APABILA rasa kantuk mula menguasai diri, kita seakan tidak mempedulikan apa yang berlaku di sekeliling.

Apatah lagi ketika itu ternampak pula bantal berhampiran, lantas diambil dan dijadikan alas kepala untuk tidur.

Jika terlalu mengantuk dan penat, lantai pun boleh jadi tempat untuk tidur.

Perasan atau tidak, ramai dalam kalangan kita yang memandang remeh tentang tempat tidur.

Ketahuilah bahawa Rasulullah SAW memberi panduan dengan sunahnya sebelum, ketika dan selepas tidur supaya ia boleh dijadikan rujukan untuk kita.

Apakah sunah baginda SAW? Ayuh kita telusuri satu persatu:

1. Membaca doa sebelum dan selepas tidur.
– Ramai orang yang mengabaikan doa selepas tidur. Sesungguhnya, ALLAH SWT menjanjikan syurga kepada orang yang rajin mengamalkan doa masnun (doa harian).

2. Jangan tidur dalam keadaan kaki menghadap ke kiblat.
– Keadaan ini hanyalah untuk orang yang baru meninggal dunia sebelum dikebumikan.

3. Baca tasbih Fatimah iaitu Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar iaitu masing-masing sebanyak 33 kali.
– Andai kata ditakdirkan kita meninggal dunia ketika tidur, ia dikira sebagai mati syahid.

Sunah tidur Rasulullah
IKUTI sunah Rasulullah SAW sebelum, ketika dan selepas tidur seperti yang dilazimi oleh baginda.

4. Membaca empat qul, lalu meniupkan pada tapak tangan dan sapukan ke seluruh badan untuk menghindarkan sihir serta perbuatan jahat manusia.

5. Niat untuk bangun menunaikan solat tahajud.
– Seandainya kita tidak terjaga, ALLAH akan mengira seolah-olah kita bertahajud sepanjang malam.

6. Mengambil wuduk sebelum tidur dan menunaikan solat taubat.

Iklan

7. Maafkan semua kesalahan orang lain kepada kita dan halalkan hutang piutang orang kepada kita.

8. Amalkan posisi tidur Rasulullah SAW iaitu mengiring badan ke kanan dan tapak tangan di bawah pipi.

9. Tutup lampu.
– Mengikut kajian moden, menutup lampu ketika tidur dapat mencegah penyakit seperti kanser.

10. Solat sunat taubat dua rakaat berserta witir.
– Semoga segala dosa-dosa kita diampunkan seandainya dijemput YANG MAHA ESA.

Iklan

Seperkara, Rasulullah SAW turut mengingatkan kita agar jangan tidur secara meniarap terutama lelaki.

Apa pun, jagalah aurat dengan sempurna ketika tidur. Ini disebabkan jika kita tidur tanpa menutup aurat dengan sempurna, ia akan menghindarkan malaikat untuk mendoakan kita.

Jom sama-sama kita cuba amalkan. Siapa lagi yang hendak praktikkan kalau bukan kita umat Nabi Muhammad SAW, bukan?

(Sumber: 100 Amalan Sunnah Rasulullah, Muhd Nasruddin Dasuki)