KEBANYAKAN suami isteri bekerja pada hari ini demi menampung keperluan hidup dan kos sara hidup yang tinggi. Pastinya rutin harian yang dilalui agak sibuk. Masakan tidak, kita perlu bijak membahagikan masa untuk mengurus kerjaya dan rumah tangga.

Bagi pasangan yang dikurniakan anak, lazimnya, mereka akan menghantar anak-anak di taska atau mengupah pengasuh untuk menjaga permata hati mereka.

Namun, segelintir mereka yang berkemampuan pula akan mengupah pembantu rumah yang boleh diharapkan untuk mengasuh anak masing-masing sepanjang mereka bekerja.

Begitupun, tidak semua orang bernasib baik. Sebilangan orang terpaksa menghantar anak-anak kepada ibu bapa masing-masing untuk dijaga kerana tidak mampu membayar pengasuh. Itu pun jika kebetulan mereka duduk serumah atau kediaman mereka berdekatan dengan ibu bapa atau mertua masing-masing.

Namun, cerita kurang enaknya apabila ada segelintir orang sanggup mengupah ibu bapa masing-masing untuk menjaga anak mereka, sekali gus membantu mereka menguruskan rumah masing-masing.

Sekali imbas, mungkin perkara itu dianggap remeh. Apa tidaknya, memang rata-rata sikap kedua orang tua kita memang begitu. Tidak suka duduk diam. Ada sahaja ingin dilakukan meskipun ketika bertandang ke rumah anak mereka.

Anak ambil kesempatan terhadap kebaikan ibu bapa
BERBAKTILAH kepada kedua ibu bapa selagi mereka masih ada di dunia ini.

Pun begitu, usahlah kita mengambil kesempatan atas kebaikan dan kemurahan hati ibu bapa kita.

Pendakwah Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid berkata, Rasullah SAW pernah ditanyakan tentang kedudukan orang tua pada seorang anak.

Nabi Muhammad SAW menjawab: “Orang tua adalah syurga kamu atau neraka kamu.”

“Berdasarkan sabda nabi itu, jelaslah bahawa kita sendiri mempunyai pilihan sama ada hendak masuk ke syurga iaitu dengan berbakti kepada orang tua atau masuk ke neraka apabila kita melawan orang tua.

“Bagaimanapun ingatlah, tak ada makna ibadah seseorang walaupun dirinya banyak kali menunaikan haji dan umrah serta banyak bersedekah jika tidak dapat membahagiakan atau berbakti kepada orang tuanya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

Sebagai seorang anak, Habib Ali Zaenal Abidin mengingatkan kita agar berbaktilah kepada orang tua masing-masing dan jangan sesekali sombong kepada mereka.

(Artikel berkaitan: Anak bagi duit, tapi tak ziarah ibu bapa, macam mana tu…)

“Jangan sombong kepada orang tua, jangan sombong kepada orang lain, jangan sombong kepada dirinya sendiri.

“Ketahuilah, pada akhir zaman, anak akan sombong dengan orang tua. Pada akhir zaman juga, anak akan mengungkit ihsannya kepada orang tua, anak akan berkira dengan orang tuanya dan orang tua akan takut dengan anaknya.

“Pada akhir zaman juga, anak tidak hormat pada orang tuanya,” katanya.

Jika keadaan itu berlaku, agamawan itu mengingatkan kita tentang tanda-tanda kiamat yang mana salah satu daripadanya ialah hamba sahaya yang melahirkan tuannya.

Anak ambil kesempatan terhadap kebaikan ibu bapa
LUANGKAN masa untuk menziarahi ibu bapa masing-masing jika ada kesempatan.

Jelas beliau, ia bermaksud seorang ibu (hamba sahaya) melahirkan anak (yang menjadi majikan kepada ibunya).

Iklan

“Bagaimana anak boleh menjadi majikan kepada ibunya? Itulah yang dipanggil anaknya berstatus sebagai majikan yang boleh suruh dan memerintah ibunya sehingga ibu umpama pembantu bagi anaknya.

“Ibu umpama orang suruhan yang disuruh ke sana dan ke sini. Ibu macam diberi gaji untuk jaga cucu atau sebagainya.

“Kalau itu adalah kehendak daripada diri sendiri atau perkara itu atas dasar kasih sayang atau dengan keikhlasan, tidak ada masalah.

“Namun begitu, kalau anak mengatakan kepada orang tuanya: ‘Aku bayar kamu kamu jaga anak aku’…tidak sepatutnya dia (anak) berbuat demikian kepada orang tuanya.

Iklan

“Ini kerana, kata Nabi Muhammad SAW: ‘Engkau dan harta kamu milik orang tua kamu’,” pesannya.

Justeru, berhati-hatilah dalam setiap tindak-tanduk kita. Apatah lagi, kepada ibu bapa yang tidak pernah lelah melahirkan, membesarkan dan menjaga kita dengan penuh sempurna hingga kita menjadi insan berguna pada hari ini.

Sumber: Instagram @habibalizaenalalhamid

Foto: 123rf & Freepik