MADINAH begitu sinonim dengan kota Nabi Muhammad SAW. Masakan tidak, kota itu banyak menjadi saksi pelbagai peristiwa penting dan bersejarah tentang perjuangan baginda SAW demi agama Islam.

Terlalu sarat perihal bandar itu dengan kegemilangan penyebaran Islam. Bahkan, ia sering kali menjadi tumpuan umat Islam seluruh pelosok dunia ketika menunaikan ibadah haji dan umrah.

Ternyata kota Madinah masih lagi ‘menyengat’ dan ‘berbisa’ kerana menerima pengiktirafan berprestij yang bukan calang-calang.

Terbaharu, bandar Madinah yang terletak di Arab Saudi itu telah diperakui sebagai antara bandar paling sihat di dunia.

Pengiktirafan itu dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagaimana dipetik menerusi portal berita berpengaruh di Arab Saudi, Arabnews.com.

Perakuan itu diperoleh selepas pasukan WHO mengunjungi kota suci kedua umat Islam dan mengatakan, ia memenuhi semua standard global yang diperlukan untuk menjadi kota yang sihat.

Akreditasi itu sekali gus dikatakan melonjakkan nama Madinah menjadi bandar pertama dengan populasi lebih daripada 2 juta penduduk yang telah diiktiraf di bawah program bandar sihat organsasi berkenaan.

Sebanyak 22 agensi kerajaan, komuniti, badan amal dan sukarelawan membantu dalam mempersiapkan pentauliahan WHO berkenaan.

Madinah bandar paling sihat di dunia

Malah, program bersepadu bandar yang merangkumi perkongsian strategik dengan Universiti Taibah adalah untuk merekodkan keperluan pemerintah kepada platform elektronik untuk kajian organisasi.

Bukan itu sahaja, WHO turut mengesyorkan agar pihak universiti berkenaan mengambil bahagian dalam program bandar sihat.

Disebabkan itu, Dr Adul Aziz Assarani yang merupakan presiden universiti tersebut diberi tanggungjawab mempengerusikan sebuah jawatan kuasa bagi mengawasi 100 anggota yang mewakili 22 agensi kerajaan, awam, badan amal dan sukarelawan.

Selain itu, kriteria terbabit termasuklah mencapai objektif yang ditetapkan oleh Projek Strategi Wilayah Madinah dan pelancaran program Humanizing Cities.

WHO ketika memperincikan maksud kota yang sihat menjelaskan, ia adalah kota yang terus-menerus mencipta dan memperbaiki lingkungan fizikal dan sosial selain memperluas sumber-sumber masyarakat yang memungkinkan orang untuk saling mendukung dalam melaksanakan semua fungsi kehidupan dan mengembangkan potensi maksimum mereka.

Untuk rekod, dalam kalangan negara-negara Arab di Teluk Parsi, bandar Sharjah di Emiriah Arab Bersatu menjadi kota pertama yang secara rasmi diperakui WHO/Pejabat Wilayah WHO untuk Wilayah Mediterranean Timur sebagai kota sihat pada tahun 2015, lapor emro.who.int.

Ia kemudian diikuti oleh lima kota di Arab Saudi dan masing-masing satu di Bahrain, Kuwait dan Oman pada tahun 2018 dan 2019.

Keistimewaan Madinah

Menelusuri historiografi Madinah, ia amat menarik untuk disingkap. Bayangkan, bandar itu memiliki sekurang-kurangnya 29 nama.

Ia sebagaimana dinukilkan oleh seorang ahli geografi Abbasiyah, Yaqut al-Hamawi menerusi bukunya, Mu’jam al-Buldan.

Madinah bandar paling sihat di dunia

Antara nama yang paling masyhur dan kerap kali digunakan sebelum Madinah ialah Yathrib, Taibah dan Tabah.

Di bandar Madinah itulah menyaksikan satu peristiwa penting dalam kalendar Islam yang dikenang sehingga hari ini. Ia adalah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah yang dirakamkan pada 622 Masihi.

(Artikel berkaitan: Betul ke buku amalan kita dibawa naik ke langit pada malam Awal Muharram?)

Orientalis Barat menganggap penghijrahan itu sebagai suatu tindakan melarikan diri. Hakikatnya, Rasulullah SAW berhijrah kerana jemputan penduduk Madinah sendiri.

Ini kerana Madinah mempunyai dua puak berbeza iaitu Aus dan Khazraj, di samping tiga suku Yahudi (Bani Qanuka’a, Bani Nadhir dan Bani Quraizah.

Puak Aus dan Khazraj yang menguasai Yathrib sering kali berbalah dan berperang sesama mereka.

Mengikut ahli sejarah Islam, kedua-dua puak itu mengetahui kewujudkan seorang rasul di Makkah dan pengikutnya sering diseksa oleh kaum Quraisy, Makkah.

Mereka akhirnya membuat keputusan untuk berjumpa dengan Rasulullah bagi mengatasi konflik antara mereka.

Maka, Nabi Muhammad SAW lantas bersetuju bersama pengikutnya untuk berhijrah ke Yathrib yang kemudiannya dikenali sebagai Madinah al-Munawwarah.

Madinah bandar paling sihat di duniaUsaha baginda SAW yang membentuk perlembagaan dikenali sebagai Piagam Madinah telah menyatu padukan seluruh penduduk di bandar berkenaan.

Iklan

Bukan sahaja kaya dengan peristiwa sejarah Islam, kota Madinah juga terkenal dengan keistimewaannya yang tersendiri, sesuai dengan gelarannya sebagai Tanah Suci.

Memetik artikel yang disiarkan menerusi portal haji.okezone.com, terdapat 13 keistimewaan yang disenaraikan.

Portal berkenaan memetik inti pati daripada Buku Cerdas Haji dan Umrah Maabrur itu Mudah & Indah dan Fadha’il al-Madinah al-Munawwarah karangan Syaikh Khalil Mulla Khatir dan Syaikh Muhammad bin Yusuf asy Syami.

Buku berkenaan menyebut antara keistimewaan Madinah ialah:

1. Madinah ialah Tanah Haram dan tempat aman. Bahkan, dajal pun tidak akan masuk ke dalam kota berkenaan.

2. Bandar itu merupakan tempat masuk yang benar. Ia sebagaimana disebutkan dalam firman ALLAH SWT: “Dan katakanlah (Muhammad), ‘Ya Rabb ku, masukkan aku ke tempat masuk yang benar dan keluarkan (pula) aku ke tempat keluar yang benar.” (Surah al-Isra, ayat 80)

Madinah bandar paling sihat di dunia3. Rasulullah SAW dikhabarkan banyak mendoakan Madinah. Maka, tidak hairanlah terdapat banyak berkat yang berlipat ganda sepertimana yang terdapat di Madinah.

4. Madinah dan Makkah dapat menggantikan posisi Masjidil Aqsa bagi orang yang bernazar untuk melakukan solat atau iktikaf di masjid berkenaan. Namun begitu, tiada mana-mana tempat yang dapat menggantikan selain Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

5. Madinah ialah tempat hijrah Nabi Muhammad dari kota Makkah.

6. Di bandar itu jugalah, adanya manusia terbaik. Di situlah tempat orang-orang terbaik daripada umat Islam dimakamkan termasuklah para sahabat dan generasi seterusnya.

7. Dosa kecil di Madinah akan dicatatkan sebagai dosa besar.

Iklan

8. Madinah memiliki sebidang tanah paling mulia. Di situlah terdapat makam Nabi Muhammad SAW.

9. Masjid Nabawi yang berada di Madinah dibangunkan dengan tangan Rasulullah SAW, selain dibantu para sahabat. Ia dikatakan masjid terakhir para nabi dan masjid nabi.

10. Kiblat di Masjid Nabi dan Masjid Quba (masjid pertama dibina Nabi Muhammad SAW ketika dalam perjalanan hijrah dari Makkah ke Madinah) merupakan kiblat paling lurus di muka bumi.

11. Solat di Masjid Nabawi adalah lebih utama dari 1,000 kali pahala. Keutamaan itu meliputi solat fardu dan solat sunat. Ketahuilah, jika kita menunaikan solat Jumaat sekali di Masjid Nabawi, pahalanya sama dengan 100 kali solat di masjid lain kecuali Masjid al-Haram.

12. Barang siapa yang solat 40 kali waktu berturut-turut di Masjid Nabawi, mereka akan dibebaskan dari api neraka, diselamatkan daripada azab dan dijauhkan dari sifat munafik.

13. Antara mimbar nabi Masjid Nabawi dan rumah Rasulullah SAW, terdapat Raudhah yang hanya terdapat di kota Madinah. Kawasan itu merupakan tempat mustajabnya doa. Sebab itulah ramai berlumba-lumba untuk berdoa di kawasan itu.

Madinah bandar paling sihat di dunia

Madinah yang dahulunya sebuah penempatan yang tidak maju sebelum peristiwa hijrah, kini telah pesat membangun. Bandar itu kini memiliki sekurang-kurangnya 309 buah sekolah termasuk 112 buah sekolah rendah, 95 buah sekolah perantara dan 102 buah sekolah menengah.

Terlalu banyak sebenarnya yang sejarah Islam dan keistimewaan yang dirakam di Madinah. Pengiktirafan bandar paling sihat di dunia melakar satu lagi akreditasi baharu buat kota Nabi Muhammad SAW itu.

Semoga negara-negara Islam yang lain juga bakal mengikut jejak langkah Madinah untuk menjadi bandar paling sihat di dunia selepas ini.

Sumber & Foto: Arabnews.com, Kompas.com, emro.who.int/, https://ms.wikipedia.org/, haji.okezone.com & detik.com