ANTARA amalan yang paling mudah dilakukan umat Islam bagi merebut pahala adalah dengan bersedekah.

Tidak kira sekecil mana jumlahnya, ia tetap bernilai besar di sisi ALLAH SWT. Apatah lagi, amalan mulia itu dilakukan semata-mata kerana-NYA.

Ketahuilah bahawa amalan bersedekah sebenarnya boleh menyebabkan pelaku terhindar daripada api neraka.

Menurut pendakwah Ahmad Dusuki Abd Rani, Rasulullah SAW pernah bermimpi menyaksikan salah seorang umatnya berusaha menahan kemaraan panas api neraka pada wajah.

Sabda Rasulullah SAW: “Dan aku melihat seorang lelaki daripada umatku ketakutan melihat jilatan api neraka. Ia mengusir (jilatan tersebut) daripada wajahnya dengan menggunakan tangannya. Kemudian datanglah amalan sedekah lelaki tersebut. Amalan itu pun menghalangi
dan melindungi wajah serta kepalanya (daripada jilatan api neraka).” (Tafsir Ibnu Katsir)

Melihat ungkapan tersebut, ujar Ahmad Dusuki, jelaslah bahawa kita sangat dituntut untuk melakukan amalan yang satu itu selagi hidup di atas muka bumi milik ALLAH SWT.

Keajaiban sedekah subuh.. amalkan setiap hari pasti ada ganjaran rezeki yang tak disangka

“Jangan malas bersedekah dan jangan hanya tunggu bulan Ramadan sahaja untuk berbuat demikian. Ya, memang sedekah pada bulan Ramadan, pahalanya berganda.

“Namun, bersedekahlah juga pada bulan-bulan yang lain. Ia sebenarnya hendak menyuruh kita supaya sentiasa bersemangat untuk bersedekah.

“Apabila kita bersedekah, janganlah kita fikir bahawa kita sebenarnya sedang memberikan (manfaat) kepada orang lain, tetapi hakikanya kita sebenarnya sedang memberi (manfaat) kepada diri kita sendiri,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video bertajuk Bersedekah Penghalang Api Neraka di laman sosial Facebook miliknya.

Menyambung hujah, memang benar sedekah yang dilakukan tadi sebenarnya akan memberikan manfaat kepada kita semula dalam bentuk ganjaran.

“Bayangkan di dalam kubur kelak, kita akan terlepas daripada bahang api yang datang menyambar. Amalan sedekah kita lakukan selama ini akan datang kepada kita dan membentengi diri daripada terkena api yang menyambar,” jelasnya.

Kepada siapa kita perlu bersedekah? Menjawab persoalan itu, Ahmad Dusuki kemudian memetik kalam ALLAH SWT bagi memberikan penjelasan lanjut.

ALLAH SWT berfirman: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): Apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah?)”

“Katakanlah: Apa juga harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah) apa juga yang kamu buat daripada kebaikan, maka sesungguhnya ALLAH sentiasa mengetahuinya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).” (Surah al-Baqarah, ayat 215)

Berikut adalah janji-janji ALLAH kepada golongan yang suka bersedekah:

1. Menghapuskan dosa-dosa orang yang bersedekah

Janji ALLAH yang pertama bagi orang yang rajin bersedekah adalah sedekah itu dapat menghapuskan dosa orang yang mengerjakannya.

Rasulullah SAW, beliau bersabda:
“Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.” (HR. Tirmidzi)

2. Dapat berteduh di hari kiamat

Nabi SAW menceritakan tentang tujuh jenis manusia yang akan mendapat berteduh pada hari yang tidak ada teduhan dari kepanasan di padang mahsyar.

Iklan

Salah satu golongan yang mendapat teduhan itu adalah orang yang suka bersedekah.

Rasulullah SAW bersabda :
“Seorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, ia menyembunyikan amalnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.”(HR. Bukhari )

Keajaiban sedekah subuh.. amalkan setiap hari pasti ada ganjaran rezeki yang tak disangka

3. Harta tidak akan berkurang tetapi makin bertambah banyak
Janji ALLAH SWT yang sangat hebat bahawa harta orang rajin bersedekah tidak akan berkurang meskipun disedekahkan semuanya hanya sedikit yang tersisa buat keperluan sehari-hari.

Rasulullah SAW bersabda:
“Harta tidak akan berkurang dengan bersedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan
ALLAH tambahkan kebaikkan baginya’. (HR. Muslim)

Iklan

Baca juga “Solat taubat dulu, sebelum tunai solat sunat lain”- Ebit Lew

4. Dapat membebaskannya dari seksa kubur
Rasulullah SAW bersabda:
“Sedekah akan memadamkan api seksaan di dalam kubur.” [HR. Ath-Thabrani]

5. Terdapat pintu syurga hanya untuk orang yang bersedekah

Dalam sebuah hadits, Rasulullah SAW bersabda:
“Orang memberikan menyumbangkan dua harta di jalan ALLAH, maka dia akan dipanggil oleh salah satu dari pintu syurga: Wahai hamba ALLAH, ke marilah untuk menuju kenikmatan. Jika dia berasal dari golongan orang-orang yang suka mendirikan solat, dia akan dipanggil dari pintu solat, yang berasal dari kalangan mujahid, maka akan dipanggil dari pintu jihad, jika dia berasal dari golongan yang gemar bersedekah akan dipanggil dari pintu sedekah.”(HR. Bukhari dan Muslim)

Semoga bermanfaat!
Sumber: Sinar Islam Plus