Oleh NURUL HAJAR JAMALUDDIN 

DALAM tempoh hampir setahun, sistem pendidikan di seluruh dunia telah berubah sama sekali ekoran pandemik Covid-19.

Di Malaysia, kerajaan telah memperkenalkan metod Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) iaitu menerusi medium dalam talian dalam usaha mengekang penularan wabak.

Perkara tersebut dilihat sedikit sebanyak mengganggu emosi dan mental para pelajar di sekolah mahupun mahasiswa di universiti terutamanya mereka yang bakal dan sedang menghadapi peperiksaan penting pada tahun ini.

Namun begitu, ALLAH SWT telah berfirman: “Janganlah engkau bersedih, ALLAH bersama kita.” (Surah at-Taubah, ayat 40)

Oleh yang demikian, sandarkanlah segala permasalahan hanya kepada YANG MAHA ESA dan ‘suntiklah vaksin’ kerohanian dalam diri.

Tip kerohanian menjelang peperiksaan saya bahagikan kepada tiga bahagian iaitu sebelum menghadapi peperiksaan, semasa dan selepas peperiksaan.

Bercakap mengenai persiapan menjelang peperiksaan, ia merupakan masa yang agak genting bagi setiap pelajar. Oleh itu, perkara pertama yang perlu diterapkan oleh para calon adalah dengan memperbetulkan niat.

Daripada Umar bin al-Khattab RA, aku mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat.” (Riwayat al-Bukhari)

Justeru, perbetulkan niat kita ketika mendalami ilmu. Sandarkan (niat) belajar kerana ALLAH SWT bukan kerana sekadar mahu lulus sahaja. Dengan itu, keberkatan ilmu akan dapat dirasai.

Mengenai persiapan kerohanian sebelum menghadapi peperiksaan, para pelajar amat disyorkan untuk mengamalkan bacaan doa sebelum menelaah dan melazimi zikir mudah. Ia bertujuan bagi memohon kepada ALLAH SWT untuk mudah faham segala ilmu yang dicurahkan oleh para tenaga pengajar.

Tip kerohanian peperiksaan

Sebagai contoh, salah satu doa berkaitan ilmu yang sesuai dibaca pada setiap pagi untuk dipraktiskan berbunyi: “Ya Allah! Aku memohon kepada-MU ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.” (Riwayat Ahmad, Ibn Majah, Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf dan al-Baihaqi)

Sesungguhnya, doa dan zikir dapat dapat memperkukuhkan lagi tahap kerohanian jiwa dan menjadi sumber ketenangan ketika menimba ilmu.

Persiapan bagi menghadapi peperiksaan sebenarnya umpama mahu pergi menuju ke medan peperangan.

Seperti kata pepatah Arab terkenal: Man Jadda Wajada yang bermaksud barang siapa yang bersungguh-sungguh, maka ia akan mendapat hasil.

Dalam konteks tersebut, dapat dirumuskan, sesiapa yang telah berusaha menimba ilmu dengan tekun, pasti akan merasa tidak sabar dan berkobar-kobar untuk bertempur.

Baca juga Ini doa ringkas ibu bapa boleh amalkan untuk anak menghadapi peperiksaan

Tawakal

Pun demikian, pelbagai perkara yang tidak terduga boleh berlaku semasa menghadapi peperiksaan. Misalnya, pelajar tertinggal dokumen penting, terlupa membawa peralatan alat tulis secukupnya serta pelbagai masalah lain lagi.

Bertitik tolak daripada permasalahan tersebut, antara tip berkaitan yang boleh dikongsikan adalah dengan memulakan setiap perbuatan dengan membaca Basmalah.

Bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad SAW: “Setiap perkara yang tidak dimulai dengan memuji ALLAH, maka amalan tersebut akan terputus.” (Riwayat Ibnu Majah)

Justeru, pelbanyakkanlah memuji ALLAH semasa sedang menjalani peperiksaan tersebut. Bukan itu sahaja, selawat ke atas baginda juga perlu dijadikan amalan semasa memulakan sesi ulangkaji atau sebelum menjawab kertas peperiksaan.

Antara kelebihan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW seperti kata Imam Muslim yang meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA,

Iklan

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berselawat (memohonkan rahmat dan kasih sayang) ke atas aku sebanyak sekali, maka ALLAH akan berselawat (mencurah rahmat dan kasih sayang) ke atasnya sebanyak 10 kali.” (Riwayat Muslim)

Oleh yang demikian, pertajamkanlah senjata kalian dengan ilmu dan amalan amalan yang soleh agar bantuan ALLAH tiba setiap kali diperlukan.

Tip kerohanian peperiksaan
DI SAMPING berusaha, melakukan amalan yang disarankan termasuk bertawakal, kita hendaklah memohon keberkatan doa daripada ibu dan bapa.

Seterusnya, seusai sahaja menempuh ‘liku-liku’ peperiksaan, sudah semestinya para pelajar berasa lega kerana beranggapan misi sudah selesai.

Namun, hakikatnya mereka perlu menghadapi debaran sekali lagi iaitu ketika menunggu saat keputusan peperiksaan diumumkan.

Disebabkan itu, konsep tawakal perlu diterapkan di dalam diri setiap orang. ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Kepada ALLAH sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal (menyerah diri).” (Surah Ali ‘mran, ayat 122)

Berdasarkan ayat tersebut, jelaslah bahawa di samping usaha bersungguh-sungguh semasa menuntut ilmu, seiring dengan doa dan amalan, kita seharusnya menyerahkan segala ketentuan kepada YANG MAHA ESA.

Seterusnya, kita harus menerima segala keputusan dengan rasa tenang dan reda. Selain konsep tawakal, memohon keberkatan doa daripada ibu bapa sangatlah penting di dalam kehidupan kita.

Tip kerohanian peperiksaan

Daripada Abdullah bin ‘Amrin bin Ash RA, baginda bersabda: “Keredaan ALLAH itu terletak pada keredaan kedua ibu bapa dan murka ALLAH itu terletak pada murka kedua ibu bapa” (Riwayat at-Tirmidzi)

Iklan

Hadis berkenaan sekali gus menggambarkan betapa pentingnya keberkatan doa serta keredaan ibu bapa dalam kehidupan. Jagalah adab, patut dan taat segala arahan mereka selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Sesungguhnya, ilmu-NYA sangatlah luas. ALLAH SWT berfirman: “Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula).” (Surah al-Kahf, ayat 109)

Dengan kata lain, terdapat pelbagai lagi tip kerohanian lain yang boleh dijadikan amalan. Namun, telitilah dahulu sumber amalan tersebut agar tidak terjebak dengan amalan yang sia-sia.

Di samping itu, perkukuhkanlah ilmu dan jati diri sebagai seorang mukmin semasa menimba ilmu agar menjadi insan yang produktif, berketrampilan dan menjadi bakal penyambung legasi tampuk kepimpinan negara yang mapan.

***Nurul Hajar Jamaluddin ialah Pembantu Hal Ehwal Islam, Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia

Foto: Unsplash