Jangan jadi hamba kepada diri dan nafsu, lakukanlah semua perkara ikhlas kerana ALLAH

Ikhlas
January 8, 2021
Oleh Nurulfatiha

SIFAT ikhlas begitu penting dalam kamus hidup kita. Jika tidak, sia-sialah apa sahaja yang kita lakukan termasuklah dalam perihal ibadah dan juga urusan lain.

Menurut Imam al-Jurjani dalam Kitab al-Ta‘rifat, dari sudut bahasa, ikhlas bermaksud meninggalkan riak apabila melakukan ketaatan. Dari sudut istilah pula, ia bermaksud membersihkan hati daripada bercampur dengan sesuatu yang memudaratkan kebersihannya dan dapat mengetahui sesuatu yang mencampurinya. Dengan itu, ia dapat dielakkan.


Dalam al-Risalah al-Qushayriyyah yang dikarang oleh Imam al-Qushayri, al-ikhlas bermaksud berniat semata-mata kerana Tuhan yang memiliki nama al-Haqq dalam ketaatan. Manusia mentaati ALLAH SWT adalah semata-mata kerana ingin mendekatkan diri kepada-NYA tanpa tujuan lain seperti pujian. Hakikat keikhlasan adalah terpelihara daripada belenggu riak dan hawa nafsu.

Menyelak lembaran dalam Kitab al-Arba‘in fi Usul al-Din, Imam al-Ghazali menukilkan satu fasal khusus tentang al-ikhlas. Beliau meletakkan fasal itu di bawah bahagian keempat yang bertajuk akhlak yang terpuji.

Jelas Imam al-Ghazali, al-ikhlas mempunyai tiga rukun iaitu asas, hakikat dan kesempurnaan. Rukun pertama merujuk kepada niat kerana dalam niat terdapat al-ikhlas.

Niat akan menghasilkan pergerakan anggota badan. Ia bermula daripada ilmu, keinginan dan kekuatan. Ilmu menggerakkan keinginan, kemudian keinginan berperanan membangkitkan kekuatan untuk menggerakkan anggota badannya.

Contohnya, seseorang yang bangun daripada tidur lalu melihat makanan, maka ia memiliki ilmu tentangnya. Kemudian ilmu itu menggerakkan keinginannya untuk menjamahnya. Akhirnya, keinginan tersebut membangkitkan kekuatannya untuk bertindak dengan menggerakkan tangannya, lalu menikmati makanan tersebut.

Iklan

Ikhlas
LAKUKAN setiap urusan termasuk pekerjaan dengan penuh keikhlasan.

Rukun kedua adalah hakikat yang merujuk kepada satu perkara yang membangkitkan niatnya. Jika ada dua perkara yang mendorongnya untuk melakukan sesuatu, maka ia bertentangan dengan hakikat keikhlasan.

Sementara, rukun ketiga pula merujuk kepada al-sidq iaitu keikhlasan yang sempurna. Al-Sidq bermaksud benar yang mana ia terdiri daripada enam pengertian.

Iklan

Ia merangkumi pertuturan, sifat benar pada niat dan keinginan, sifat benar pada keazaman, menunaikan janji dengan penuh keazaman (lebih kuat berbanding pengertian ketiga), sifat benar pada perbuatan (merujuk kepada amal perbuatan zahir seseorang yang menepati aspek dalamannya) dan terakhir, sifat benar dalam merealisasikan maqammaqam keagamaan.

(Artikel berkaitan: Berpuluh-puluh tahun solat, tapi tak diterima. Ini sebabnya yang wajib kita ambil tahu)

Al-Sidq tertinggi

Pengertian keenam itu merupakan al-Sidq paling tinggi umpamanya, takut kepada ALLAH SWT. Imam al-Ghazali memberi contoh bahawa seseorang yang memiliki sifat takut kepada ALLAH SWT, belum tentu ia benar-benar takut kepadaNYA berbanding sifat takutnya ketika berhadapan dengan pemerintah atau perompak yang zalim.

Pada permulaan perbahasan berkenaan tajuk al-Ikhlas dalam Ihya‘ ‘Ulum al-Din, Imam al-Ghazali menjelaskan kelebihan dan kepentingan keikhlasan.

Ilmuan Islam itu mengemukakan firman ALLAH SWT: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah ALLAH dengan mengikhlaskan ibadah kepada-NYA, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.“ (Surah al-Bayyinah, ayat 5)

Dalam Surah al-Nisa‘, ayat 146, ALLAH SWT berfirman: “Kecuali orang-orang yang bertaubat (dari perbuatan munafik itu) dan memperbaiki amalan mereka (yang salah), dan mereka pula berpegang teguh kepada (agama) ALLAH serta mengerjakan agama mereka dengan ikhlas kerana ALLAH.“

Menurut Imam al-Ghazali, sesuatu yang bercampur apabila bersih daripada campuran tersebut, maka ia dikenali sebagai khalis. Perbuatan untuk membersihkan atau mengasingkan antara kedua-duanya dikenali sebagai ikhlas.

Firman ALLAH SWT: “Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. KAMI beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dan darah, (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.“ (Surah al-Nahl, ayat 66)

Berdasarkan ayat itu, Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa susu yang khalis (bersih) ialah susu yang tidak bercampur dengan darah, farth (najis di dalam perut binatang) dan bahan-bahan yang lain.

Ikhlas
DIDIK dan pupuk anak-anak tentang sifat ikhlas sejak dari kecil lagi agar mereka dapat membiasakan diri dengan sikap sedemikian.

Sementara itu, lawan bagi kalimah ikhlas ialah ishrak (penyekutuan). Maka, pada sudut bahasanya bahawa sekiranya individu itu tidak ikhlas, maka ia dikenali sebagai mushrik (seseorang yang menyekutukan).

Namun begitu, syirik ada peringkat-peringkatnya yang tersendiri. Antaranya, syirik dalam akidah yang terdiri daripada syirik khafiyy (kecil/tersembunyi) dan jaliyy (besar/jelas).

Dari segi ikhlas dalam akidah, ia dikenali sebagai tauhid, manakala lawannya ialah tashrik apabila berhubung dengan hal ehwal ketuhanan.

Lawan bagi ikhlas adalah sesuatu yang bergilir-gilir berada dalam hati manusia yang mana ia berkaitan dengan niat. Apabila niatnya sudah bercampur-campur dengan sesuatu yang lain, maka ia tidak dianggap ikhlas lagi. Malah, ia dipanggil sebagai riak yang merupakan syirik khafiyy. Ia sebagaimana disebut oleh Imam al-Ghazali dalam kitab Bidayat al-Hidayah.

Imam al-Ghazali berpandangan, ikhlas yang sebenar-benarnya ialah individu tersebut tidak menjadi hamba kepada diri dan nafsunya. Sebaliknya, mengabdikan diri kepada ALLAH SWT dengan istiqamah dan mematuhi segala perintah yang diputuskan oleh ALLAH SWT supaya beribadah kepada-NYA.

Segala perbuatan itu menunjukkan bahawa seseorang itu telah memisahkan dirinya daripada segala yang selain daripada-NYA.

Maka, dapat difahami daripada pandangan Imam al-Ghazali bahawa antara ciri-ciri yang bertentangan dengan al-ikhlas adalah tidak ikhlas, riak, ujub dan mementingkan hawa nafsu.

Tuntasnya, keikhlasan melibatkan rukunnya iaitu asas, hakikat dan kesempurnaan. Semua itu berkaitan dengan niat dalam segala tingkah laku seseorang itu adalah bersih daripada selain ALLAH SWT yang mana perbuatan yang dilakukannya adalah semata-mata kerana-NYA.

Penulis: Dr Mohd Hasrul Shuhairi (Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin)

Foto: Freepik

 

Iklan

About Nurulfatiha

Biodata Penulis