Insya-ALLAH ‘naik’ al-Quran dalam 2 minggu di rumah

'Naik' al-Quran
March 21, 2020
Oleh Nurulfatiha

SAMBIL duduk rumah pun boleh buat pahala juga tau. Tak semestinya kita kena pergi masjid ataupun surau sahaja baru dapat menuai amal.

Bagi anak-anak yang masih merangkak-rangkak membaca Iqra’, masa ‘berkurung’ sepanjang dua minggu di rumah ini bolehlah dimanfaatkan untuk praktis mengaji sampai boleh baca al-Quran.


“Mana logik budak yang baca Iqra’ tak khatam lagi, tapi boleh terus ‘naik’ al-Quran?”

Pasti soalan itu berlegar-legar pada ruang fikiran kita. Ketahuilah bahawa tiada perkara yang mustahil berlaku selagi ALLAH SWT memberi izin-NYA.

Hendak tahu bagaimana caranya untuk baca al-Quran dengan cepat?

Iklan

Jom kita ikuti cara Ustaz Syed Walid Al Giffa, pengasas pengajian al-Quran kaedah kotak yang berpengalaman lebih 10 tahun mengajar ngaji.

'Naik' al-Quran
USTAZ SYED WALID

Beliau berkongsi 7 tip ini kepada Sinar Plus untuk semua warganet:

Iklan

1. Peranan ibu bapa lazimi membaca al-Quran bersama anak-anak.

'Naik' al-Quran
IBU BAPA perlu membaca al-Quran kalau hendak tengok anak kita pun rajin mengaji.

Semua orang tahu bahawa mendidik anak-anak adalah tanggungjawab ibu bapa. Jadi, sebagai orang tua, kenalah tunjuk teladan yang baik.

Kalau hendak anak kita pandai membaca al-Quran, wajib selalu bersama dan mengajak mereka sekali membacanya. Kan seronok apabila dapat baca bersama-sama. Alangkah indahnya bila rumah kita ‘hidup’ dengan alunan kalamullah yang begitu mengasyikkan.

2. Pilih satu surah yang pendek.

'Naik' al-Quran
PILIH satu surah lazim yang pendek untuk memudahkan anak-anak menghafalnya.

Ini bukan gurauan tau, perkara ini serius. Jika kita hendak anak-anak cepat ‘naik’ al-Quran, bolehlah cuba cara ini.

Misalnya, ibu bapa pilih satu surah lazim yang pendek dan baca suruh anak-anak dengar. Kemudian, ulang baca surah berkenaan hingga anak dapat menghafalnya.

Jika anak-anak sudah mahir, pada hari esok, bolehlah pilih surah lazim yang lain pula, kemudian lakukan langkah yang sama.

Malah, cara ini juga sesuai untuk orang dewasa yang mungkin masih merangkak-rangkak baca al-Quran. Tidak salah kita mencubanya. Mana tahu ia akan berhasil.

3. Gunakan cakera padat (CD) al-Quran di dalam rumah atau kereta.

'Naik' al-Quran
GUNAKAN CD untuk mengajar anak membaca al-Quran pun bagus juga mereka.

Apabila sudah ada CD ini, bertambah mudahlah kerja kita. Pasangkan sahaja dan minta anak-anak dengarkan dan ikut.

Jika didengari berulang kali, kan senang untuk mereka hafal.

4. Buka al-Quran dan tunjuk surah yang dihafal sebelum ini.

'Naik' al-Quran
TUNJUKKAN surah yang dihafal dan dibaca oleh anak-anak tadi dalam al-Quran.

Kalau tadi kita sudah minta anak-anak menghafal surah berkenaan, apa kata selepas mereka fasih, kita tunjukkan pula surah yang mereka baca tadi dalam al-Quran.

Bukan apa, ia untuk memberitahu anak-anak bahawa surah itulah yang dihafal dan dibacanya tadi supaya mereka tahu.

Nanti tidaklah orang kata anak kita tahu mengaji sekadar melalui penghafalan sahaja. Malah, ingatannya akan bertambah kuat apabila melihat sendiri surah berkenaan.

Setidak-tidaknya mereka tahu di mana letaknya halaman surah berkenaan dalam al-Quran. Senanglah untuk merujuknya nanti.

5. Perkenalkan huruf al-Quran dengan cara bermain.

'Naik' al-Quran
CARA ini akan membuatkan anak seronok dan memudahkan proses penghafalan. -Foto: Sumber Internet

Fitrah kanak-kanak memang suka bermain. Sebagai ibu bapa yang kreatif, jom cuba kaedah ini apabila hendak memperkenalkan huruf-huruf dalam al-Quran.

Contohnya, bermain puzzle, flash card dan seumpanya. Sambil bermain, mereka boleh menimba ilmu. Kanak-kanak pun tidak stres kena belajar ngaji.

6. Lagukan al-Quran jika pandai.

'Naik' al-Quran
JIKA ibu bapa pandai melagukan al-Quran, lagi mudah untuk anak ikut apa yang dibaca dan hafal.

Bonus untuk mak ayah yang mahir membaca al-Quran dengan lagu. Apabila kita mengalunkan bacaan al-Quran dengan berlagu, boleh minta anak-anak ikut apa yang kita baca.

Perasan atau tidak, anak-anak sebenarnya lebih mudah menghafal lagu daripada sebutan-sebutan biasa tau.

7. Suruh anak-anak baca apa yang dihafal oleh mereka.

'Naik' al-Quran
MINTALAH anak ulang semula surah yang telah dihafal tadi.

Tadi kan anak sudah dengar dan ikut kita mengalunkan al-Quran secara berlagu. Sekarang, giliran mereka pula untuk memperdengarkan bacaan kepada kita.

Jika salah bacaan mereka, perbaikilah supaya sebutan mereka sempurna ketika membaca al-Quran.

Tak susah pun untuk kita buat semua tip ini sepanjang tempoh dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan.

Hendak tahu mampu ke tak anak-anak ‘naik’ al-Quran cepat, cubalah dulu. Mana tahu tip ini sesuai dengan mereka.

Namun begitu, kita hanya mampu merancang dan berusaha sedaya mungkin, selebihnya serahkan kepada-NYA.

Yang penting, kita sudah berusaha. Jangan menyerah begitu sahaja!

Iklan

About Nurulfatiha

Biodata Penulis