Jangan dekati ajaran Millah Abraham, perangi habis-habisan fahaman sesat ini…

Millah Abraham
October 16, 2020
Nurulfatiha

MILLAH [email protected] adalah ajaran yang telah diasaskan oleh Ahmad Musadeeq di Bogor, Indonesia. Ajaran tersebut disedari mula berkembang di Malaysia pada tahun 2013 setelah aduan demi aduan diterima oleh pihak berkuasa agama negeri Selangor.

Kumpulan itu mendakwa, nama ajaran tersebut dipetik dan bertepatan dengan firman ALLAH SWT dalam Surah al-An’am, ayat 161: “Sesungguhnya aku telah ditunjuki oleh Tuhanku kepada jalan yang lurus, (iaitu) agama yang benar; agama Ibrahim yang lurus; dan Ibrahim itu bukanlah termasuk orang-orang yang musyrik.”

Mereka meyakini bahawa ajaran itu adalah ajaran yang lurus lagi benar setelah jatuhnya Kerajaan Islam Abbasiyah, manakala Islam yang diamalkan pada hari ini adalah palsu.

Dakwaan itu mengakibatkan sesiapa sahaja selain pengikut mereka adalah sesat. Kadangkala ia bertambah jelik apabila mereka menyandar dan memanipulasikan terjemahan serta kefahaman ayat dalam surah Al-Nahl, ayat 123 dan surah Al-Imran, ayat 83 bagi menjustifikasikan kebenaran ajaran yang dibawa.

Mereka menggunakan sistem talaqqi (bersemuka) dalam kumpulan yang kecil dan menjadikan al-Quran terjemahan sebagai subjek utama dalam pengajian mereka yang kononnya menjadikan kalamullah itu sebagai sumber rujukan utama.

Percanggahan amalan mereka termasuklah mendakwa wujudnya ajaran dan kerajaan Islam baharu dan ada rasul yang memimpin kerajaan tersebut selepas Nabi Muhammad SAW iaitu Ahmad Musadeeq.

Ajaran itu juga boleh dikesan melalui cara ibadah oleh pengikutnya iaitu meninggalkan solat lima waktu termasuk solat Jumaat.

Malah, mereka sanggup memutuskan hubungan keluarga dan suami isteri.

JAUHI diri daripada ajaran sesat yang tergelincir daripada Islam.

Keputusan fatwa

Berdasarkan warta fatwa pada 17 September 2015, kerajaan negeri Selangor memutuskan bahawa ajaran Millah Abraham di negeri ini boleh diambil tindakan undang-undang.

1. Fahaman dan ajaran Millah Abraham adalah menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam kerana mengandungi elemen-elemen berikut:

* Membawa ajaran dan kerajaan baharu (Millah Abraham).

* Mendakwa ada rasul selepas Nabi Muhammad SAW.

* Mensyirikkan golongan yang tidak mengikuti ajaran Millah Abraham.

* Menggabungkan tiga ajaran agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi.

* Menyalahertikan maksud kiamat.

* Memahami al-Quran mengikut tafsiran sendiri.

* Tidak melaksanakan solat lima waktu dan solat Jumaat.

* Taasub kepada ajaran sehingga sanggup memutuskan hubungan keluarga dan suami isteri.

(Artikel berkaitan: Bahaya ajaran Qadiani… Fahaman yang menyimpang daripada landasan Islam sebenar, umat Islam disaran berhati-hati)

2. Mana-mana orang Islam diharamkan berpegang kepada fahaman dan ajaran Millah Abraham termasuklah:

* Menjadi pengikut ajaran Millah Abraham atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengan ajaran itu.

* Mengajar, menganjur, mengadakan, membantu menjayakan apa-apa perayaan, sambutan keraian atau majlis dalam majlis perayaan atau keraian yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham.

* Mengisytiharkan diri sebagai orang yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya melalui pengakuan bersumpah atau apa juga kaedah.

* Berselindung di sebalik apa-apa aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebagainya melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan ajaran, pegangan dan fahaman Millah Abraham.

* Cuba hidupkan kembali, mengamal dan menyebarkan fahaman serta ajaran Millah Abraham di Selangor.

* Memiliki, menyimpan, mencetak, menjual atau mengedar filem, rakaman, audio, risalah, buku, majalah atau apa-apa terbitan, risalah atau apa-apa dokumen menggunakan apa-apa bentuk lambang, rajah atau tanda tanda yang boleh mengaitkan fahaman dan ajaran Millah Abraham.

* Telah berbaiah (taat setia) dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham.

3. Mana-mana orang Islam yang telah berbaiah atau mengamalkan fahaman dan ajaran Millah Abraham hendaklah segera bertaubat kepada ALLAH SWT.

4. Apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham adalah bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.

5. Apa-apa jua bahan publisiti dan sebaran yang menonjolkan ajaran, pegangan atau fahaman Millah Abraham @ Ibrahim sama ada dalam bentuk penerbitan dan cetakan atau siaran di mana-mana laman web, blog, Facebook, Twitter atau media sosial lain adalah diharamkan.

6. Mana-mana orang Islam yang melakukan perkara-perkara di atas boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa di negeri Selangor.

Oleh itu, umat Islam di Malaysia khususnya di Selangor perlulah berpegang dengan ajaran Ahli Sunah Waljamaah dan menjauhkan diri daripada terlibat dengan sebarang aktiviti yang disebutkan di atas.

Segera laporkan segala aktiviti dan perilaku yang meragukan kepada pihak berkuasa agama bagi membendung penularan ajaran yang boleh merosakkan akidah, syariat serta akhlak umat Islam.

Artikel ini ditulis oleh Majlis Agama Islam Selangor

About Nurulfatiha

Biodata Penulis