MASYARAKAT kita sememangnya begitu peka. Apabila ada perkhabaran duka seperti berita kematian, cepat sahaja maklumat itu sampai kepada semua orang melalui platform media sosial.

Ya, kemudahan sedia ada pada hari ini memang serba canggih dan sangat memudahkan kita untuk menyebarkan maklumat berkenaan.

Ucapan takziah dan lafaz Innalillahi wa inna ilaihi raji'un juga tidak putus-putus diterima ahli keluarga melalui platform yang sama.

Namun, di sebalik berita sedih itu, kadangkala ada juga netizen tidak bertanggungjawab memberikan komen sensitif yang boleh merentap lagi kesedihan ahli keluarga mereka.

Meskipun ia merupakan akaun media sosial milik peribadi, tetapi ia bukanlah tiket untuk kita memberikan komen bersifat mengaibkan. Apatah lagi terhadap individu yang sudah meninggal dunia.

Pendakwah selebriti, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Azman mengingatkan masyarakat agar tidak mencaci orang yang sudah meninggal dunia hanya kerana amalannya yang tidak sempurna ketika hayatnya.

"Kita tak tahu apa yang dia lalui antara dia dengan Tuhan menjelangnya ajal.

"(Sebaliknya) Tugas kita yang hidup adalah mendoakan kesejahteraannya di sana (alam barzakh)," kongsinya di Instagram miliknya baru-baru ini.

Caci orang meninggal
KITA yang masih hidup, doakanlah kesejahteraan orang yang sudah meninggal dunia.

Meskipun pada mata kasar, kita melihat seseorang itu kurang bagus dari segi agamanya, PU Azman yang mesra disapa Cik Man menegaskan, kita tetap tidak layak untuk menghukum seseorang.

"Walaupun kita tengok dia tak bagus agamanya, tak tutup aurat, tapi itu tetap bukan lesen untuk menghukum syurga nerakanya.

Iklan

"Adakah kita tahu lebih pantas dari Tuhan untuk mengetahui isi hati manusia?," soalnya.

Beliau turut mengemukakan sebuah hadis sahih yang masyhur sebagai pedoman buat kita.

Rasulullah SAW bersabda: "Jangan cela orang mati kerana mereka telah menjumpai apa yang telah mereka kerjakan." (Riwayat al-Bukhari)

Iklan

Justeru, jangan begitu mudah menghukum orang lain. Ingatlah bahawa kita juga manusia yang dijadikan oleh ALLAH SWT, sama seperti orang lain.

Tidak sepatutnya kita berbuat demikian. Malah, kita juga tidak layak untuk menjatuhkan hukuman mendahului Sang Pencipta.

Apa pun, jagalah lidah dan percakapan kita dengan sebaiknya. Begitu juga dengan jari yang menaip di media sosial masing-masing. Usah menaip sesuatu yang mengaibkan atau membuatkan orang lain tersinggung.

Kelak, semua anggota badan kita bakal ditanya di akhirat nanti.

Sumber: Instagram puazmanofficial

Foto: Bernama