BARU sahaja melafazkan niat dan mengangkat takbir, tiba-tiba fikiran pula menerawang. Teringat pula kerja-kerja yang masih belum dibereskan.

Sedangkan, pada waktu lain, semua perkara itu langsung tidak terlintas dalam kotak fikiran kita. Itu belum lagi cerita bab terlupa bilangan rakaat. Ya, itu antara contoh paling lazim yang sering kali di hadapi saat hendak beribadah.

Dalam situasi berlainan pula, penulis pernah menyaksikan seorang kenalan wanita mengambil wuduk. Beliau dilihat melaraskan kepala paip pada tahap maksimum sehingga aliran air deras yang keluar memercik ke kawasan tempat solat. Rakan penulis itu dilihat bersungguh-sungguh mengambil wuduk. Habis lencun baju dan kaki seluar yang dipakainya.

Apabila ditanya, beliau dengan spontan menjawab: “Beginilah bila berwuduk. Tak sah rasanya kalau tak basah.”

Jawapannya itu membuatkan penulis agak bungkam. Barangkali beliau berasa bimbang wuduknya tidak sah jika menggunakan aliran paip yang perlahan atau sederhana.

Sebenarnya, tanpa sedar, beliau sebenarnya telah terkena penyakit waswas. Apabila dihambat perasaan itu, semuanya akan menjadi serba tidak kena. Lebih-lebih lagi ketika hendak beribadah.

Perasan atau tidak, waswas jarang sekali ‘menyerang’ kita tatkala hendak melakukan perkara yang lain. Apakah asbab yang membawa kepada penyakit itu? Adakah ia merupakan angkara syaitan semata-mata?

Serangan syaitan

Bagi mendapatkan pencerahan lanjut, Sinar Islam mewawancara pendakwah Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz.

HASSAN MAHMUD

Ujar Hassan, penyakit berkenaan ada disebutkan dalam Surah an-Nas dan ia adalah berpunca daripada bisikan syaitan!

“Mereka yang diserang waswas sebenarnya telah diganggu oleh makhluk ALLAH yang direjam itu,” kata beliau dalam perenggan awalnya ketika mengulas mengenai topik berkenaan.

Agamawan itu memberitahu, perasaan waswas atau dalam perkataan lain sangsi, curiga dan bimbang itu kebanyakannya berlaku dalam hal-hal berkaitan dengan ibadah. Contohnya, ketika solat dan mengambil wuduk.

WaswasIndividu yang mempunyai penyakit berkenaan katanya, seolah-olah tidak yakin dengan perbuatan mereka hingga mendorong atau memaksa mereka berulang kali melakukan perkara yang sama. Itu semua gara-gara berasakan tindak-tanduk yang dilakukan itu tidak sempurna.

“Perasaan waswas tidak akan terjadi kepada hal-hal keduniaan umpamanya ketika seseorang bekerja dengan tertib ataupun menerima gaji. Begitu juga apabila kita naik kenderaan, tidak pula kita menyatakan sama ada mahu bergerak atau tidak. Perjalanan tetap diteruskan,” katanya memberi perbezaan analogi.

(Artikel berkaitan: Apabila waswas membelenggu diri, cepat-cepatlah baca…)

Maka, waswas merupakan salah satu daripada penyakit rohani dan bukan berkaitan dengan fizikal, ujarnya.

Hassan menambah, kemelut itu lazimnya mudah menakluk kepada mereka yang tidak mempunyai iman yang kuat dan mempunyai masalah dalaman. Apabila ciri-ciri itu wujud dalam diri seseorang, mereka dengan mudah ‘melayan’ perasaan negatif terbabit sehinggakan ia menjadi satu penyakit yang amat sulit untuk dikawal.

“Bayangkan seseorang yang membaca Surah al-Fatihah, tetapi dirasakan bacaannya tidak betul walaupun orang di sekeliling yang mendengarnya rasakan tiada apa-apa yang tidak kena dengan bacaannya tadi.

“Namun, individu berkenaan merasakan sebaliknya, dia tetap mengulang semula bacaan berkenaan berkali-kali. Akhirnya, jadilah penyakit waswas. Maka, sebab itulah syaitan akan mudah menggoda mereka yang mempunyai kelemahan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, pendakwah tersohor itu berkata, terdapat beberapa tanda ketara yang boleh dilihat oleh mereka yang dijajah dengan rasa waswas.

Antaranya, mereka sukar untuk membuat keputusan di samping sentiasa memiliki sifat teragak-agak. Dalam kebanyakan situasi, ia boleh membahayakan diri sendiri.

“Selain itu, wajah individu yang diserang waswas kelihatan muram dan tidak ceria. Malah, waktu tidur pun tidak mencukupi, di samping tidak berjaya menyudahkan suatu tugasan dengan baik serta tidak suka pada orang lain.

“Paling teruk sekali apabila orang itu menunaikan solat berjemaah, tidak sampai separuh jalan, dia akan berhenti solat lantaran perasaan waswas tadi dan kembali mengulangi semula ibadah fardunya,” katanya.

Banyakkan istighfar

Bagi mengatasi penyakit itu, pendakwah itu menasihatkan kita sentiasa melazimkan diri dengan memperbanyakkan istighfar.

(Artikel berkaitan: Banyak rupanya kelebihan istighfar yang ramai tak sedar…)

“Perasaan waswas berkaitan dengan jiwa dan batin kita yang mana ia dengan mudah akan mengganggu perasaan manusia. Sampai satu peringkat ia boleh membunuh jika tidak diatasinya.

“Justeru, saya sarankan supaya banyakkan beristighfar dan teruskan amalan itu selama 40 malam berturut-turut sehingga hati kembali pulih dan tenteram. Selain itu, carilah kawan yang boleh membimbing kita daripada sifat waswas yang membelenggu diri. Berdoalah kepada ALLAH SWT dan lawan rasa waswas itu. Insya-ALLAH lama-kelamaan, dirinya akan bebas daripada penyakit itu,” ujarnya.

Fakta yang dilontarkan oleh Hassan turut dipersetujui pendakwah Ustaz Mohd Fauzi Mustaffa.

USTAZ MOHD FAUZI

Ujar Ustaz Mohd Fauzi, waswas merupakan antara salah satu bentuk gangguan syaitan menerusi bisikan apalagi jika kita berada dalam keadaan lalai.

Rasulullah SAW bersabda: “Syaitan itu duduk bercangkung di atas hati manusia, apabila manusia menyebut nama ALLAH, dia (syaitan) akan mengundurkan diri dan apabila manusia lalai, dia (syaitan) akan membisikkan kejahatan.” (Sahih al-Bukhari)

Imam al-Qurtubi menerusi tafsirnya menjelaskan bahawa waswas hanya berlaku dalam hati, tetapi tiada suara.

Berdasarkan ungkapan itu, jelas Ustaz Mohd Fauzi, waswas sentiasa bermain dalam hati dan kotak fikiran manusia.

“Contohnya, hati berkata-kata ‘lambat lagi hendak masuk Maghrib, habiskan tonton perlawanan bola ini dulu, sempat lagi untuk solat nanti’. Sekalipun ia tidak diungkapkan dari bibir kita, tetapi hati kita telah terusik dengan bisikan syaitan.

“Jika dibiarkan, ia akan memberi kesan kepada kehidupan kita sampai ke peringkat keputusan yang dibuat adalah tidak normal. Ada yang sampai tahap seseorang itu bunuh diri akibat waswas,” katanya yang menyokong pandangan Hassan.

Diri jadi penyumbang

Bukan itu sahaja, pendakwah itu menjelaskan, manusia sendiri juga boleh menjadi penyumbang kepada penyakit waswas. Ia berlaku apabila kita cetek ilmu terutamanya dalam hal berkaitan ibadah.

Masakan tidak, ketika menunaikan solat misalnya, individu yang diserang waswas akan mengangkat takbir berkali-kali kerana merasakan niatnya tidak sempurna. Akhirnya dirinya letih dan mengalami tekanan kerana perlu mengulanginya banyak kali.

Waswas
SYAITAN mengganggu manusia ketika beribadah untuk menyesatkan kita dan percaya dengan tipu dayanya.

“Ingatlah, syaitan tahu kelemahan kita. Di situlah ia akan menyerang supaya kita terperangkap dengan tipu dayanya. Apabila cukup ilmu, kita tidak akan goyah daripada godaan syaitan.

“Selain itu, sikap sendiri yang melayan bisikan tadi membuatkan kita mudah dijangkiti waswas. Bahkan, ada juga orang yang langsung tidak sedar bahawa waswas itu datangnya daripada syaitan.

“Ini kerana ada sebilangan orang menganggap waswas seperti penyakit riak, bakhil dan seumpamanya. Hakikatnya, ia adalah serangan syaitan berunsur bisikan tanpa suara,” katanya.

Menyambung hujahnya, Ustaz Mohd Fauzi menambah, menurut pandangan ulama, orang yang dibelenggu dengan rasa waswas sebenarnya sedang berperang atau berjihad dengan syaitan.

Beliau turut memetik kata-kata Syeikh Izzudin bin Abdul Salam yang menyatakan, orang yang terkena waswas ialah mereka yang diuji oleh ALLAH SWT untuk ‘melawan’ syaitan.

“Apabila disebut jihad, sudah tentu kita perlu banyakkan bersabar, mengambil masa untuk berjihad dan perlu berlatih melawannya. Ia dengan cara menggali ilmu dengan jelas dan sahih, selain membimbing diri dengan doa dan bacaan pendinding diri.

“Maka, perangilah syaitan habis-habisan kerana ia adalah musuh kita. Kemudian, letakkanlah pergantungan kita kepada ALLAH SWT untuk memohon perlindungan-NYA dan mengelakkan diri daripada serangan syaitan,” katanya.

Agamawan itu turut berkongsi ungkapan doa yang boleh diamalkan untuk memohon perlindungan daripada bisikan syaitan. Ia ada disebutkan dalam al-Quran menerusi Surah al-Mukminun, ayat 97-98.

Waswas
SEBELUM menunaikan solat, amalkan baca doa daripada Surah al-Mukminun, ayat 87 dan 98 untuk mengelakkan diri daripada diganggu syaitan ketika sedang menghadap ALLAH SWT.

Doa itu bermaksud: “Dan katakanlah, ‘Ya Tuhanku, aku berlindung kepada-MU daripada bisikan-bisikan syaitan. Dan aku berlindung (pula) kepada-MU ya Tuhanku, agar mereka tidak mendekati aku.”

“Doa ini disunatkan untuk kita membacanya apabila hendak solat atau apa-apa saja jenis ibadah termasuklah mengambil wuduk. Kita mohon perlindungan daripada ALLAH SWT terlebih dahulu daripada hadirnya syaitan dan bisikan mereka,” ungkapnya.

Hanya amalan soleh berupaya lemahkan qarin bangsa jin

Iklan

Selain syaitan, qarin (pendamping) bagi setiap orang juga akan membisikkan perkara yang melalaikan kita, kata pendakwah Ustaz Muhammad Hadi Talhah.

USTAZ MUHAMMAD HADI

Beliau menjelaskan, setiap manusia mempunyai qarin masing-masing iaitu pendamping daripada bangsa jin iaitu syaitan dan satu lagi ialah malaikat.

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Setiap kalian (manusia) ada Qarin (pendamping) dari bangsa jin, dan juga Qarin dari bangsa Malaikat.” (Riwayat Ahmad)

“Qarin akan sentiasa bersama dan mengikuti ke mana sahaja kita pergi. Ia termasuklah qarin syaitan. Makhluk itu akan membisikkan dan menyuruh kita kepada perkara yang buruk.

“Hanya qarin Nabi Muhammad SAW sahaja yang menyuruh kepada kebaikan. Ini kerana ALLAH SWT telah membantu baginda mengislamkan qarinnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

Namun begitu, ujar Ustaz Muhammad Hadi, qarin berbangsa jin itu boleh dilemahkan sekiranya kita melakukan amalan soleh seperti membaca al-Quran, berzikir dan lain-lain.

“Qarin syaitan itu boleh jadi kurus, pendek, kecil dan lemah kerana kekuatan iman yang ada pada diri kita.

“Begitupun, kita perlu ingat bahawa qarin juga boleh berhubung dengan jin-jin yang lain. Andai kita dibelenggu dengan perasaan waswas atau tidak sedap badan seperti ada gangguan, segeralah ta’awuz iaitu mengucapkan ‘Auzubillahi minasy syaitanir rajim. Itu antara cara mudah untuk kita berlindung daripada syaitan yang direjam tadi,” jelas beliau.

Dalam pada itu, pendakwah tersebut turut memperbetulkan tanggapan segelintir masyarakat yang lebih gemar mengungkapkan kata-kata celaka kepada syaitan dengan harapan makhluk itu akan menjauhi kita.

“Ketahuilah, ungkapan syaitan celaka atau laknat dan sebagainya, ia sebenarnya tidak memberi kesan atau melemahkan syaitan itu sendiri. Cara paling berkesan adalah berdoa dan berlindung kepada ALLAH.

Waswas

“Mudah kata, kita meminta kekuatan daripada-NYA untuk melawan bisikan syaitan yang telah berjanji untuk menyeleweng dan menyesatkan anak Adam sehingga hari kiamat,” ujar beliau.

ANEKDOT

BAHAYA penyakit waswas

1. Menggangu aktiviti seharian

Bukan sahaja perihal ibadah, malah perasaan waswas menyebabkan kita lambat kerana perlu mengulang suatu perkara berkali-kali.

Iklan

2. Dihantui oleh perasaan resah yang melampau

Setiap tindak tanduk yang dilakukan dirasakan tidak sempurna. Ia boleh mengakibatkan tekanan dan hidup individu itu dihantui keresahan.

3. Mengganggu orang lain

Ia sering kali berlaku dalam bab ibadah. Umpamanya, ketika menunaikan solat berjemaah. Orang yang waswas sering kali melafazkan niat atau bacaan dalam solat dengan suara yang kuat hingga mengganggu jemaah lain khusyuk dalam solat.

4. Pembaziran masa

Individu yang membiarkan dirinya waswas akan melayan setiap kerunsingan yang dihadapi. Ketika mengambil wuduk misalnya, orang itu akan berwuduk berkali-kali walaupun hakikatnya ia telah sempurna.

5. Malas beribadah

Setiap kali ingin melakukan ibadah, mereka yang terkena waswas kerap kali mengulangi perbuatan itu hingga terasa lelah. Jika tidak ditangani, kelak boleh termakan hasutan syaitan.

6. Ragu-ragu dengan akidah

Ia merupakan implikasi paling dahsyat andai kita membiarkan perasaan waswas membelenggu diri hingga jadi penyakit. Masakan tidak, mangsa akan jadi waswas dengan akidahnya sendiri.

Sumber: Pendakwah Ustaz Mohd Fauzi Mustaffa

Foto: Freepik