SEJAK kecil lagi, kebanyakan daripada kita sudah diajar tentang dosa dan pahala. Tidak kiralah sama ada ia diperkenalkan oleh ibu bapa, keluarga mahupun guru yang mengajar kita.

Meskipun sedar dengan perkara itu, masih ada lagi orang yang tanpa segan silu melakukan dosa dan maksiat tanpa lelah.

Barangkali mereka alpa dan terleka dibuai dengan kenikmatan dunia yang dikecapi. Maklum sahajalah, manusia memang mudah lupa.

Jika sudah namanya insan, memang tidak akan lari daripada tabiat lupa. Apa tidaknya, perkataan insan itu dekat sangat dengan kalimah nisyan (pelupa). Maka tidak hairanlah jika masalah pelupa begitu dekat dengan kita.

Walaupun setiap daripada kita dibelenggu kelemahan tersebut, tetapi menjadi tanggungjawab kita untuk menegur sesama saudara seagama supaya tidak terus hanyut dibuai dengan nikmat dunia.

Itu sahaja antara cara untuk mengelakkan kita daripada berterusan melakukan dosa di muka bumi ALLAH ini.

Ketahuilah bahawa ada tiga jenis dosa yang ALLAH akan balas cash di dunia jika ada dalam kalangan kita melakukannya.

Ia sebagaimana yang dijelaskan oleh pendakwah Ustaz Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Amin menerusi Instagram miliknya pada hari ini.

Jelas beliau, tiga dosa yang mana ALLAH balas di dunia adalah:

1. Dosa derhaka kepada ibu bapa.
2. Dosa berzina.
3. Dosa meninggalkan solat.

Sesiapa yang lakukan tiga dosa berkenaan, maka individu itu akan dapat:

1. Rezeki sempit.
2. Hidup tak bahagia walaupun kaya.
3. Malaikat hina dia siang dan malam.

(Artikel berkaitan: Dosa tidak akan terhapus walaupun telah qada solat yang ditinggalkan)

Justeru, beliau menasihatkan umat Islam agar tidak sesekali membuatkan hati ibu bapa terguris dengan perilaku dan tindak-tanduk kita kerana hidup kita tidak akan bahagia.

Iklan
Dosa
MOHON ampunlah kepada kedua ibu bapa jika ada tindak-tanduk kita yang mengguriskan hati mereka.

“Begitu juga dengan zina. Jangan biasakan diri dengan zina. Ia bukan sekadar persetubuhan saja, tetapi apa saja yang membawa kepada zina itu adalah haram.

“Zina ini adalah seburuk-buruk perkara. Jauhkanlah diri kita dan keturunan kita daripada zina.

“Seperkara lagi, jangan tinggalkan solat. Kalau terlupa atau tertidur, cepat-cepat qada. Jangan biasa tinggal solat. Jangan kerana make up kita malas cuci, malas juga kita nak solat.

“Hidup tak seronok kalau tak solat, air muka orang tak solat itu hitam dan tidak ada seri. Insya-ALLAH kita sama-sama elakkan,” katanya.

PU Amin turut mengingatkan, kadangkala apa jua kesusahan dan penderitaan yang kita lalui di dunia ini adalah akibat balasan daripada dosa-dosa kita.

“Justeru, cepat-cepatlah bertaubat. Insya-ALLAH terlepas daripada segala bahaya,” pesannya sebagai tanda sayang dan sababat.

Iklan

Ingatlah bahawa hidup tidak akan ke mana tanpa restu daripada ibu bapa. Usahlah melakukan apa-apa perbuatan yang boleh mengheret diri kita hingga dilaknat oleh malaikat.

Kita hidup di dunia yang fana ini hanya sebentar cuma sebagai tempat persinggahan. Akhirat adalah alam yang kekal abadi buat kita.

Sumber: Instagram pencetusummah_amin

Foto: Freepik