SELEPAS 47 hari ‘berkurung’ akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini semuanya mula berubah.

Masakan tidak, boleh dikatakan hampir semua sektor ekonomi sudah mula dibuka. Walaupun suasananya jauh berbeza dengan sebelum ini, namun kehidupan tetap perlu diteruskan.

Bezanya cuma new normal yang perlu kita praktikkan dengan menjaga penjarakan sosial, memakai topeng muka, tidak boleh berkumpul dan sebagainya. Ya, itulah yang bakal kita hadapi dalam hari-hari yang mendatang yang entah sampai bila ia akan berakhir.

Namun begitu, di sebalik keterujaan untuk menempuh new normal itu, masih ramai lagi yang bertanya kenapa masjid dan surau tidak boleh dibuka seperti sektor ekonomi yang lainnya.

Barangkali mereka beranggapan sepatutnya rumah-rumah ALLAH sudah boleh dibuka dengan prosedur operasi standard tertentu, namun nampaknya harapan itu masih belum kesampaian.

Kenapa hampir semua sektor ekonomi dibuka, tetapi masjid masih lagi ditutup?

Terpanggil menjawab soalan itu, Pensyarah Kanan Fiqh Fatwa dan Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim merumuskan jawapannya dalam bentuk info grafik menerusi Instagram miliknya.

Masjid masih ditutup
ADA sebab kenapa masjid masih terus ditutup walaupun hampir semua sektor ekonomi dibuka.

Ini jawapan beliau yang ringkas, padat dan mudah difahami:

“Sektor ekonomi perlu dibuka kerana ia melibatkan keperluan hidup manusia. Manusia tidak boleh hidup tanpa sumber kewangan. Perkara ini termasuk di bawah kaedah fiqh ‘Al-Hajah Tunazzal Manzilat Al-Darurah’.

Manakala perhimpunan di rumah ibadah tidak melibatkan nyawa dan kelangsungan hidup, tetapi lebih kepada syiar yang pastinya tidak terhapus walaupun di musim PKP.

Iklan

Masjid tetap melaungkan azan di samping solat berjemaah di dalamnya masih ada, tetapi dengan kehadiran yang terhad mengikut arahan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri. Perkara ini termasuk di bawah kaedah fiqh ‘Yatahammal Al-Darar Al-Khas lidaf’i Al-Darar Al-‘Aam’,” jelas beliau.

Dr Mohd Izhar turut menjelaskan bahawa hukum menjaga nyawa adalah wajib, manakala solat di masjid pula adalah sunat.

“Wajib dahulukan nyawa. Solat itu wajib di mana-mana. Pahala berjemaah juga dapat di mana-mana walaupun bukan di masjid,” katanya.

Iklan

Apa pun, sebagai umat Islam, kita perlu bersabar dan teruskan berdoa semoga ALLAH SWT mengangkat wabak Covid-19 dari muka bumi ini.

Seperkara, patuhi arahan pihak kerajaan dari semasa ke semasa. Semuanya demi kebaikan kita bersama.

Foto: Bernama, Instagram @mohdizharariff_official & Freepik