APABILA tibanya hari gaji, senang hati bukan kepalang. Maklum sahajalah, waktu itu sangat dinanti-nantikan. Usaha penat lelah bekerja selama sebulan ini dibayar oleh majikan.

Namun, perasaan gembira itu sebentar cuma. Ini kerana ada perkara penting yang perlu diutamakan selepas memperoleh gaji masing-masing.

Lazimnya, kita akan membayar komitmen bulanan seperti ansuran rumah, kereta, barang keperluan rumah, nafkah dan ‘menyisihkan’ sedikit wang untuk mengisi petrol dan untuk tol berulang-alik ke tempat kerja.

Itu belum wang simpanan lagi. Jika dicongak-congak, kadangkala hampir tidak berbaki lagi gaji yang baru diperoleh lagi.

Ya, semua komitmen berkenaan penting untuk dilunaskan demi kelangsungan hidup kita. Begitupun, ada satu perkara yang sangat penting perlu kita tahu tentang perihal harta yang kita peroleh.

Pendakwah Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid menjelaskan, dalam al-Quran, ALLAH SWT ada memberikan ancaman kepada orang yang culas menginfakkan hartanya ke jalan-NYA.

Harta

Firman ALLAH SWT: “Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan ALLAH, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah at-Taubah, ayat 34)

Tatkala turunnya ayat itu, Habib Ali Zaenal Abidin berkata, ada kaum Muslimin bertanyakan tentang maksud kalamullah berkenaan. Adakah ia bermaksud kita tidak boleh menyimpan harta untuk anak-anak kita?

(Artikel berkaitan: Kita sayang manusia dan harta benda, tapi ada satu perkara paling penting yang tidak boleh ditinggalkan…)

Menceritakan lebih lanjut, beliau berkata, Saidini Umar RA kemudian mewakili mereka untuk bertanyakan hal itu kepada Rasulullah SAW.

Kata Umar RA: “Ya Rasulullah, apakah maksud daripada ayat ini? Adakah bermakna kita tak boleh simpan harta untuk anak-anak kita?”

Maka, Nabi Muhammad SAW menjawab: “Sesungguhnya ALLAH tidak mewajibkan zakat kepada kamu melainkan ingin mensucikan dan membersihkan harta kamu. Dan tidak mewajibkan kepada kamu harta warisan kecuali supaya mencukupkan kepada ahli waris kamu.”

Berdasarkan sabda baginda SAW itu, ujar Habib Ali Zaenal Abidin, jelaslah dalam harta kita itu ada hak orang itu iaitu fakir miskin. Dalam erti kata lain, kita wajib membayar zakat.

“Kedua, hak kalau ditinggalkan harta itu oleh kita, (ia) bukan terbuang macam itu (sahaja), ahli waris yang berhak,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di Instagram miliknya dan cocombee baru-baru ini.

Iklan

Mereka yang menyimpan hartanya di dunia tanpa mengeluarkan zakat, ketahuilah bahawa harta simpanannya itulah yang akan membakar dirinya atau menjadi kayu bakar bagi tuannya, terang beliau.

Maka disebabkan itu, pendakwah tersebut mengingatkan agar kita tidak terlalu cintakan harta kerana ia punca kepada kesalahan.

“Bayangkan harta yang disimpan tadi akan membakar untuk memanaskan tuannya (jika tidak diinfakkan ke jalan ALLAH),” jelasnya.

Justeru, sebagai umat Islam, ingatlah kewajipan kita kepada zakat. Kita bukan sahaja perlu membayar zakat fitrah. Ada beberapa zakat lagi yang perlu kita bayar termasuklah zakat pendapatan, emas, wang simpanan dan seumpamanya.

Harta

Apabila cukup haul dan nisab, jangan culas untuk membayar zakat ini.

Iklan

Begitu juga dengan harta yang ditinggalkan. Serahkanlah kepada ahli waris yang berhak.

Semoga kita menjadi manusia yang tidak lalai dibuat dengan nikmat dunia yang bersifat sementara sahaja.

Instagram habibalizaenalalhamid dan @cocombee

Foto: Freepik, 123rf & Bernama