Iklan

Jangan kedekut ilmu, menjadi kewajipan kita untuk sebarkannya… Ini sebabnya

Kedekut ilmu
October 9, 2020
Nurulfatiha

PADA hari ini, kita mungkin hidup senang dan selesa. Ada kerjaya tetap yang bagus dan gaji bulanan yang terjamin.

Ya, semua itu datangnya daripada ALLAH SWT. Bersyukurlah dengan nikmat yang diberikan-NYA.

Iklan

Di sebalik kejayaan yang dikecapi, jangan pernah lupakan jasa mereka yang pernah menjadi tulang belakang kita iaitu kedua ibu bapa dan guru. Mereka insan penting yang melorongkan kita kepada kejayaan tersebut.

Tanpa guru, barangkali kita tidak pandai membaca, meneroka pelbagai cabang ilmu dan seumpamanya. Tidak hairanlah jika jasa guru begitu dipandang tinggi.

Malah, agama Islam juga memuliakan mereka yang bergelar pendidik. Pada masa sama, kita tidak boleh kedekut ilmu. Sebaliknya, ia menjadi kewajipan kita untuk menyebarkannya.

Iklan

Kenapa kita digalakkan berbuat demikian? Apa istimewanya golongan pendidik di sisi Islam? Apakah contoh didikan terbaik?

Ikuti komentar daripada Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan,Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Mara Cawangan Johor, Rafiuddin Mohd Yusof yang memperincikan lanjut tentang kemuliaan warga pendidik:

RAFIUDDIN

Tiada siapa yang dapat menafikan jasa dan sumbangan seorang manusia yang bergelar pendidik, guru, cikgu, pensyarah atau apa juga gelaran yang seumpama dengannya.

Masakan tidak, segala perkara yang berkaitan dengan kejayaan dan kecemerlangan oleh seseorang, pastinya datang daripada sumbangan golongan itu.

Tidak kira dalam apa jua bidang sekalipun, gurulah insan yang memberi tunjuk ajar dan teguran dalam memastikan kita menjadi insan yang berguna dan berjaya di dunia dan akhirat.

Oleh sebab itu, Islam sangat meninggikan taraf seorang pendidik, selari dengan tugas dan amanah yang dipikul mereka. Sudah tentu setiap orang yang bergelar pendidik harus mempunyai sifat-sifat yang boleh dijadikan contoh kepada siapa yang dididiknya itu.

Dalam perkara ini, cukup jelas bahawa Nabi Muhammad SAW adalah contoh tokoh pendidik yang teragung. Hal ini kerana baginda merupakan seorang guru yang terhebat, cemerlang, berpandangan jauh dan berwawasan berdasarkan kepada ketinggian akhlak dan keperibadian Rasulullah SAW.

Ia sebagaimana disebutkan dalam firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah SAW itu bagi kami adalah satu contoh teladan yang baik.” (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Bagi seorang pendidik, setiap ilmu yang diterapkan sama ada di dalam atau di luar kelas, pastinya berbentuk kebaikan dan peringatan atas sesuatu kesalahan yang telah dilakukan.

Begitulah juga yang sebenarnya telah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dalam proses pendidikan dan pembelajaran pada ketika itu. Ia telah diaplikasikan dalam bentuk amali dan praktikal dalam pendidikan masa kini.

Demikian lazimnya tugas seorang pendidik iaitu mencurahkan ilmu dan peringatan sejajar dengan firman ALLAH SWT: “Dialah yang telah mengutuskan daripada kalangan Umiyyin seorang rasul (Nabi Muhammad) daripada bangsa mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat-ayat-NYA dan menyucikan mereka serta mengajar mereka kitab al-Quran dan hikmah (as-Sunnah). Sesungguhnya mereka sebelum itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Surah al-Jumuah, ayat 2)

ALLAH SWT sangat memandang tinggi kepada golongan yang berilmu. Sudah tentu, seorang pendidik itu merupakan mereka yang terdiri daripada kalangan orang yang memiliki banyak ilmu pengetahuan.

Seandainya seorang pendidik itu tidak berilmu, bagaimana dia mahu untuk menyampaikan dan menyebarkan sesuatu kepada yang mendengarnya?

Kedekut ilmu
RASULULLAH SAW disifatkan sebagai pendidik terbaik kerana menyampaikan ilmu dengan tutur kata sopan dan memberi penerangandalam sesuatu perkara dengan pendekatan yang mudah difahami dan jelas.

Rasulullah pendidik terbaik

Begitu juga dengan Rasulullah SAW, baginda juga menyatakan dalam sebuah hadis bahawa orang yang berilmu itu adalah lebih afdal (utama) daripada mereka yang kuat beribadah.

Oleh yang demikian, peranan mengajar atau mendidik itu merupakan satu keutamaan dan kewajipan bagi seorang Islam yang mengetahui tentang suatu ilmu.

(Artikel berkaitan: Kalau kurang ajar dengan guru, hidup tak akan berjaya tanpa doa mereka)

Ketahuilah, ilmu yang kita pelajari itu haruslah diamalkan dan disampaikan kepada orang yang tidak mengetahuinya.

Pada masa sama, jangan sesekali kita kedekut dengan ilmu yang dimiliki. Ingatlah, semua itu datangnya daripada ALLAH SWT yang bersifat pinjaman sahaja.

Kewajipan mengajar dan menyampaikan ilmu ini telah disebut oleh ALLAH SWT dalam surah Ali-Imran, ayat 187: “Dan (Ingatlah) ketika ALLAH mengambil perjanjian setia daripada orang-orang yang telah diberikan kitab:“ Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi kitab itu kepada umat manusia dan jangan sesekali menyembunyikannya.”

Justeru sebagai seorang pendidik, kita perlu mencontohi Rasulullah SAW dalam menyebarkan ilmu dan mengajar manusia lain melalui cara penerangan yang menarik, tutur kata yang fasih dan lancar, perwatakan yang baik dan sentiasa bersikap terbuka.

Dengan cara yang sedemikian, kita pasti akan mudah didekati oleh masyarakat dan setiap ilmu yang disampaikan itu sudah tentu akan mudah diterima oleh mereka.

Sehubungan itu, sebagai pendidik, jadilah seorang yang mudah didekati dan disenangi oleh masyarakat khususnya anak didik kita. Namun, di sebalik keakraban dan kemesraan itu, kita perlu mengetahui adab pergaulan dan batasan aurat dan mahram antara satu sama lain.

Di samping itu, kepelbagaian teknik penyampaian juga penting bagi pendidik seiring dengan perkembangan teknologi.

Benarlah jasa pendidik sangat mulia di sisi ALLAH SWT disebabkan ilmu yang disampaikan itu.

Oleh yang demikian, seorang pemimpin yang hebat, para alim ulama, tokoh-tokoh ekonomi terkenal, sejarawan negara yang banyak berjasa dan mereka yang berjaya, terbentuk hasil daripada acuan seorang insan yang digelar pendidik.

Foto: Bernama

 

 

About Nurulfatiha

Biodata Penulis