MASYARAKAT kita ini penuh dengan adab sopan. Kalau dengar je ada orang nak datang rumah, mesti kita sibuk ke dapur sediakan apa yang patut untuk tetamu kita.

Begitulah kita setiap kali hari raya. Semua orang nak jamu tetamu makan. Bukan apa, nak pastikan mereka yang bertandang itu seronok dan selesa bila ke rumah kita.

Ya, semua itu memang diajar oleh Islam supaya kita menghormati tetamu dan mereka yang bertandang ke rumah kita.

Akan tetapi, Aidilfitri kali ini ketika negara masih bergelut dengan ancaman wabak Covid-19, sedikit sebanyak terselit kerisauan dalam hati akan keselamatan diri dan keluarga.

Bila difikirkan balik, rasa macam tak nak terima tetamu langsung. Nak berkurung je raya ini di rumah sendiri. Tapi boleh ke begitu? Apa pula orang kata nanti?

Bermacam-macam persoalan berlegar-legar dalam kepala ni. Memang ‘pusing’ dibuatnya kalau fikirkan lama-lama.

Bagi meleraikan kekusutan ini, SinarPlus ajukan persoalan ini kepada pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki.

Ini jawapan beliau yang boleh meredakan keresahan hati kita:

“Menerima tetamu dan memuliakannya merupakan salah satu daripada perkara yang sangat dianjurkan syarak.

Dalam hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang beriman kepada ALLAH SWT dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.”

Hadis itu bersifat umum meliputi tetamu yang daripada golongan kaya, sederhana atau miskin.

Di samping itu, banyak kelebihan datang berziarah daripada hadis-hadis sahih seperti dimudahkan jalan ke syurga, dilindungi malaikat seperti disebutkan dalam hadis riwayat al-Tirmizi dan Muslim.

Adapun menerima tetamu pada waktu negara sedang dilanda Covid-19, maka lebih baik dielakkan.

Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’ menyatakan, hukum asal menerima tetamu adalah sunat, melainkan ada kemudaratan.

Mudarat yang dimaksudkan adalah bersifat umum apatah lagi pada waktu ini, virus masih melanda negara kita.

Maka, sudah tentu konsep kemudaratan hendaklah dicegah atau dihapuskan. Lebih-lebih ia melibatkan nyawa terancam.

Iklan

(Artikel berkaitan: Jangan tinggalkan amalan sunah Aidilfitri walau hanya beraya di rumah)

Maka berkomunikasilah dengan cara yang baik ketika ini supaya tetamu dan kita semua saling memahami antara satu sama lain,” jelas beliau.

Rasa lega kan baca penjelasan Ustaz Mustafar ni? Semoga ia boleh jadi panduan untuk kita berhari raya esok.

Apa pun, tuan rumah kena gunakan bahasa yang paling molek untuk beritahu bahawa mereka tidak menerima tetamu.

Iklan

Kepada bakal tetamu pula, kalau boleh janganlah sentap pula. Fahamilah keadaan tuan rumah dan jangan kita pentingkan diri sendiri pula.

Sebaiknya, telefon tuan rumah dulu meminta izin daripadanya untuk berkunjung ke rumah mereka esok.

Jika dibenarkan, bolehlah kita ziarah mereka, tapi tetap kena patuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Andai kata, tuan rumah kata ‘no’, raya sajalah diam-diam di rumah ya.