MASYARAKAT kita memang kreatif. Hampir segala yang dilakukan pasti berseni. Bukan setakat mampu menghias rumah, tanam pokok atau bertukang, malah bab makanan juga tidak kurang uniknya.

Bayangkan makanan yang biasa seperti nasi goreng boleh jadi bento yang menarik. Selain itu, kek biasa pun boleh nampak luar biasa apabila rupa bentuknya tidak seperti kelaziman. Sebaliknya, ia menyerupai watak kartun popular, kereta dan sebagainya.

Terbaharu, ada pula makanan yang menyerupai bentuk haiwan. Ia menjadi tular di media sosial sekarang.

Kepada yang tidak biasa, pasti akan rasa gerun apabila melihat ‘haiwan’ di atas pinggan masing-masing.

Haiwan itu pula bukan biasa-biasa. Ia bukan ayam, ikan, kambing atau lembu. Akan tetapi, bentuknya seakan-akan sama dengan haiwan berbisa.

Sekali pandang, memang takut dibuatnya. Macam-macam perasaan ada ketika hendak menjamahnya.

Ya, memanglah ia sejenis makanan yang boleh dimakan. Akan tetapi, kita perlu ambil berat dengan bentuk penyerupaan haiwan berkenaan.

Bukankah Islam melarang sebarang bentuk ukiran patung? Bagaimana pula jika makanan tadi berbentuk manusia atau binatang? Bolehkah kita memakannya?

Menjelaskan hal itu, pendakwah Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman berkata, ulama bersepakat bahawa patung adalah haram walaupun bukan disembah.

Beliau berkata demikian dalam hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Seksaan yang paling dahsyat pada hari kiamat ialah orang yang buat patung (dan juga gambar menurut jumhur).” (Sahih Muslim)

Jelas PU Salman lagi, orang berkenaan akan dipaksa untuk menghidupkan patung-patungnya pada hari kiamat.

Bagi ‘patung’ yang dimakan seperti coklat berbentuk manusia atau haiwan contohnya roti canai ular, pendakwah itu memetik pandangan Imam Nafrawi.

Imam Nafrawi berkata: “Dan buat patung seperti binatang buas, anjing atau manusia dan diletak pada dinding atau lantai adalah haram sama ada yang kekal seperti diperbuat daripada batu atau kayu atau yang tidak kekal seperti diperbuat patung binatang buas atau kuda dari tepung atau manisan.”

(Artikel berkaitan: Comelnya kek watak kartun, tapi apa hukum beli dan memakannya ya?)

PU Salman turut kongsikan pandangan Imam Ramli yang menyatakan: “Dan haram buat patung walaupun rupa yang tidak mampu hidup daripada makhluk yang tidak wujud atau diperbuat daripada tanah atau manisan.”

Iklan

Selain itu, Syeikh Syarwani menukilkan pendapat ulama Syafie: “Jelas bahawa patung-patung daripada manisan di Mesir dalam bentuk haiwan yang telah berleluasa jualannya adalah batil (haram dan tidak sah),” kata Syeikh Syarwani sebagaimana dipetik dalam kitab Hasyiah syarwani ala tuhfah.

Jelas bahawa hukumnya bukan sahaja haram, akan tetapi, jual beli patung juga tidak sah menurut sebahagian ulama.

“Memetik pandangan Imam Qalyubi dalam Hasyiah Qalyubi, beliau menyatakan, tidak sah jual beli patung dan salib walaupun daripada emas, perak atau manisan,” jelas beliau.

Pun demikian, jelas PU Salman, hukum memakan ‘patung’ yang dimakan adalah harus.

“Sebab itu adalah ulama yang mengharuskan jual beli walaupun haram dibuat,” katanya.

Iklan

Ia sebagaimana kata Imam Ramli: “Dan sah jual beli manis-manisan patung kerana tujuannya adalah untuk pasaran muamalat.”

Apa-apa pun, berhatilah-hatilah dalam bab makanan. Carilah makanan yang halal lagi baik. Ingatlah makanan itu akan menjadi darah daging kita.

Sumber: Facebook PU Salman

Foto: Freepik