, perundangan dan sosial (kebebasan moral).

Liberalisme mempunyai gagasan pemikiran bahawa individu lebih penting daripada masyarakat, masyarakat wujud untuk individu dan individu bebas daripada nilai-nilai agama.

Aliran liberal juga mempunyai hubungan yang rapat dengan kelahiran negara demokrasi Eropah yang melaungkan cogan kata ‘kebebasan, persaudaraan dan persamaan’.

Seperkara lagi, sekularisme dan liberalisme saling berkaitan antara satu sama lain. Sekularisme menyebabkan lahirnya liberalisme dalam hal negara, politik, ekonomi dan nilai etika. Fakta-fakta yang ada memberi banyak bukti bahawa kebebasan cara fikir sesat ini tidak menjamin kedamaian dan kebahagiaan dalam masyarakat.

Kebebasan yang berlebihan kepada individu tertentu pada masa yang sama menyekat kebebasan individu lain serta menghancurkan kedamaian dan kebahagian dalam masyarakat.

Fahaman liberal atau liberalisme itu sendiri kini telah menjadi alat untuk memusnahkan insan, nilai manusiawi dan nilai-nilai baik agama-agama.

Kelompok liberalis berjuang bagi menghapuskan halangan-halangan tabii antara lelaki dengan wanita seperti rasa malu. Bagi golongan ini, sifat malu adalah satu sifat yang negatif, tidak baik dan warisan manusia purba.

Justeru, marilah kita memahami bahawa hari ini kita sedang dibelenggu oleh cara berfikir yang bercanggah dengan Islam. Dalam apa pun juga, kita boleh melihat bahawa tindakan, suara dan pendapat mereka sering berlegar dalam isu-isu cabang yang menuju ke arah pola pemikiran dan perjuangan yang sama.

Umat Islam amat dilarang mengikut cara berfikir seperti cara berfikir mereka dan hendaklah kita menolaknya secara total.

Firman ALLAH SWT: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-KU (agama Islam) yang lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) memisahkan kamu dari jalan ALLAH. Itulah diperintahkan oleh ALLAH kepada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.” (Surah al-An’am, ayat 153)

Sesungguhnya, penolakan terhadap pemikiran-pemikiran yang bertentangan dengan Islam itu perlu dibuat dengan kaedah tidak meredai cara fikir, perbuatan dan program anjuran mereka.

Individu Muslim tidak boleh menyokong apatah lagi mengambil bahagian dalam mendukung kumpulan ini. Pada masa sama, setiap Muslim hendaklah meningkatkan ilmu pengetahuan dalam mengenal ALLAH SAW, pengetahuan-pengetahuan berkaitan ilmu akidah, fiqah dan tasawuf yang merupakan ilmu fardu ain kepada kita untuk mendalaminya.

Demi memastikan Islam dan syariatnya menjadi perisai dalam gelodak pelbagai pemikiran sesat pada hari ini, umat Islam perlu mempertingkatkan kesabaran dan keimanan kepada ALLAH SWT dengan sentiasa bersyukur dan bertawajuh kepada-NYA.

Umat Islam tidak boleh hanya menyalahkan, menghina dan mencerca pihak-pihak tertentu. Sebaliknya, umat Islam perlu berhadapan dengan segala cabaran dengan kefahaman sebenar tentang agama Islam.

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor