MANUSIA sememangnya sukakan kebaikan secara fitrahnya. Apabila mendapat tahu ada orang lain berbohong kepadanya, hati mendongkol geram. Terasa bagaikan dihiris-hiris dengan pisau kerana ditipu hidup-hidup.

Apatah lagi jika ia melibatkan urusan penting dalam kehidupan. Dalam Islam, berbohong adalah sifat yang sangat menjengkelkan.

Namun begitu, entah kenapa masih ramai antara kita yang hidupnya penuh dengan pembohongan, tidak kiralah sama ada dalam urusan harian atau berkaitan kerja.

Dalam satu-satu situasi, demi melepaskan diri daripada sesuatu kesalahan atau mengelak terkena hukuman dunia yang tidak seberapa berbanding hukuman di akhirat kelak, kebanyakan kita memang berani bercakap dusta.

Malah, sebilangan daripada kita tanpa segan-silu menggunakan istilah ‘bohong sunat’ atau ‘tipu sunat’ untuk melepaskan ‘tengkuk’ sendiri.

Hakikatnya, Islam mengajar umatnya agar berlaku jujur dan benar dalam setiap perbuatan serta pertuturan.

Apakah memang ada perbuatan bohong yang dibenarkan oleh syarak? Bagaimana pula hukumnya jika kita berjenaka menggunakan unsur penipuan?

Dorong perbuatan dosa

Kepada Sinar Islam, Pensyarah Akademi Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah menjelaskan maksud berbohong. Memetik pandangan Imam Al-Nawawi Rahimahullah, bohong didefinisikan sebagai: “Mengkhabarkan sesuatu berbeza dengan keadaan sebenarnya, sama ada dengan sengaja atau tidak dan sama ada perkhabaran itu akan perkara yang telah berlalu atau akan datang.” (Syarah Sahih Muslim, Al Nawawi (1/69)

USTAZAH SHARIFAH FADYLAWATY

“Secara ringkasnya, dapat difahami berbohong itu bermaksud menyampaikan sesuatu perkara yang tidak benar. Ketahuilah, perbuatan berbohong merupakan sebahagian daripada perbuatan dosa-dosa besar,” katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Firman ALLAH SWT: “Maka jauhilah kalian akan kotoran berhala dan jauhilah kalian ucapan yang dusta (Surah al-Hajj, ayat 30)

Pensyarah itu menegaskan, berbohong juga adalah satu sifat keji dan tercela dalam Islam. Perbuatan itu merupakan suatu aib yang seharusnya dihindari.

Masakan tidak, kata beliau, hal itu sangat bertentangan dengan anjuran Islam agar penganutnya sentiasa berkata benar dan jujur. Malah, perbuatan berbohong amat ditegah dalam Islam kerana ia boleh mendorong kepada lebih banyak perbuatan dosa dan kesinambungan dalam melakukan maksiat.

Ustazah Sharifah Fadylawaty turut mengemukakan dalil iaitu sebuah hadis masyhur tentang ancaman buat mereka yang suka berbohong.

Rasulullah SAW bersabda: “Jauhilah kalian daripada sikap suka berbohong kerana berbohong akan membawa kepada perbuatan kemaksiatan, dan perbuatan kemaksiatan akan membawa ke neraka. Jika sekiranya seseorang itu sentiasa berdusta, maka kelak dia akan dicatat di sisi ALLAH SWT sebagai pendusta.” (Riwayat al-Bukhari)

“Bukan itu sahaja, ingatlah bahawa berbohong juga adalah sebahagian daripada indikator orang munafik,” ujar beliau.

Sikap tercela

Begitu tercelanya perbuatan bohong itu apabila malaikat turut sama menjauhkan diri daripada individu yang bersikap demikian walaupun hanya terpacul satu perkataan dusta dari mulutnya.

Daripada Saidina Ibnu ‘Umar RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang hamba ALLAH berdusta, malaikat akan menjauhkan diri daripadanya (si pendusta tersebut) satu mil (jarak) kerana tidak senang dengan bau busuk yang diakibatkan oleh dusta tersebut.” (Riwayat al-Bukhari dan Imam Ahmad)

Berbohong

Berdasarkan hadis berkenaan, ujar Ustazah Sharifah Fadylawaty, ia jelas menunjukkan bahawa perbuatan berbohong sama sekali dilarang Islam.

“Bayangkan seandainya dosa manusia itu dizahirkan dengan mengeluarkan bau busuk, sudah pasti segenap tempat yang kita duduk akan berbau busuk dan tiada siapa yang mahu mendekati diri kita.

“Bagaimanapun, setiap dosa itu ALLAH SWT tutup aibnya supaya orang di sekeliling tidak mengetahuinya,” jelas beliau.

Benarkah terdapat pembohongan tertentu yang dibenarkan dalam Islam? Menjawab soalan itu, ahli akademik berkenaan lantas mengiyakannya.

Jelas beliau, terdapat tiga keadaan dusta yang dibolehkan oleh syarak berdasarkan satu riwayat hadis.

Daripada Ummu Kalthum binti Uqbah bin Abi Mu`ied RA berkata: “Aku tidak pernah mendengar Rasulullah SAW memberikan keringanan pada perkataan manusia kecuali dalam tiga perkara iaitu pada ketika peperangan, pada ketika mendamaikan permusuhan di antara manusia, dan dalam perkataan suami terhadap isterinya, serta perkataan isteri terhadap suaminya.” (Riwayat Muslim)

Melihat ungkapan itu, Ustazah Sharifah Fadylawaty menjelaskan, diharuskan berbohong sekiranya apabila seseorang itu bercakap benar, ia boleh membawa implikasi negatif, selain memberi kemudaratan yang lebih besar kepada pihak lain. Antaranya menyebabkan pertumpahan darah, konflik dan pergaduhan berterusan antara pihak terlibat.

“Justeru, umat Islam disarankan agar berakhlak dengan sifat mahmudah. Suka untuk saya ingatkan, terdapat satu hadis yang boleh memberikan motivasi kepada mereka yang meninggalkan sifat berbohong.

“Dalam hadis riwayat Abu Dawud daripada Abu Umamah, Rasulullah SAW pernah menjamin rumah di tengah-tengah syurga bagi mereka yang tidak suka berdusta,” katanya.

(Artikel berkaitan: Berlaku jujur bila buat kesilapan, usah tambah lagi helah semata-mata nak elak hukuman)

Usah jadikan tabiat

Senada dengan Ustazah Sharifah Fadylawaty ialah pendakwah Ustaz Mohd Hadi Talhah. Beliau mengingatkan agar umat Islam tidak menjadikan perbuatan berbohong sebagai tabiat.

USTAZ MOHD HADI

Tiada sesiapa pun yang menyukai sikap itu termasuklah dalam kalangan manusia sendiri, terang beliau. Begitu juga ketika berjenaka dengan orang lain.

Pendakwah itu menegaskan bahawa perbuatan bohong dilarang sama sekali meskipun tujuannya untuk berjenaka atau bergurau senda.

“Misalnya, jenaka ketika April Fool‘s yang ‘menghalalkan‘ penipuan untuk tujuan mengenakan orang lain sekalipun sekadar bergurau, ia tidak dibenarkan sama sekali.

“Sebaliknya, contohilah cara Rasulullah SAW bergurau senda. Baginda juga berjenaka, tetapi dengan perkara yang benar. Ia sebagaimana diceritakan dalam sebuah hadis yang mana baginda SAW bergurau bersama seorang wanita tua.

“Rasulullah menyatakan bahawa tidak ada orang tua yang masuk syurga. Wanita tua tadi lantas menangis mendengarkan perkhabaran itu. Hakikatnya, itu adalah perkara yang benar dan baginda menjelaskan bahawa tiada sesiapa yang tua akan masuk ke syurga kerana semua yang masuk dalam tempat paling diidamkan itu adalah orang muda.

“Maksud orang muda di sini adalah kita akan menjadi ‘muda‘ kembali apabila masuk ke syurga kelak sampai bila-bila. Tiada sesiapa yang tua di dalamnya. Barulah wanita tadi tertawa tanda kelegaan mendengar penjelasan baginda,“ ujarnya.

Seperkara lagi, Ustaz Mohd Hadi menjelaskan, berbohong juga tidak boleh diaplikasikan dalam ceramah walaupun sekadar mereka-reka cerita untuk menarik orang supaya suka dan seronok dengan ceramahnya.

“Ia melainkan jika kita berterus terang menyatakan bahawa cerita itu merupakan rekaan semata-mata untuk mengambil pengajaran.

“Adapun jika ia dicipta tanpa menjelaskan bahawa kisah itu merupakan cerita rekaan sehingga menyebabkan orang kata dia bercerita benar, ketahuilah, ia adalah ditegah. Lihat begitu indahnya Islam hinggakan hal berkaitan pembohongan dijaga sampai ke tahap sebegitu,“ katanya.

Bukan sahaja orang dewasa, malah dengan anak kecil juga, kita dilarang berbohong, tegas Ustaz Mohd Hadi.

“Umpamanya, sudah berjanji untuk membawa anak ke kedai pada keesokan harinya sebagai tanda melegakannya, maka penuhilah janji berkenaan.

“Jika kita tidak membawanya ke kedai, ia dikira sudah menipu. Sebab itulah jangan mudah berjanji jika tidak mampu penuhinya kecualilah jika pada hari yang dijanjikan itu ada kekangan lain yang tidak dapat dielakkan.

“Ingatlah bahawa secara tidak langsung, kita telah mengajar anak-anak menipu dengan perbuatan kita tadi. Ini satu didikan yang tidak betul,“ tegasnya sambil mengingatkan umat Islam agar tidak sesekali menipu atas nama nabi.

Ustaz Mohd Hadi menambah, apabila seseorang terlalu banyak bercakap, makin banyak kesilapan dilakukan.

“Apabila banyak dosa, ia akan menjebakkan kita ke neraka. Janganlah hanya sembang-sembang kosong atau perbualan yang bersifat lagha.

“Apatah lagi bersikap ramah tidak bertempat hingga sampai bergosip atau memgumpat semata-mata untuk dijadikan modal untuk bercakap,“ jelasnya.

Iklan

‘Pembohongan dalam 3 keadaan mesti diteliti dengan betul’

Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata, berlaku jujur tidak bererti kita perlu menceritakan semua perkara aib yang pernah kita lakukan kepada mereka yang tidak berkenaan.

DR AHMAD SANUSI

“Cukuplah sekadar jika kita hanya menyatakan kesilapan yang berlaku agar dapat diperbaiki bersama. Namun, kesalahan yang mempunyai implikasi yang jelas dari aspek melanggar undang-undang mestilah dilaporkan agar ia menjamin kesejahteraan semua pihak.

“Bersikap jujur ketika mendedahkan kesalahan mungkin berupaya mengangkat kedudukan seseorang. Sekiranya tidak bersikap jujur, kita pada hakikatnya telah melakukan dua kesalahan.

“Pertama, kita mungkin telah melanggar undang-undang atas kesalahan yang ada. Kedua, andai kita berbohong terhadap kesalahan tersebut, ini bererti kita telah melakukan kesalahan yang kedua,“ katanya baru-baru ini.

Dalam pada itu, Dr Ahmad Sanusi turut menegur sikap segelintir masyarakat yang sewenang-wenangnya mencipta alasan sehingga terpaksa berbohong demi menutup kesalahannya. Ia adalah fenomena yang tidak sihat.

Beliau turut memperbetulkan istilah ‘tipu sunat‘ yang kerap digunakan oleh masyarakat.

“Ketahuilah, berbohong adalah ditegah dalam Islam dalam apa jua bentuk. Tidak ada bohong yang disunatkan. Mereka yang berhujah dengan Hadis Ummu Kalthum yang menyatakan bahawa Rasulullah membenarkan pembohongan dalam tiga keadaan juga mestilah diteliti dengan betul.

“Lafaz yang diriwayatkan dalam hadis tersebut menggambarkan maksud memberi kelonggaran sahaja. Ini bererti, ia hanyalah kebenaran yang sangat terhad dan hanya digunakan dalam situasi tertentu sahaja.

“Penggunaan tipu sunat itu dibimbangi akan memberikan satu konotasi yang mengelirukan seakan ada pembohongan yang ‘disunatkan’,” ujar beliau.

Berbohong
BERLAKU jujurlah dalam setiap pekerjaan yang dilakukan dan tidak menjebakkan diri dengan urusan yang bersifat penipuan dan salah di sisi undang-undang.

Seperkara lagi, ahli akademik itu turut mengingatkan kita agar tidak lagi berbohong untuk mengelak dalam perkara berkaitan pekerjaan semata-mata mahu mengelak dikenakan tindakan oleh majikan.

“Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu datang lewat ke pejabat, lalu dia berbohong dengan majikannya dan menyatakan dirinya mempunyai masalah sekian-sekian dan sebagainya.

“Sikap sebegini kadangkala menggambarkan nilai peribadi seseorang. Bahkan, lebih membimbangkan, sumber pendapatan digunakan untuk memberi makanan buat ahli keluarganya. Kita sudah pasti tidak ingin memberikan ahli keluarga kita makanan daripada hasil pembohongan.

“Lebih baik kita bersikap jujur, siapa tahu majikan tersebut memberikan kelonggaran kepada masalah yang dihadapi,“ katanya.

ANEKDOT

Iklan

Berbohong

BEZA antara bohong dan tauriah

– Tauriah bermaksud satu perkataan atau ayat yang mempunyai makna yang difahami oleh pendengar dengan jelas, tetapi sebenarnya apa yang dimaksudkan dengannya adalah perkara yang samar dan tersembunyi.

– Sebagai contoh, ulama membenarkan untuk tidak mengakui kesalahan tersembunyi yang dilakukan oleh seseorang seperti zina pada masa lalu. Individu tersebut hendaklah bertaubat kepada ALLAH dan menyembunyikan perkara tersebut.

– Sementelah, berbohong pula adalah menyampaikan suatu perkara yang tidak benar.

– Ada beza antara berbohong dan tauriah. Berbohong jelas hukumnya adalah haram. • Hukum tauriah pula adalah harus dan ia tidak dikira sebagai berbohong dan tidak dicela jika menepati syaratnya sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi di dalam Kitab al-Azkar iaitu:

1. Mengatakan sesuatu yang benar walaupun berniat untuk menyembunyikan sesuatu.

2. Dilakukan kerana hajat dan keperluan mendapat sesuatu kemashlahatan yang jelas atau untuk menolak kemudaratan yang pasti seperti mendamaikan suami dan isteri. Hukumnya adalah makruh jika tiada hajat dan keperluan seperti di atas atau kemaslahatan dan kemudaratan itu tidak pasti.

3. Bukan bertujuan untuk membenarkan sesuatu yang batil atau sebaliknya dan juga bukan untuk menghalalkan sesuatu yang haram atau sebaliknya. Jika tidak, maka hukumnya adalah haram.

4. Tidak menzalimi seseorang sama ada dengan mengambil hak orang lain atau menafikan hak orang lain ke atas kita. Jika sebaliknya, jatuh hukum haram.

Sumber: Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah

Foto: Freepik & 123rf