Jangan malu merangkak-rangkak baca al-Quran, insya-ALLAH dapat dua ganjaran pahala

Merangkak-rangkak baca al-Quran
May 8, 2020
Nurulfatiha

PEJAM celik, pejam celik, rupanya sudah setengah purnama kita berpuasa dalam bulan Ramadan ini. Bersyukurlah kita dapat nikmat ibadah dalam bulan yang penuh barakah ini.

Dalam bulan yang mulia inilah al-Quran diturunkan. Ia merupakan mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW dan warisan yang tidak terhitung nilainya kepada seluruh umat Islam pada hari ini.

Kalamullah inilah yang menjadi manual kepada kehidupan kita di dunia ini supaya tidak terkapai-kapai dalam melayari pelbagai rencam di muka bumi ini.

Ya, sebagai umat Islam, kita perlu melazimi kalam ALLAH apatah lagi pada bulan Ramadan ini. Sejak malam pertama bulan Ramadan lagi, ramai yang tidak melepaskan peluang begitu sahaja untuk bertadarus al-Quran.

Semuanya dilakukan demi meraih keredaan ALLAH dan merebut ganjaran yang bukan calang-calang dalam bulan Islam yang begitu istimewa ini.

Namun begitu, bukan semua orang mampu mengalunkannya dengan baik. Ada yang tergagap-gagap dan tidak lancar bacaan, tetapi tetap berniat untuk mengkhatam al-Quran pada Ramadan kali ini.

Semangat itu wajar dipuji. Apatah lagi, kehidupan kita sekarang lebih banyak masa ‘melekat’ di rumah kerana masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Dengan masa luang yang ada, ia bolehlah dimanfaatkan dengan bertadarus al-Quran.

Akan tetapi, bagaimanakah dengan mereka yang tidak lancar membaca al-Quran, tetapi tetap juga mengalunkan bait-bait indah kalamullah itu? Apakah pandangan Islam tentang perkara itu?

Pendakwah, Ustaz Hadi Talhah berkata, meskipun merangkak-rangkak membaca kalam ALLAH, namun usaha individu berkenaan tanpa putus asa adalah sangat baik.

USTAZ HADI

Kata beliau, ada disebut dalam hadis bahawa golongan yang tidak lancar membaca al-Quran itu akan memperoleh dua ganjaran berbanding mereka yang mahir. Ganjaran pertama adalah membaca al-Quran dan kedua pula mujahadah (usahanya untuk terus membaca kalamullah).

Daripada Aisyah RA bahawa Rasullah SAW bersabda: “Orang yang mahir membaca al-Quran, dia akan bersama dengan malaikat safarah (pembawa wahyu) yang mulia dan taat/ berbuat kebaikan. Manakala seorang yang membaca al-Quran dalam keadaan tergagap-gagap (yakni tidak lancar) di mana ia menghadapi kesukaran dan kepayahan membacanya, maka dia akan memperoleh dua ganjaran.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Paling penting adalah usaha seseorang itu untuk membacanya dan menyimpan rasa malunya demi belajar mendalami kalam ALLAH itu.

Jelas beliau, dalam halaqah tadarus al-Quran, lazimnya setiap kumpulan akan dibahagikan mengikut keupayaan ahli masing-masing. Mereka akan dibimbing oleh guru yang mahir.

“Jadi, tiada masalah seandainya mereka baca tergagap dan silap. Ada guru yang akan menegurnya.

“Cuma, apabila individu itu baca (al-Quran) tanpa dia belajar dan melakukan kesilapan, maka dia berdosa,” terangnya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Membutirkan ganjaran membaca al-Quran dalam bulan Ramadan, ujar Ustaz Hadi, pahalanya besar kerana ia dilipatgandakan pada bulan mulia ini.

Bayangkan, satu solat fardu pada bulan Ramadan bersamaan 70 kali solat fardu, manakala satu solat sunat sama seperti menunaikan satu solat fardu. Itu belum bercerita bab membaca al-Quran.

“Walaupun membaca al-Quran kena betul dan wajib dengan bertajwid, tapi kena ingat hukum membacanya adalah sunat. Jadi, dapatlah pahala. Sedangkan bacaan alif, lam dan mim masing-masing satu huruf dapat 10 pahala pada bulan biasa.

“Inikan pula bila ia dibaca dalam bulan Ramadan. Sudah tentu berlipat kali ganda ganjarannya,” ujar beliau.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran kitabullah, baginya satu kebaikan. Satu kebaikan dilipatkaligandakan menjadi 10 kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak tidak menyatakan alif lam mim itu satu huruf, akan tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf.” (Riwayat al-Tirmizi)

Tambah beliau, al-Quran juga menyucikan roh yang boleh menjadi amalan pendinding kepada diri kita.

Kepada mereka yang mahir, pesan beliau, ajarilah al-Quran itu kepada orang lain agar kita beroleh pahala apabila individu yang diajar itu membacanya.

Khatam al-Quran seisi keluarga

Pendakwah, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid pula berkata, menurut historiografi para ilmuan, sarjana dan ulama silam, apabila masuknya bulan Ramadan, golongan itu akan menghentikan semua kuliah dan pengajaran.

USTAZ WAN AKASHAH

Sebaliknya, kata beliau, mereka akan menumpukan kepada dua perkara iaitu ibadah dan menulis kitab.

“Ibadah itu termasuklah solat tarawih, witir, membaca al-Quran, sedekah dan sebagainya. Tadarus al-Quran juga termasuk dalam kategori ini.

“Kedua, para ilmuan banyak menulis sewaktu bulan Ramadan antaranya Ibnu Sina yang menyiapkan kitab al-Qanun fi al-Tibb (kanun perubatan) dalam bulan Ramadan,” katanya.

Tambah beliau, tadarus al-Quran merupakan antara hierarki utama dalam bulan Ramadan. Perkara itu juga sering dilazimi oleh Rasulullah SAW bersama Malaikat Jibril sepanjang Ramadan.

Justeru, beliau mengesyorkan umat Islam untuk mengkhatamkan satu mushaf al-Quran sempena Ramadan bulan diturunkan al-Quran.

“Duduk di rumah, jadikan al-Quran nombor satu, bukan tengok televisyen. Sekiranya tidak mampu bertadarus al-Quran seorang diri, bahagi-bahagikan setiap juzuk kepada ahli keluarga, ibu, ayah dan anak-anak serta baca sampai habis. Insya-ALLAH, seisi rumah boleh khatam al-Quran sepanjang Ramadan ini.

“Seperkara, tadarus ini bermaksud baca beramai-ramai, bukan seorang diri. Maksudnya adalah kita baca al-Quran dan ada orang lain semak,” kata beliau.

Ustaz Wan Akashah berpesan agar jangan meminggirkan al-Quran sekalipun kita tidak lancar membacanya, apatah lagi dalam bulan Ramadan ini.

“Jangan jadikan al-Quran ‘suci dalam debu’ langsung tidak disentuh dan dibuka untuk dibaca,” pesannya.

About Nurulfatiha

Biodata Penulis