SAIZNYA tidaklah sebesar mana, namun kelebihan dan kehebatan buah itu memang tidak boleh disangkal lagi. Itulah tamar atau kurma yang banyak disebut dalam al-Quran dan hadis.

Ketika Ramadan, buah ini sering kali menjadi tumpuan ramai untuk bersahur dan berbuka.

Bahkan, Nabi Muhammad SAW sendiri mengangkat tinggi taraf kurma kerana manfaat kesihatan kepada tubuh.

Ujar pendakwah, Ustaz Mohd Khairul Azman Md Daud atau lebih dikenali sebagai Ustaz MK Azman, Rasulullah SAW sendiri turut berbuka puasa dengan beberapa biji kurma sebelum menunaikan solat.

USTAZ MK AZMAN

Ia sebagaimana hadis: “Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji kurma sebelum sembahyang. Sekiranya, tiada kurma, maka baginda akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka, baginda meminum beberapa teguk air.” (Riwayat Ahmad)

Ini kerana, makan kurma ketika berbuka puasa amat bagus. Pada waktu ini, kita memerlukan tenaga segera dan bukannya tenaga yang ‘lambat untuk dicerna’ seperti yang terkandung dalam kebanyakan makanan berlemak dan bergoreng yang lain.

Andai kata tidak mempunyai buah kurma, kata Ustaz MK Azman, baginda SAW menyarankan kita supaya berbuka puasa dengan kurma basah (rutob). Jika tiada rutob, memadai dengan meminum air seteguk demi seteguk sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud.

Ketahuilah bahawa baginda SAW begitu menggalakkan umatnya memakan kurma mengikut jumlah yang ganjil iaitu 1, 3, 5, 7 ataupun 11 biji.

“Ketika makan kurma, Nabi Muhammad SAW mengambil dan memegang buah itu dengan tiga jari. Kemudian, baginda masukkan ke dalam mulut dan kunyah.

“Apabila biji dikeluarkan dari mulut, baginda akan mengambilnya dengan dua jari. Biji tersebut diletakkan pada tempat selain dari bekas kurma yang diambilnya tadi. Baginda amat menjaga kebersihan dan adab ketika memakan kurma,” terang Ustaz MK Azman.

Rasulullah SAW berbuka dengan kurma
DIDIK dan galakkan anak-anak untuk makan kurma terutama ketika berbuka puasa.

Tidak cukup sekadar menjamahnya, kurma bukan calang-calang buah kerana Rasulullah SAW turut menganjurkan kita menyedekahkan kurma.

Iklan

Sabda baginda SAW: “Berlindunglah kalian daripada api neraka walaupun dengan separuh kurma. Barang siapa tidak memilikinya, maka hendaklah dengan kata-kata yang baik.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis itu, ada beberapa ibrah kita boleh ambil iaitu:

  1.  Rasulullah SAW memberikan motivasi kepada umatnya untuk bersedekah sama ada sedikit ataupun banyak. Sabda baginda “walaupun dengan separuh kurma” menunjukkan biarpun kecil sedekah yang diberikan, ia bermanfaat besar bagi pelakunya. Ia dapat menjaga dan melindungi pelakunya daripada api neraka.
  2.  Mengajar kita supaya tidak memperkecil atau memandang rendah sumbangan orang lain walaupun kecil. Ketahuilah bahawa di sisi nabi dan ALLAH SWT, sumbangan atau sedekah yang kecil amat bermakna.

Begitu hebat kelebihan yang ada pada kurma ini. Jika kita mampu, lazimilah menjamah kurma pada setiap hari.

Iklan

Bukan setakat bulan Ramadan sahaja, malah hari-hari biasa pun kita tetap boleh makan tamar.

Foto: Freepik & 123rf