DALAM masa sehari, beribu patah perkataan yang dituturkan oleh setiap insan. Masakan tidak, setiap daripada kita perlu berbicara dalam banyak perkara termasuklah dalam urusan kerja dan menjalani rutin harian.

Apabila terlalu banyak bicara yang diungkapkan, tidak dinafikan ada perkataan yang dilontarkan kadangkala begitu menikam kalbu. Apatah lagi jika ungkapan yang terpacul adalah sesuatu yang menjelikkan.

Masakan tidak, lidah sememangnya tidak bertulang. Namun, sudah menjadi lumrah seseorang insan yang memang tidak terlepas daripada berbuat kekhilafan. Meskipun sebaik mungkin cuba mengelak, terluncur keluar juga bait-bait kata yang menyakitkan atau mengguris perasaan.

Kadangkala untaian kata itu bukan dituju kepada orang lain, tetapi lebih kepada mengata diri sendiri dan bermonolog. Barangkali ketika itu kita dihimpit sesuatu untuk membuat keputusan penting.

Apabila fikiran bercelaru atau dalam keadaan amarah, ungkapan tidak sepatutnya keluar daripada bibir kita. Ketahuilah, apa yang keluar daripada lidah dan bibir kita boleh menjadi satu doa. Apatah lagi, jika ia kerap kali diungkapkan oleh bibir kita.

Lebih-lebih lagi andai kata-kata itu keluar daripada bibir ibu bapa terhadap anaknya. Barangkali itulah alasannya mengapa orang tua zaman ibu bapa dan nenek moyang kita kerap kali mengeluarkan perkataan ‘anak bertuah’ apabila si kecil enggan menurut perintah.

Ungkapan itu adalah untuk mendoakan supaya penyambung keturunan mereka yang merupakan amanah ALLAH untuk menjadi insan yang soleh atau solehah kelak.

Apakah asas yang menyebabkan percakapan yang diungkapkan boleh menjadi satu doa? Benarkah pemikiran tidak elok juga akan menjadi suatu doa kepada kehidupan kita?

Fikir sebelum bercakap

Ketika melontarkan persoalan itu kepada pendakwah Ustaz Abu Bakar Ali As-Sudani, beliau terlebih dahulu mengajak kita memahami tentang kepentingan menjaga tutur kata dan lidah yang amat dititik beratkan oleh agama Islam.

USTAZ ABU BAKAR

Sekiranya ia tidak dijaga dengan baik, ujar beliau, ada hati insan lain yang akan terhiris akibat 'tajamnya' bicara yang dilontarkan oleh lidah yang tidak bertulang.

"Luka disebabkan torehan pisau lama-kelamaan akan menjadi parut, tetapi 'torehan' kata-kata pula, lukanya tidak berparut. Itulah kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Imam al-Ghazali Rahimahumullah.

"Bukan itu sahaja, Nabi Muhammad SAW juga memberi jaminan kepada orang yang menjaga tutur katanya iaitu lidah, maka syurgalah tempatnya. Sebaliknya, sesiapa yang tidak menjaga lidahnya, nabi tidak akan menjamin syurga.

"Lihatlah betapa Islam begitu mengambil berat terhadap umatnya berakhlak mulia dan menjaga tutur kata kerana ia merupakan sebahagian akhlak mulia yang dianjurkan oleh agama suci ini," katanya ketika diwawancara secara maya baru-baru ini.

Menyambung hujahnya, Ustaz Abu Bakar menjelaskan, manusia sebenarnya menuturkan dua jenis ungkapan.

Pertama, ia melibatkan ungkapan biasa sama ada berunsur baik atau tidak baik. Umpamanya, ayat seperti kita mahu makan, ke mana-mana dan sebagainya, jelasnya.

"Satu lagi jenis ungkapan adalah yang berunsurkan saranan, dorongan dan juga tegahan. Kadangkala, ia boleh dikategorikan kepada ungkapan yang berunsur doa. Jadi benarlah jika ada orang yang mengatakan kata-kata itu ibarat satu doa," katanya.

Jelasnya lagi, ia dikuatkan lagi dengan bukti yang mana Rasulullah SAW dalam riwayat kehidupannya pernah mengubah nama seseorang yang buruk kepada yang lebih elok.

Dalam sebuah hadis daripada Ibnul Musayyib daripada bapanya bahawa datuknya bertemu dengan Nabi Muhammad SAW, lalu nabi bertanya tentang namanya.

Jelas beliau, apabila dimaklumkan bahawa namanya Hazan (dukacita), nabi lantas menukarnya kepada Sahal (mudah atau senang). Namun begitu, Hazan ingin mengekalkan nama yang telah diberikan oleh orang tuanya. Sejak itu, kesedihan sentiasa menimpanya.

“Melihat ungkapan hadis berkenaan, jelaslah bahawa kata-kata yang keluar daripada mulut seseorang itu adalah suatu doa. Apatah lagi jika ia merupakan ungkapan yang tidak elok.

"Begitu jugalah halnya apabila ada perkataan yang terkeluar dari mulut kita. Misalnya, kita merungut tiada duit. Suka saya ingatkan, janganlah sebut demikian sekalipun memang kita tiada wang kerana ditakuti kelak itu akan berlaku kepada kita.

"Ungkapan tadi boleh menjadi doa lebih-lebih lagi jika ia disebut pada ketika waktu mustajabnya doa. Itulah yang amat ditakuti," katanya.

Justeru, Ustaz Abu Bakar mengingatkan agar ibu bapa tidak menuturkan perkataan yang tidak elok kepada anak masing-masing. Ingatlah, begitu besar kesannya terhadap anak-anak.

(Artikel berkaitan: Anak jadi nakal sebab doa ibu bapa… Berhati-hatilah bila berkata-kata apalagi ketika sedang marah)

Kata-kata suatu doa"Oleh sebab itu, fikir sebelum bercakap dan bertindak. Jangan menyesal pada kemudian hari akibat lidah tidak bertulang ini," ungkapnya.

Cerminan peribadi

Bicara Ustaz Abu Bakar semakin rancak apabila ditanya tentang pandangan bahawa pertuturan seseorang menggambarkan keperibadian mereka.

Beliau mengiyakan pernyataan tersebut. Baginya, penampilan zahir boleh dilakonkan, tetapi tidak pada pertuturan seseorang kerana ia keluar dari lubuk hati yang dalam.

"Maka, ia tidak boleh dilakonkan, tetapi kalau boleh pun dilakukan sedemikian, akhirnya akan terkeluar juga apa yang tidak elok dari sanubarinya" katanya.

Iklan

Kata-kata suatu doaPendakwah itu turut mengemukakan sebuah hadis sebagai panduan kepada kita yang mana Nabi Muhammad SAW bersabda: "Barang siapa yang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat maka hendaklah berkata baik atau lebih baik diam." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jelas beliau, diam itu lebih baik kerana ia bertujuan untuk menutup keaiban yang ada pada diri seseorang.

"Ketahuilah, diamnya seorang yang jahil lebih baik berbanding diamnya seorang alim sebab seorang alim perlu berbicara lebih-lebih lagi jika ia perkara yang tidak elok.

“Sementara itu, ungkapan daripada orang yang bijaksana umpama mutiara kerana ia sering dinanti-nantikan.

"Adapun kata-kata orang alim pula ialah ilmu yang boleh ambil panduan daripadanya. Namun, andai kata-kata keluar dari mulut orang yang tak tahu, jahil dan seumpamanya, itu adalah merupakan lambang kejahilannya," ujarnya.

Bentuk pemikiran positif

Senada dengan Ustaz Abu Bakar ialah pendakwah Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan.

IMAM MUDA HASSAN

Ujar beliau, bukan sekadar percakapan menjadi suatu doa, tetapi pemikiran dan monolog juga akan memberi kesan negatif sekiranya kita sering kali membayangkan sedemikian.

Masakan tidak, pada setiap hari, manusia akan membuat banyak keputusan dalam kehidupannya. Begitu juga dengan monolog atau dalam erti kata lain bercakap kepada diri termasuk bisikan dalam hati, terangnya.

“Meskipun ungkapan tersebut tidak terpacul daripada bibir, ia sebenarnya telah membentuk karakter diri dan bagaimana kualiti hidup serta keberkatan hidup kita.

“Sesiapa yang banyak monolog negatif, hidupnya jauh daripada keberkatan. Orang sebegini (berfikiran dan bermonolog negatif) tiada kualiti hidup, selalu bersedih dan berdukacita, hidupnya rasa susah, tidak diberkati dan sebagainya,” ujar beliau.

Bagi membentuk supaya monolog kepada diri berkualiti, Imam Muda Hassan menjelaskan, pastikan setiap skrip monolog (monolog) kita mesti ada ALLAH SWT.

“Kedua, sentiasa merasakan bahawa orang lain lebih daripada diri kita. Seterusnya, sentiasa merasakan diri berbuat salah.

“Tiga perkara ini, jika kita sentiasa pasakkan dalam diri, ia akan meningkatkan kualiti hidup kita yang membentukkan keperibadian kita. Begitu jugalah kepada ibu bapa dengan menuturkan kata-kata yang baik untuk anak masing-masing. Ini kerana doa ibu bapa tidak tertolak,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan agar umat Islam memperbetul cara pertuturan kepada yang lebih baik dan positif. Kata-kata begitu mahal nilainya apatah lagi kita ialah orang Islam.

Saban hari, kita menunaikan solat, zikir, membaca al-Quran dan banyak amal ibadah lain. Semua itu menjadikan lidah kita begitu ‘berbisa’, terang beliau.

Kata-kata suatu doa“Disebabkan itulah apa sahaja yang kita cakap, ia boleh jadi satu bentuk doa. Orang alim contohnya, percakapan mereka makbul atau orang gelarkan mereka bermulut ‘masin’. Ia disebabkan oleh amalan soleh mereka, di samping tidak tidur melakukan solat sunat. Ia menjadikan apa yang dituturkan oleh mereka menjadi doa. ALLAH SWT mudah mendengar permintaan mereka,” katanya.

Iklan

Kepada satu soalan, Imam Muda Hassan menjawab: “Dalam sebuah hadis masyhur, ada dinyatakan tidak bertambah umur seseorang melainkan dengan kebaikan dan tidak berubah qadar itu melainkan dengan doa.

“Ini bermakna, orang yang berbuat baik boleh bertambah usianya dan orang yang selalu berdoa, ia boleh mengubah takdir. Namun, ingatlah bahawa kerja kita hanya berdoa. Sementelah, qada dan qadar itu adalah kerja ALLAH SWT.

“Paling penting sentiasa doakan kebaikan, semoga qada dan qadar boleh berubah dengan keizinan-NYA,” ujar beliau mengakhiri perkongsian ilmunya.

‘Doa orang dianiaya mudah dimakbulkan ALLAH SWT’

Pendakwah Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid menjelaskan, doa orang yang dizalimi tiada hijabnya di sisi ALLAH SWT dan mustajab untuk dikabulkan.

USTAZ WAN AKASHAH

Dalam al-Quran dan hadis, katanya, perkara itu dinyatakan secara jelas. ALLAH SWT melarang hamba-NYA membuat kezaliman terhadap orang lain.

Antaranya firman ALLAH SWT: “ALLAH tidak suka seseorang mengatakan sesuatu yang buruk kepada seseorang yang lain melainkan orang yang dizalimi, maka dia boleh menceritakan kezaliman tersebut dan ALLAH itu MAHA MENDENGAR dan MAHA MENGETAHUI.” (Surah an-Nisa’, ayat 148)

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi sekalipun dia adalah orang kafir. Maka sesungguhnya tidak ada penghalang diantaranya untuk diterima oleh ALLAH.” (Riwayat Ahmad)

“Berdasarkan dalil-dalil berkenaan, jelaslah doa orang yang dianiaya mudah dimakbulkan oleh ALLAH SWT sekalipun orang itu jahat.

“Masakan tidak, orang yang tidak pernah dizalimi tidak akan merasai betapa peritnya dan sedihnya perasaan seseorang yang telah diperlakukan sedemikian.

“Ia bukan hanya melibatkan dirinya sendiri. Kadangkala suami, isteri, anak dan keluarga turut merasai tempiasnya. Apatah lagi kita hidup dalam zaman milenial ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

Pendakwah itu turut mengajak kita menyelami kisah yang dihadapi oleh sahabat yang terawal memasuki Islam, Sa’ad bin Abi Waqqas. Beliau pernah difitnah hinggakan berdoa supaya ALLAH SWT menimpakan bala ke atas individu yang memfitnahnya.

“Sa’ad mendoakan agar individu itu dipanjangkan umur, kefakirannya dan ditimpakan dengan bencana.

“Sesungguhnya, ALLAH SWT mengabulkan doa Sa’ad hingga orang yang memfitnahnya itu benar-benar dipanjangkan umur dan hidup dalam keadaan sangat terhina duduk di tepi jalan sambil mengangkat tangan untuk meminta sedekah,” ceritanya sambil mengingatkan umat Islam untuk mengambil pengajaran daripada kisah tersebut.

Bukan sahaja kepada manusia, Ustaz Wan Akashah menegaskan, manusia juga dilarang berlaku zalim kepada haiwan.

“Masyarakat kita selalu menggunakan istilah kenan (kecacatan pada seseorang). Hakikatnya kenan itu mempunyai perkaitannya dengan menzalimi haiwan. Ingatlah, haiwan juga berdoa (untuk orang yang menganiayanya) sebelum ia mati,” katanya.

ANEKDOT

CARA tutur kata Rasulullah SAW

-  Ketika mengungkapkan bicara, Rasulullah SAW sangatlah baik sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran.

- Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya engkau Nabi Muhammad SAW berada di atas akhlak yang mulia.” (Surah al-Qalam, ayat 4)

- Dalam Kitab Syamail Muhammadiah, ada disebutkan bahawa Nabi Muhammad SAW  bertutur dengan jelas, lancar dan padat sebagaimana yang disebut dalam pujangga Arab: "Padat, tetapi sampai". Maka, ungkapan baginda tadi mudah untuk disampaikan kepada orang lain.

- Bukan itu sahaja, Rasulullah SAW merupakan seorang yang pendiam. Baginda bertutur hanya apabila perlu sahaja.

- Baginda SAW juga sentiasa bertutur dengan sopan santun dan tidak biadab. Malah, kekasih ALLAH itu sentiasa tidak menjadikan orang lain tersinggung dengan perkataan yang dituturkannya.

- Tuntasnya, Nabi Muhammad SAW akan bercakap elok dengan orang dewasa dan orang lebih tua, manakala dengan kanak-kanak pula, nabi menyantuni mereka.

Sumber: Pendakwah Ustaz Abu Bakar Ali As-Sudani

Foto: Freepik