Isteri baik, tapi suami tidak. Hadam penjelasan pendakwah ini dulu…

Salah faham dalam agama
December 3, 2020

KEHIDUPAN ini umpama satu pelayaran. Banyak liku-liku kehidupan yang terpaksa kita harungi sepanjang melayari kehidupan di bumi ALLAH SWT ini.

Walaupun kita mempunyai fizikal yang sama, namun cabaran yang dilalui setiap orang adalah berbeza. Semuanya berlaku atas kehendak ALLAH SWT.

Iklan

Ada orang yang baik, tetapi terpaksa melalui hidup yang agak rumit dan diuji dengan perkara yang agak berat pada pandangan mata kita.

Paling ketara apabila seseorang yang baik itu dikurniakan pasangan yang kurang baik. Nampak seolah-olah seperti tidak seimbang kerana diberikan pasangan yang bertentangan sifatnya dengan diri seseorang itu.

“Aku rasa aku solat lima waktu, puasa penuh, buat ibadah sunat lain, tapi kenapa pula suami aku tak solat langsung dan tak puasa? Kenapa aku dapat suami yang tak baik?”

Iklan

Demikian antara persoalan yang sering dibangkitkan oleh segelintir masyarakat kita apabila dikurniakan pasangan yang berlawanan sifatnya.

Bukankah ALLAH SWT sudah janjikan bahawa isteri yang baik untuk suami yang baik? Begitu juga sebaliknya. Namun begitu, kenapa pula ada sesetengah orang diberikan pasangan yang kurang baik pada kaca mata kita?

Sebelum persoalan itu, pendakwah Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan mengajak kita untuk menyelami maksud kalam ALLAH ini.

IMAM MUDA HASSAN

Firman ALLAH SWT: “Perempuan-perempuan yang keji untuk lelaki yang keji, dan lelaki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji, sedangkan perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang bak…” (Surah an-Nur, ayat 26)

Berdasarkan kalamullah itu, Imam Muda Hassan berkata, ALLAH SWT menjelaskan kepada kita bahawa orang yang tidak baik perilakunya akan mendapat pasangan yang sama sifatnya dengan dirinya. Dalam erti kata lain, pasangan yang sekufu dengannya.

(Artikel berkaitan: [SENORITA KAYANGAN] Banyak isteri sakit mental, derita gara-gara perangai suami keterlaluan)

“Ia jelas panduan yang ALLAH SWT berikan kepada kita untuk kita mencari pasangan (hidup) kita.

“Jika kita nak dapat (pasangan) yang baik, maka jadilah kita yang terbaik dulu sebab yang baik itu akan menarik kebaikan. Sementelah, yang buruk pula akan menarik kejahatan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video bertajuk ‘Isteri baik untuk suami tak baik?’ yang disiarkan di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Begitupun, andainya diri kita ditakdirkan dengan pasangan yang kurang baik pada pandangan mata kita, jelas Imam Muda Hassan, ketahuilah bahawa pasangan yang dikurniakan itu sebenarnya tetap baik bagi ALLAH SWT.

“Kita kena faham, baik itu bukanlah menurut pemahaman kita, sebaliknya ia adalah baik menurut ALLAH SWT. Andai kata, ALLAH beri kita pasangan yang kita rasakan bahawa dia tidak baik, hakikatnya itulah yang terbaik untuk kita yang diberikan oleh ALLAH SWT kepada kita.

“Lihatlah ayat 216 dalam Surah al-Baqarah. ALLAH SWT sebut dengan jelas bahawa barangkali kita merasakan ia tidak baik bagi diri kita, tetapi ia sebenarnya baik bagi diri kita.

“Mungkin ada perkara yang kita rasa baik untuk kita, tetapi hakikatnya ia tidak baik bagi kita. Hanya ALLAH yang MAHA MENGETAHUI,” katanya.

Suami isteri

Pendakwah itu turut mengajak kita mengambil suri teladan daripada kisah Asiah dan suaminya, Firaun.

Walaupun Asiah wanita yang solehah, beriman dan bertakwa, namun semua itu sangat bertentangan dengan sifat Firaun yang disebut dalam al-Quran sebagai seorang yang jahat hinggakan mengaku dirinya sebagai Tuhan, terang beliau.

Hakikatnya, jelas beliau, Asiah tetap mendapat pasangan yang terbaik kerana ALLAH mahu menaikkan martabat dan menjadikan beliau sebagai seorang wanita beriman. Maka, ALLAH memuliakannya.

Kepada mereka yang diuji memperoleh suami atau isteri yang kurang baik pada pandangan mata masing-masing, Imam Muda Hassan menitipkan pesan agar bersabarlah.

“Sebenarnya ia adalah yang terbaik untuk kita kerana ALLAH SWT hendak tengok apakah kita mampu menjalani ujian tersebut.

“Barangkali ALLAH hendak menaikkan martabat kita. Adakah kita berjaya membawanya kepada kebaikan ataupun kita hanyut dengan kejahatan pasangan kita tadi? Na’uzubillah,” pesannya.

Justeru, jagalah rumah tangga yang dibina dengan sebaiknya. Terima pasangan kita seadanya dan cuba membimbing mereka untuk sama-sama ‘membina rumah’ di syurga kelak.

Sumber: Facebook Imam Muda Hassan

Foto: 123rf & Freepik

About Nurulfatiha

Biodata Penulis