Ini sebab pemilihan Surah al-Mulk jadi tema program interaksi dengan al-Quran dan #QuranHour 2021

Surah al-Mulk
January 22, 2021
Oleh Nurulfatiha

Oleh FOUZIAH AMIR

SEBELUM melelapkan mata, Surah al-Mulk sering kali menjadi alunan umat Islam untuk membasahkan lidah bagi sesiapa yang biasa melazimkannya.

Iklan

Masakan tidak, surah hebat itu begitu istimewa dan terdapat banyak kelebihan yang ada padanya sebagaimana disebutkan dalam hadis sahih yang masyhur.

(Artikel berkaitan: Elak seksaan kubur, jom sama-sama amalkan Surah al-Mulk setiap hari)

Apabila diteliti pada setiap bait ayat dalam surah ke-67 dalam al-Quran itu, ia sebenarnya mengajak manusia untuk berubah cara berfikir daripada pemikiran jahiliah kepada moden yang jauh ke hadapan.

Iklan

Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bagi program My #QuranTime, Ustaz Safri Muhammad Zein berkata, disebabkan itu setiap umat Islam perlu memahami konsep akidah iaitu segala sesuatu adalah milik ALLAH SWT.

“Pada zaman jahiliah, masyarakat mempercayai ALLAH, tetapi ada perkongsian lain sebagai pengantara. Surah al-Mulk menjelaskan bahawa ALLAH MAHA ESA dan tiada yang disembah melainkan ALLAH.

“Surah az-Zariyat ayat 56 menjadi kompas tujuan kehidupan manusia untuk beribadah kepada ALLAH.

“Kita menyampaikan al-Quran dan misi ALLAH dalam menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup,” katanya ketika membentangkan isi Surah al-Mulk pada program di Bentong, Pahang baru-baru ini.

Surah al-Mulk
SESI rakaman program Mengopi Bersama Ayah yang menampilkan Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail (tengah) dan anak, Adam serta dihoskan oleh Ustaz Mustafar (kiri) di sungai Teratak Melaya, Bentong Pahang, baru-baru ini.

Sepanjang program berkenaan, Ustaz Safri di samping Ustaz Mustafar Mohd Suki memainkan peranan membentangkan isi Surah al-Mulk dalam sesi berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal.

WUIF turut menjalankan pelbagai aktiviti di Teratak Malaya, Janda Baik. Antaranya rakaman program Simfoni Wahyu (Surah al-Mulk), Mengopi Bersama Ayah, Tick Talk Mom’s Coffee Talk, Soul Fitness dan Tick Surah Talk Santun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff ketika berkongsikan perancangan tahun 2021 berkata, untuk meneruskan misi MengQurankan Bangsa, MengIkhlaskan Ummah, pihaknya memilih Surah al-Mulk dalam pelbagai program #QuranHour sepanjang tahun ini.

MARHAINI

Surah al-Mulk katanya, bermaksud kerajaan. Ia menunjukkan kekuasaan ALLAH di atas segala sesuatu untuk menjadi motivasi diri, keluarga dan negara dalam menghadapi ujian serta cabaran kehidupan pada hari ini.

“Kita boleh mengambil ibrah daripada surah berkenaan untuk meningkatkan tauhid kita kepada ALLAH SWT dan menjadikan diri serta keluarga kita melakukan amalan yang lebih baik untuk keberkatan di dunia dan di akhirat,” katanya.

Nantikan gema Surah al-Mulk di seluruh dunia pada World #QuranHour 24 Ramadan 1442 Hijrah nanti!

Layari pautan ini untuk sama-sama membaca Surah al-Mulk bersama keluarga setiap malam melalui https://www.instagram.com/ticktalktv/. Untuk maklumat lanjut layari https://www.facebook.com/.WorldQuranHour.

Surah al-Mulk
KETUA Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail berkongsi ilmu selepas solat Isyak pada program di Teratak Malaya, Bentong, Pahang, baru-baru ini.

About Nurulfatiha

Biodata Penulis
Iklan