PERASAN atau tidak, harga barang yang dibeli secara tunai dan ansuran berbeza. Kadangkala perbezaannya begitu ketara jika kiraan dibuat.

Kebanyakan barang tersebut melibatkan item yang agak tinggi harganya. Contohnya seperti barangan elektrik dan perabot.

Lazimnya, jika kita memilih kaedah pembayaran secara beransur-ansur, harga barang akan lagi mahal berbanding tunai.

Apakah hukumnya kita membeli barang secara ansuran dengan harga yang mahal jika dibandingkan dengan harga apabila dibeli secara tunai?

Persoalan ini Sinar Islam ajukan kepada pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki.

USTAZ MUSTAFAR

Jelas beliau, jumhur ulama membenarkan jual beli seperti ini. Ia kerana nilai masa pada barangan yang bukan item ribawi dan risiko yang dihadapi oleh penjual itu dibayar secara bertangguh dengan syarat yang ditentukan oleh syarak.

“Pandangan itu disebutkan oleh Imam al-kasani dalam kitabnya Bada’ie Sana’ie, Imam al-Ghazalli (al-Wasith) dan Imam Ibn Rusyd (Bidayatul al-Mujtahid),” katanya.

(Artikel berkaitan: ‘Trade in’ telefon lama, ‘top up’ lagi untuk dapatkan yang baru dikira riba?)

Beliau turut memetik pandangan Imam al-Ghazali tentang perkara itu. Kata Imam al-Ghazali: “Lima dinar bayaran secara terus, enam dinar secara tangguh.”

Ia berdasarkan hadis sahih riwayat al-Bukhari daripada Saidina Abbas RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang ingin melakukan jual beli secara bertangguh, maka hendaklah diketahui sukatannya, timbangannya dan tempohnya.”

Berdasarkan hadis umum berkenaan, jelas Ustaz Mustafar, para ulama meletakkan syarat seperti bukan barang riba, diketahui tempoh, sukatan atau timbangan dan hanya pilih satu harga bertempoh sahaja yang disepakati.

“Antara ulama moden yang berpandangan jual beli diharuskan ialah Sheikh Dr Rafiq Yusuf Masri, Sheikh Dr Taqi Uthmani dan selainnya,” katanya.

Justeru, janganlah kita melepaskan geram jika peniaga terpaksa jual dengan harga lebih tinggi berbanding tunai jika bayaran dibuat secara ansuran.

Sebaiknya berbincanglah bersama jika ingin berunding tentang soal harga. Capailah persetujuan bersama dengan peniaga untuk mendapatkan barang dihajati tersebut dengan pembayaran secara ansuran.