MESKIPUN bukan dalam keadaan bermusafir, para petugas frontliners kita boleh menjamakkan solat mereka.

Ia sepertimana yang ketika ini dilakukan oleh mereka terutama apabila telah memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) sehingga berjam-jam.

Namun begitu, masih ada masyarakat dalam kalangan kita yang keliru dan kurang faham kenapa mereka boleh melakukan solat jamak tersebut.

Bagi merungkaikan kemusykilan itu, pendakwah dan penulis, Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed menerangkan dengan ayat yang mudah difahami.

Ikuti penerangan beliau:

“Menurut pendapat muktamad dalam Mazhab Syafie, keharusan dua solat dijamakkan hanya pada 3 situasi iaitu:

1. Musafir.
2. Hujan lebat yang mana hanya dilakukan secara berjemaah di masjid.
3. Imam Nawawi menambah satu lagi keadaan iaitu sakit yang sukar untuk mendirikan solat pada setiap waktu.

Jika tidak menghadapi situasi di atas, kita tidak dibenarkan untuk menjamakkan solat mengikut pandangan majoriti mazhab-mazhab fiqh.

Ia sebagaimana disebutkan Imam Nawawi dalam kitabnya, al-Majmu’: “Menurut mazhab-mazhab mereka mengenai jamak (solat) dalam permukiman tanpa sebab takut, bukan musafir dan tidak sakit, mazhab kami (Syafie), mazhab Abu Hanifah, Malik, Ahmad dan majoriti ulama sesungguhnya ia tidak diharuskan.”

Walaupun menurut Mazhab Syafie yang paling kuat (muktamad) menyebut, tiada solat jamak bagi seseorang yang dalam situasi sibuk dan seumpamanya, namun terdapat pendapat kedua (marjuh) dalam mazhab berkenaan yang mengharuskan solat jamak dalam keadaan tersebut.

Dalam kitab Raudah al-Tolibin, Imam Nawawi menyatakan: “Al-Khattabi telah meriwayatkan daripada al-Qaffal al-Kabir al-Shashi, daripada Abu Ishaq al-Marwazi tentang keharusan menjamakkan solat di permukiman kerana hajat mendesak tanpa mensyaratkan takut, hujan dan sakit. Pendapat ini juga dinyatakan oleh Ibnu al-Mundzir dalam kalangan ashab (ulama-ulama) kami.”

Menurut pendapat sebahagian Ashab Syafie, ia jelas menunjukkan tentang keharusan jamak solat sama ada taqdim atau ta’khir dalam keadaan hajat yang mendesak, asalkan tidak dijadikan sebagai adat kebiasaan.

Hal ini seperti tugasan yang dilalui oleh petugas-petugas frontliners Kementerian Kesihatan Malaysia yang bertungkus-lumus merawat dan mengekang penularan wabak Covid-19. Namun, hanya solat jamak tamam yang dibenarkan, bukan jamak dan qasar.

Solat jamak tamam adalah menghimpunkan dua solat dalam satu waktu tanpa mengurangkan bilangan rakaat solat berkenaan. Sebagai contoh, solat Zuhur yang dijamakkan bersama solat Asar yang mana kedua-duanya masing-masing dilakukan sebanyak empat rakaat.

Iklan
Petugas frontliners solat jamak
Petugas frontliners boleh melakukan solat jamak tamam tanpa mengurangkan bilangan rakaat solat jika keadaan hajat yang mendesak.

Kewajaran hukum ini untuk mereka amalkan kerana melihat keadaan mereka yang terlalu sibuk sehingga terpaksa bekerja lebih masa.

Tambahan pula, mereka menghadapi kesukaran untuk menukar pakaian keselamatan PPE dari semasa ke semasa dan ini pasti agak menyukarkan mereka untuk mendirikan solat setiap waktu.

Nasihat untuk orang-orang awam di luar sana agar tidak memanipulasikan pendapat kedua ini untuk tujuan kesenangan yang sewenang-wenangnya atau mengikut hawa nafsu.

Kita perlu bersikap bertanggungjawab dalam ibadah solat iaitu wajib mendirikan solat pada waktu-waktu yang telah ditentukan oleh ALLAH dan Rasul-NYA, melainkan dalam keadaan hajat yang sangat mendesak seperti situasi wira-wira barisan hadapan frontliners kita yang sedang berjuang,” kata beliau.

Iklan

Sesungguhnya, Islam agama yang mudah dan tidak membebankan umatnya untuk melakukan ibadah.

Tunaikanlah kewajipan kita selagi masih bernyawa di muka bumi ALLAH ini.

(Sumber: Facebook Ustaz Syed Shahridzan Ben-Agil)

Foto: Bernama & 123rf