PADA usianya yang terlalu kecil, Rafiqi Zainuddin (bukan nama sebenar) sudah bergelar anak yatim. Ketika itu, kanak-kanak itu baru sahaja berusia lima tahun.

Bapanya yang selama ini dianggap heronya pergi dijemput Ilahi akibat kemalangan. Apalah yang difahami oleh kanak-kanak sekecil itu. Si kecil itu hanya tahu bapanya tidak akan pulang ke rumah kerana ‘kerja’.

Itu bukanlah kali pertama anak kecil itu kehilangan orang tersayang. Rafiqi bukan sahaja kehilangan kasih sayang seorang bapa, malah tidak pernah berasa ditatang oleh wanita bergelar ibu.

Betapa pilunya riwayat hidupnya. Ibunya telah meninggal dunia sebaik dirinya dilahirkan. Kenangan pahit yang dideritainya sejak kecil menjadikan Rafiqi seorang pendiam dan pasif. Tiada daya untuk kanak-kanak itu berbicara, mengadu apatah lagi berkongsi perasaan dengan orang lain.

Hidupnya kosong. Beliau bercakap dengan hatinya sahaja. Meskipun dijaga oleh satu-satunya waris iaitu bapa saudaranya (sebelah bapa), jiwa Rafiqi kerap terguris dan diguris.

Pastinya apabila menginjak usia sembilan tahun, kanak-kanak seperti itu sudah pandai menterjemahkan perasaannya.

Seperti yang diceritakan oleh rakan penulis yang juga jiran keluarga itu, sikap bapa saudaranya yang suka membeza-bezakan Rafiqi dengan anaknya sendiri membuatkan kanak-kanak itu berasakan dirinya terasing.

“Pernah satu hari, ketika duduk makan semeja, bapa saudaranya enggan beri Rafiqi ikan siakap goreng dengan alasan perut budak tu sensitif, tetapi itu hanya andaian. Niatnya memang tak nak bagi Rafiqi makan ikan mahal tu.

“Begitu juga soal belikan mainan, sepatutnya belikan untuk dua-dua atau ajar mereka berkongsi. Ini tidak, Rafiqi dimarahi mereka kerana pegang mainan anaknya. Rafiqi banyak mengalah, tapi sebagai budak yang dah faham tentang hidup, dia terasa hati,” cerita kawan penulis beberapa tahun lalu.

Walaupun sesetengah berpendapat, Rafiqi nampak mengada-ngada dan mungkin menyifatkan situasi itu remeh, namun persepsi itu silap!

Ketahuilah, berdosa seandainya kita menyakiti anak yatim kerana ia dikira sebagai menzalimi mereka juga. Menyakiti itu juga tidak semestinya dengan memakan harta benda mereka sahaja, tetapi ada banyak lagi perkara yang boleh melorongkan ke arah itu.

Dalam konteks agama, mengapa golongan anak yatimm begitu dimuliakan? Apakah hak-hak mereka?

Kedudukan anak yatim

Mendalami topik yang menyentuh perasaan itu, Sinar Islam menghubungi pendakwah Ustaz Hadi Talhah.

USTAZ HADI

Agamawan itu menjelaskan, kedudukan anak yatim begitu istimewa. Golongan itu perlu disantuni selepas kita berbuat baik kepada ibu bapa dan kaum kerabat. Ia sebagaimana disebutkan ALLAH SWT dalam al-Quran.

Firman ALLAH SWT: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada ALLAH dan janganlah kamu menyekutukan-NYA dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki.” (Surah an-Nisa’, ayat 36)

Berdasarkan kalamullah itu, jelas Ustaz Hadi, kedudukan anak yatim lebih teratas daripada fakir miskin. Justeru, sememangnya kita dianjurkan untuk menyantuni mereka.

“Bayangkan mereka ditinggalkan pada usia yang masih kecil dan belum baligh, tidak mampu mencari nafkah dan hilang tonggak utama keluarga. Disebabkan itu, anak yatim perlu diberikan perhatian dan bantuan. Tidak kiralah sama ada dari sudut fizikal, keperluan dan penjagaan mereka,” katanya.

Lantaran itu, tegas Ustaz Hadi, Islam melarang keras umatnya menyakiti anak yatim. Perbuatan tersebut termasuk sebagai dosa besar lebih-lebih lagi jika memakan harta mereka.

Sehubungan itu, Ustaz Hadi berpesan agar umat Islam mengikuti keperibadian Rasulullah SAW yang sering menyantuni anak-anak yatim yang bakal menjadi teman baginda di syurga kelak.

Sesungguhnya, mereka yang memelihara anak yatim juga dijanjikan ALLAH ganjaran syurga.

Sabda Rasulullah SAW: “Aku (Rasulullah) dan orang yang menanggung anak yatim (kedudukannya) di syurga seperti ini.” Kemudian baginda SAW mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengah baginda serta merenggangkan sedikit kedua-duanya. (Riwayat al-Bukhari)

Adil

Mengulas mengenai dosa menyakiti anak yatim, Sinar Islam mendapatkan ulasan daripada pendakwah Ustaz Haslin Bahrim.

USTAZ HASLIN

Ujar Ustaz Haslin, menyakiti golongan itu bermakna kita telah menzalimi anak-anak yatim. Zalim bermakna meletakkan sesuatu bukan pada haknya. Perbuatan itu termasuklah dengan membeza-bezakan anak sendiri dengan anak yatim.

“Umpamanya, anak kita (diberi) makan ikan bawal, manakala anak yatim itu pula (diberi) makan ikan kembung. Ini memang tidak boleh,” katanya.

Seandainya berlaku kematian adik-beradik atau ipar dalam keluarga, tegas Ustaz Haslin, wajib bagi kita sama ada lelaki atau wanita untuk menerima dan menjaga anak saudara yang menjadi yatim.

Apatah lagi jika suami atau isteri kita adalah satu-satunya keluarga atau waris kepada anak-anak yatim tersebut, terang beliau.

“Walaupun datuk dan neneknya mungkin masih ada, tetapi telah uzur, maka kita sebagai satu-satunya adik-beradik yang ada kena menerimanya (tanggungjawab menjaga anak saudara kematian bapa). Hukumnya jadi wajib, bukan lagi sunat atau harus.

“Andai kita tak ambil (anak saudara tadi), itu bermakna kita sudah menyakiti dan menzalimi anak yatim. Ingatlah, ALLAH hendak menguji kehidupan kita dengan memberikan (ujian) saudara kita meninggal, kemudian tiada siapa yang boleh jaga anak-anak mereka.

“Jika benar-benar kita tidak mampu, tiada masalah untuk dihantar kepada rumah anak-anak yatim, tapi ambil tahu perihal mereka di sana,” jelas beliau.

Dosa menyakiti anak yatim
JIKA diamanahkan menjaga anak yatim, hindarilah sikap membeza-bezakan layanan antara anak sendiri dengan mereka.

Ustaz Haslin yang terkenal dengan jolokan Ustaz Bollywood itu turut memetik kata-kata alim ulama bahawa rumah yang ada anak yatim itu tidak akan bertemu kefakiran.

“Insya-ALLAH ada keberkatan dalam harta kita apabila kita membela anak-anak yatim ini dengan penuh keikhlasan,” jelas beliau.

Bukan beban

Menjawab satu soalan, Ustaz Haslin berkata, sekalipun tiada pertalian darah dengan anak yatim berkenaan, kita tetap digalakkan untuk berbuat baik terhadap mereka. Apatah lagi, jika anak yatim tadi merupakan jiran kita.

“Maka tanggungjawab sebagai jiran, mungkin boleh berikan mereka makan atau bawa keluar jalan-jalan menghiburkan hati mereka jika diizinkan oleh ibu atau waris.

“Waima kalau anak yatim itu melakukan perkara jahat atau tidak betul sekalipun, kita boleh menegur mereka dengan cara yang betul,” katanya.

Dosa sakiti anak yatim
USAH mengherdik atau menyakiti anak yatim, sebaliknya peliharalah mereka dengan sebaik-baiknya.

Pendakwah tersebut turut mengingatkan agar masyarakat tidak menganggap anak yatim sebagai beban. Ini kerana segelintir orang beranggapan begitu kerana dikatakan ‘anak itu menjadi punca kematian bapanya’.

“Ingatlah, Islam menafikan perkara-perkara khurafat, tahyul dan yang bertentangan dengan syariat. Sebaiknya, muliakanlah anak yatim ini dengan memberi makan, jaga kebajikan mereka dan sebagainya.

“Saya sarankan, jika ada anak-anak jiran kematian bapa, kita penduduk satu taman ini pakat-pakatlah taja belanja sekolah anak-anak yatim contohnya RM5 sehari,” saran beliau.

Ingatlah bahawa anak yatim merupakan ‘ladang’ untuk kita menuai kebaikan. Siapa tahu, dengan memuliakan anak-anak yatim itu menjadikan saham kita menuju ke syurga akan melonjak naik.