HIDUPNYA seperti tidak bermakna lagi. Begitulah yang dirasai oleh Aleeza Borhan (bukan nama sebenar). Apa tidaknya, dirinya berstatus isteri orang tetapi seolah-olah tiada suami kerana digantung tak bertali sejak beberapa tahun lalu.

Tidak tahu mana silapnya, sudah lebih dua tahun bayang suami itu langsung tidak kelihatan. Selama tempoh itu, Aleeza, 29, berjuang melayari kehidupannya. Sakit pening dan segala penat jerihnya semuanya ditanggung sendirian.

Beliau juga hilang tempat bergantung dan mengadu. Sudahlah adik beradiknya tinggal berjauhan. Walaupun mereka kerap berhubung, namun semua itu tidak mampu menutup kesunyian yang bertamu di dalam hatinya.

Bagi wanita tersebut, suami tersayang, Rizal Halim, 31, masih dalam ingatan Sejujurnya, masih ada cinta dalam hatinya buat Rizal.

Katanya, usaha mencari lelaki itu tidak pernah putus. Beliau sudah puas menelefon Rizal, namun tidak pernah berjawab. Malah, dirinya turut menebalkan muka pergi ke kampung ibu bapa mertuanya semata-mata mahu meminta pertolongan mereka memujuk suaminya kembali ke pangkuannya. Namun, semua itu sia-sia sahaja.

Dipenjara 6 bulan

Seperti sudah ditakdirkan, pasangan berkenaan masih belum dikurniakan zuriat lagi. Masakan tidak, baru tiga bulan berkahwin, Aleeza terpaksa berpisah dengan suaminya gara-gara Rizal telah dihukum penjara enam bulan akibat kesalahan lalu lintas.

Begitupun, selepas tempoh hukuman itu tamat, suaminya menghilang. Lelaki itu langsung tidak pernah pulang menjenguknya. Apatah lagi memberikan nafkah zahir dan batin selama berbulan-bulan lamanya.

Digantung tidak bertali

Keluarga lelaki itu juga tidak menghulurkan nafkah kepada Aleeza sepanjang tempoh itu.

Sungguh, Aleeza begitu tertekan. Terasa dirinya tidak ubah seperti pungguk rindukan bulan. Penantiannya selama ini tidak mendatangkan hasil.

Akhirnya, wanita itu akur dengan nasihat rakan sekerjanya dan adik beradiknya supaya menuntut perceraian daripada suaminya.

Beliau kemudiannya membuat permohonan tuntutan taklik ke atas Rizal yang tidak memberinya nafkah wajib kepadanya melebihi tempoh empat bulan berturut-turut.

Mahkamah berpuas hati dengan bukti yang dikemukakan oleh Aleeza iaitu sijil nikah dan lafaz cerai taklik yang tercatat sighah pada surat perakuan nikah mereka, selain keterangan dua saksi yang dikemukakan.

Pada masa sama, mahkamah juga mendapati, wanita malang itu ialah seorang isteri yang taat dan tidak pernah disabitkan nusyuz oleh mana-mana mahkamah syariah.

Justeru, hakim memutuskan bahawa Rizal telah melanggar lafaz taklik yang dilafazkan ketika pernikahan mereka. Dengan itu, hakim mensabitkan, jatuh talak satu kali pertama ke atas Aleeza.

Terasa bebanan berat yang selama ini dipikul pada bahu dan kepala Aleeza hilang begitu sahaja. Sesungguhnya, wanita itu terasa lapang dengan keputusan mahkamah.

Baca juga Lafaz taklik pada sijil nikah, bukan automatik jatuh talak jika ia dilanggar… Ini penjelasan pengamal undang-undang

Iklan

Jangan berdiam diri, rujuk mahkamah tangani masalah

KISAH Aleeza Borhan dan Rizal Halim (kedua-duanya bukan nama sebenar) bukanlah asing dalam kehidupan masyarakat kita.

Peguam syarie, Abdullah Anuar Sahri berkata, tindakan Aleeza memanjangkan kes rumah tangganya ke mahkamah syariah adalah bijak bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

ABDULLAH ANUAR

Menurut Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, jelas beliau, taklik ertinya lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut hukum syarak dan peruntukan enakmen berkenaan.

“Seterusnya, Seksyen 50 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan bahawa seseorang perempuan yang bersuami boleh jika berhak mendapat perceraian menurut syarat-syarat surat perakuan taklik yang dibuat selepas berkahwin, memohon kepada mahkamah untuk menetapkan bahawa perceraian yang demikian telah berlaku.

Iklan

“Melalui peruntukan undang-undang bahawa perlu dibuktikan wujudnya syarat-syarat sepertimana yang terkandung di dalam surat perakuan taklik dan syarat-syarat tersebut telah dilanggar oleh pihak suami,“ katanya.

Ujar Abdullah Anuar, antara kriteria yang perlu dipenuhi oleh isteri untuk berjaya dalam tuntutan takliknya adalah suami meninggalkan isteri selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, suami atau wakilnya tidak memberikan nafkah selama tempoh tersebut padahal isteri masih taatkan suami atau suami melakukan mudarat kepada tubuh badan isteri.

“Unsur-unsur itu hanya terpakai khusus bagi pasangan yang berkahwin di Selangor sahaja. Bagi pasangan di negeri lain, terdapat sedikit perbezaan pada kriteria tuntutan taklik mengikut negeri masing-masing,“ ujarnya.

Kepada satu soalan, beliau berkata: “Dalam keadaan suami terhalang untuk memberikan nafkah terhadap isterinya seperti kes Aleeza yang suaminya berada di dalam penjara, kewajipan untuk memberi nafkah masih tetap tertanggung di atas bahu suami.

“Suami boleh meninggalkan hartanya kepada isteri untuk dibelanjakan semasa sepanjang dalam tempoh hukuman penjara. Contohnya sekiranya suami mempunyai wang simpanan di bank, maka suami boleh meninggalkan kad ATM bank kepada isteri bagi membolehkan isteri mengeluarkan wang untuk dibelanjakan.

“Sekiranya suami tiada wang simpanan, maka isteri boleh menjual atau mencagarkan apa-apa harta suami untuk dijadikan sandaran nafkah dengan wang yang diperoleh hasil jualan atau catatan harta suami tersebut.

“Jika suami tiada wang simpanan dan harta, maka suami boleh meminta bantuan daripada kalangan ahli keluarganya untuk menyampaikan, memberikan wang atau belanja nafkah terhadap isterinya. Apabila suami tadi telah keluar dari penjara, dia wajib menggantikan semula wang nafkah yang telah dikeluarkan oleh ahli keluarganya tadi.“

Digantung tidak bertali
PERKAHWINAN suatu ikatan suci yang perlu dipelihara kerukunannya dan usah sesekali mencemarinya dengan ikatan gantung tidak bertali kerana ia menganiaya pasangan.

Kepada mereka yang mengalami nasib digantung tidak bertali, pengamal undang-undang itu menasihatkan agar jangan membiarkan diri hidup dalam keadaan itu kerana ia seolah-olah menyekat kebebasan sendiri.

“Jangan hanya berdiam diri dan memendam rasa dan terus teraniaya. Sebenarnya ada jalan dan cara yang boleh membantu untuk menyelesaikan masalah tersebut,“ nasihatnya.