SEMUA orang tahu bahawa hari Jumaat begitu istimewa kerana ia merupakan penghulu segala hari. Kalau orang nak buat amal kebaikan macam bersedekah atau belanja kawan makan dan sebagainya, ramai yang suka pilih hari ini.

Memang betul Jumaat ialah hari yang mulia dalam Islam dan ada banyak perkara sunah yang dianjurkan untuk kita lakukan pada hari Jumaat.

(Artikel berkaitan: 8 amalan yang boleh dilakukan pada hari Jumaat)

Salah satunya, kita dianjurkan untuk banyakkan berdoa pada hari tersebut. Ketahuilah bahawa ada terdapat satu waktu yang mustajab untuk berdoa pada hari sayyidul ayyam ini.

Tapi disebabkan kita tak tahu bilakah waktu mustajab berkenaan, maka digalakkan untuk kita berdoa sepanjang hari Jumaat.

Rasulullah SAW bersabda: “Orang-orang pada masa Rasulullah SAW berkumpul, berzikir pada suatu masa di hari Jumaat. Mereka bersepakat dan tidak berbalah bahawa saat itu adalah pada hujung hari Jumaat.” (Riwayat al-Tirmizi)

Dalam hal itu, ulama berbeza pandangan mengenainya. Namun begitu, ada tiga pandangan yang dianggap kuat bahawa waktu mustajabnya doa adalah:

1. Waktu imam mulai duduk hingga selesai solat Jumaat

Daripada Abu Burdah bin Abu Musa Al-Asyari RA, dia bercerita bahawa Abdullah bin Umar RA berkata padanya: “Adakah engkau telah mendengar ayahmu menyampaikan hadis daripada Rasulullah mengenai waktu mustajab pada hari Jumaat?”

Lalu Abu Burdah menjawab: “Ya! Aku mendengar Rasulullah bersabda: “Waktu itu berlaku di antara duduknya imam sampai selesainya solat.” (Riwayat Muslim)

2. Waktu di antara dua khutbah Jumaat

Sebahagian ulama berpandangan, ia antara waktu mustajabnya doa iaitu ketika imam sedang duduk antara khutbah pertama dan khutbah kedua.

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW sedang menerangkan tentang hari Jumaat dan baginda bersabda: “Sesungguhnya padanya (hari Jumaat) terdapat satu ketika yang tidak ditemui oleh seseorang yang Muslim dengan dia mendirikan solat sambil memohon kepada ALLAH akan sesuatu, melainkan apa yang dipohonkannya itu diberikan kepadanya. Dia yang mengisyaratkan dengan tangannya yang diangkatkan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Iklan

Rasulullah menunjukkan isyarat tangannya yang membawa maksud sedikit saja (sangat singkat) waktu itu.

3. Waktu terakhir selepas asar

Rasulullah bersabda: “Hari Jumaat (siang) terdiri daripada 12 waktu, di dalamnya terdapat satu waktu yang tidaklah seorang Muslim pada ketika itu memohon sesuatu kepada ALLAH, melainkan DIA akan mengabulkan permintaannya. Oleh kerana itu, carilah masa tersebut pada waktu akhir setelah Asar.” (Riwayat Abu Daud, disahihkan oleh Al-Albani)

Oleh sebab kita sendiri tak tahu bilakah termakbulnya doa kita, sebaiknya berdoalah sepanjang hari Jumaat ini. Ambillah sedikit masa untuk berdoa kepada ALLAH.

Jangan lupa doakan sekali semoga pandemik Covid-19 segera berakhir ya.

Iklan

Lagi satu, jangan terlalu fikirkan sangat sama ada kita berdoa pada waktu mustajab ataupun tidak. Teruskan berdoa dengan penuh ikhlas kerana ALLAH SWT.

Semoga doa kita tadi akan dikabulkan-NYA sama ada cepat atau lambat.

Sumber: 100 Amalan Sunnah Rasulullah, Muhd Nasruddin Dasuki