BERBAKI kurang dua minggu lagi kita akan memasuki tahun baharu. Pasti banyak aktiviti yang direncanakan bersama keluarga masing-masing.

Tambahan pula, anak-anak sudah mula cuti sekolah pada minggu ini. Selama beberapa bulan ini mereka belajar dari rumah dengan mengikuti kelas online.

Justeru, menjelangnya tahun 2021, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menyajikan pelbagai program di bawah kempen Masuk Syurga Sekeluarga dan #savingfamilies untuk seisi keluarga. Tujuannya agar misi MengQurankan Bangsa dapat dicapai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Marhaini Yusoff berkata, antara program yang disediakan adalah Majlis Ayah: Sinar Jumaat, Moms’ Coffee Talk dan Tick Surah Talk Santun. Ujar Marhaini, Mom’s Coffee Talk merupakan platform ibu dan anak untuk berkongsi cerita.

MARHAINI

Sesi tersebut dikendalikan oleh hos Dr Anisah Hambali dan Nurhayati Nordin pada setiap Rabu dan Jumaat pada jam 3 petang menerusi Facebook TickTalk TV.

“Sementara itu, Tick Santun Talk Santun: Suara Remaja Milenia di platform YouTube TickTalk TV mendekati golongan remaja dan anak muda di dalam dan luar negara bagi meluahkan perasaan dan berkongsi masalah dengan bimbingan solusi daripada al-Quran dan as-Sunnah bersama para asatizah pada hari Jumaat dan Sabtu, jam 9 malam.

“Bagi segmen Pesan Ayah & Ibu pula, ia mengajak ibu bapa untuk berpesan dan mendoakan anak seperti disebut dalam Surah al-Furqan ayat 74,” katanya.

Pada masa sama, WUIF turut melancarkan Majlis Ayah: Sinar Jumaat yang bersiaran di platform Facebook My #QuranTime.

“Pihak WUIF mengaktifkan semula Majlis Ayah dengan melancarkan Sinar Jumaat bagi mengupas sorotan daripada Khutbah Jumaat terpilih. Ia bertujuan untuk membentuk kerangka fikir para ayah dengan memberi sokongan jiwa mereka daripada mutiara Khutbah Jumaat dan al-Quran.

“Antara pengisian Majlis Ayah ini adalah bacaan 10 ayat pertama dan terakhir Surah al-Kahfi 10, sedutan Mutiara Khutbah, Sinopsis Khutbah oleh hos Ustaz Nasri Nasir dan tetamu jemputan kalangan agamawan, resolusi untuk tindakan dan diakhiri dengan selawat,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, program Wacana Al-Quran yang diadakan pada setiap Isnin hingga Jumaat jam 5.30 petang hingga 6.30 petang akan diteruskan. Ia menjadi platform untuk membina ekosistem Islam.

Iklan

Program kerohanian keluarga

“Formula al-Quran digarapkan dalam program Wacana Al-Quran bagi merungkai pelbagai isu. Selain itu, orang ramai boleh mengikuti program Soul Fitness, Therapy with al-Quran dan Jom Mengaji Sebelum Tidur (Surah al-Mulk/Surah Al-Kahfi) pada setiap hari Isnin, Selasa dan Khamis antara pukul 9 malam dan 10 malam melalui Facebook TickTalk TV,” katanya.

Beliau menambah, kesemua program yang dirangka tersebut digerakkan melalui hasil sumbangan orang ramai.

“Sumbangan tersebut adalah melalui Tabung Gerakan al-Quran yang diuar-uarkan di My #QuranTime yang bersiaran di TV Alhijrah.

Iklan

“Tabung tersebut turut dimanfaatkan bagi enam aktiviti utama iaitu wakaf dan infak al-Quran; mewujudkan Quranic Valley (penyelidikan dan pembangunan al-Quran); infak dan wakaf media bagi penyebaran kefahaman al-Quran; latihan pembangunan jurulatih tadabbur al-Quran; pemerkasaan kempen-kempen berteraskan interaksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal serta pembudayaan Sahabah al-Quran yang menyumbangkan kepada misi MengQurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah,” jelasnya.

Bagi mereka yang ingin menyalurkan sumbangan ke Tabung Gerakan Al-Quran, boleh berbuat demikian kepada Warisan Ummah Ikhlas Foundation menerusi akaun Maybank Islamic 5642 7653 8528.

Penulis: Fouziah Amir