SEJAK kecil lagi, kita telah didedahkan dengan banyak ‘pantang larang’ oleh ibu bapa masing-masing.

Nampak sahaja kelibat kita lalu berhampiran tempat yang dirasakan kurang sesuai seperti pusat hiburan atau kedai nombor ekor, mulalah kedengaran suara kedua-dua mereka melarang kita mendekati kawasan berkenaan.

Bukan apa, risau jika kita terjebak dengan perkara yang bukan-bukan. Andai tidak dilarang sejak dari kecil lagi, sudah tentulah kita akan terbiasa dengan tempat berkenaan.

Walaupun ketika itu kita masih dalam dunia kanak-kanak yang penuh dengan keseronokan, namun sebenarnya tegahan itu masih boleh tersemat dalam fikiran hingga kita menginjak usia dewasa.

Barangkali kini, ada antara kita yang sudah bergelar ibu bapa. Sekali lagi, pendekatan sama diambil bagi mendidik anak-anak agar tidak mendekati tempat yang ‘berbahaya’.

Ketahuilah, semua itu merupakan didikan yang diajar oleh agama Islam. Malah, Islam melarang umatnya daripada berkawan dengan orang yang tidak baik.

Pendakwah Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani menegaskan, umat Islam perlu sentiasa berada di tempat dan dengan orang yang baik.

USTAZ AHMAD DUSUKI

Jelas beliau, kedua-dua perkara itu sangat penting kerana ia antara penentu sama ada kita meninggal dunia dalam keadaan yang baik atau tidak.

“Jangan biarkan diri kita pergi tempat-tempat yang tak baik dan biarkan diri kita ini duduk berkawan dengan orang yang tak baik. Nanti kita mati dalam keadaan suul khatimah. 

“Islam larang kita berkawan dengan orang yang tidak baik. Sebaliknya, berkawanlah dengan orang baik dan duduk dengan orang soleh,” katanya sebagaimana dipetik daripada video yang dikongsikan menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

Ujar agamawan itu lagi, sebagai hamba-NYA, kita harus sentiasa meraih peluang untuk duduk dalam halaqah (lingkaran) bersama orang soleh.

“Siapa orang soleh itu? Pasangan hidup yang soleh, anak-anak soleh, keluarga yang soleh dan jiran tetangga yang soleh juga.

Berkawan
PILIHLAH kawan yang baik supaya mereka boleh memandu kita ke arah kebaikan.

“Bila dapat semua ini dalam hidup, apabila diri kita ini dekat-dekat nak meninggal dunia, orang-orang soleh itulah yang akan memberi kekuatan pada diri kita. Ini kekuatan dalam minda kita.

“Anak-anak baca doa untuk kita, keluarga kita baca doa untuk diri kita dan semua orang soleh tadi akan bantu kita untuk jadi husnul khatimah. Itulah kekuatannya,” katanya.

Jelas beliau lagi, ia merupakan antara usaha yang diajar oleh agama untuk kita mendapatkan kematian yang baik iaitu husnul khatimah.

Selebihnya, alim ulama turut mengajar kita agar teruskan berdoa supaya dimatikan dalam keadaan yang baik.

Antara doa yang dianjurkan adalah berbunyi Allahummah tim ajalana bihusnil khatimah wala tahtim ajalana bisuil khatimah (Ya ALLAH, tolong matikanlah saya dalam keadaan khusnul khatimah, jangan matikan saya dalam keadaan buruk pada diri saya).

Apa pula akan terjadi saat kita berkawan dan mendekati tempat yang buruk?

Iklan

Bayangkan andai diri kita hidup bergelumang dengan orang yang buruk dari segi akhlak dan perangainya, tidak terlintas dalam fikiran untuk mengingati kematian, jelas Ustaz Ahmad Dusuki.

Berkawan
JANGAN sesekali pergi ke tempat yang tidak baik agar diri terhindar daripada fitnah dan dibuai kelekaan dunia.

“Bila kita duduk dengan orang yang jenis demikian, tahu-tahu sampai ajal kita pada saat itu, menyesal tak sudah. Apa tidaknya, kita mati bersama dengan orang yang tak baik, mati dalam keadaan suasana yang tidak baik ataupun elok parking kereta depan kedai nombor ekor misalnya, sampai saja depan kedai nombor ekor, kita mati.

“Apa agaknya orang akan cakap. Bila ada orang tanya kita mati di mana? Orang cakap, mati depan kedai nombor ekor, ALLAH…malunya kita walaupun kita tak masuk pun dalam kedai nombor ekor itu. Ia membuka fitnah,” katanya.

Ustaz Ahmad Dusuki sekali lagi dalam nada tegas mengingatkan agar masyarakat tidak membiasakan diri pergi ke tempat-tempat yang tidak bagus.

Iklan

Seandainya melalui kawasan berkenaan, beliau berpesan supaya berjalan laju dan usah menoleh apa yang ada di tempat berkenaan.

“Jangan pula bila kita lalu kawasan yang tak elok, mata kita memandang nak tengok orang buat maksiat. Jangan buat demikian. Dibimbangi mati kita (nanti) di tempat yang sedemikian,” ujar beliau.

Memang orang selalu cakap berkawan jangan memilih. Benar, berkawanlah dengan sesiapa, tetapi ingatlah, dalam hidup ini, kita kena pandai pilih kawan.

Semuanya demi kebaikan diri sendiri. Justeru, jangan tersilap dalam memilih kawan. Ikutilah panduan yang telah diajar oleh agama Islam.

Sumber: Instagram ustazahmaddusuki

Foto: Pexels, Freepik & Unsplash