BANYAK atau sedikit rezeki yang dikurniakan, seharusnya kita memanjatkan rasa syukur kepada ALLAH SWT.

Jika boleh, biasakan diri untuk mengucapkan alhamdulillah sebagai tanda rasa syukur kita kepada-NYA.

Namun begitu, entah mengapa sukar benar ucapan mulia itu meniti di bibir kita. Apatah lagi jika rezeki yang diperoleh tidak seberapa atau tidak seperti yang diharap-harapkan.

“Aku dapat RM50 saja hari ni. Sepatutnya aku boleh dapat lebih banyak daripada ini.”

Demikian antara ungkapan yang sering kali kita dengar. Ia seolah-olah kita tidak bersyukur dengan pemberian-NYA.

Berbeza pula jika ditakdirkan pada hari tertentu, kita memperoleh rezeki yang begitu banyak. Ibarat durian runtuh.

“Aku tak sangka boleh dapat RM300 hari ini. Alhamdulillah, ramai pelanggan yang guna khidmat penghantaran aku hari ini.”

Ketika itu, laju sahaja bibir mengungkapkan lafaz syukur ini. Sepatutnya dalam kedua-dua keadaan ini, ucapan alhamdulillah perlu dibiasakan tidak kiralah berapa banyak rezeki yang kita peroleh.

Itulah sebaik-baik perbuatan seorang hamba kepada Sang Pencipta-NYA.

Bagaimanakah untuk melahirkan rasa syukur meskipun rezeki yang diperoleh pada ketika itu tidak seperti diharapkan?

Syukur

Pendakwah Ustaz Don Daniyal Don Biyajid menjelaskan, syukur merupakan satu ibadah.

Firman ALLAH SWT: “…Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti KAMI akan menambah (nikmat) kepadamu…” (Surah Ibrahim, ayat 7)

“Ayat itu jelas memberitahu bersyukur itu merupakan satu saranan daripada ALLAH SWT. Ini bermakna, ia suatu perkara yang perlu dilakukan. Apabila kita lakukannya, ia dikira sebagai satu ibadah.

“Banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan tentang syukur ini,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan dalam Instagram miliknya baru-baru ini.

(Artikel berkaitan: ‘Berjaya atau gagal, bersujud syukurlah kepada ALLAH’)

Untuk melatih diri bersyukur meskipun apa yang kita peroleh itu kurang atau tidak seperti yang diharapkan, Ustaz Don berkata, para ulama mengajar kita dengan memandang kepada orang yang lebih rendah daripada kita.

“Ini bermakna, apa sahaja yang kita buat, kita mesti pandang yang rendah daripada kita. Barulah lahirnya rasa syukur.

“Contohnya, jika orang bercerita tentang hasil jualan. Ingatlah rakan-rakan peniaga lain yang mungkin langsung tidak mendapat hasil jualan. Mujurlah kita ini ada juga hasil. Alhamdulillah,” katanya.

Iklan

Situasi sama juga perlu diaplikasikan apabila kita melayari Facebook atau Instagram, terang beliau.

Syukur

Pendakwah itu menjelaskan, seandainya kita sekadar melihat orang yang lebih baik daripada kita untuk tujuan perbandingan, sukar untuk kita menzahirkan rasa syukur berkenaan.

“Sekiranya matlamat kita untuk memperbaiki diri dan seumpamanya, itu cerita lain.

“Dalam hidup kita, pelbagai jenis manusia yang kita jumpa. Ini termasuklah insan yang lebih rendah atau tinggi daripada (taraf hidup) kita.

Iklan

“Jadi, kita tengoklah orang yang lagi rendah daripada kita. Ini satu cara yang diajarkan oleh ulama supaya kita jadi manusia yang bersyukur. Bersyukurlah walaupun hanya sedikit (rezeki) yang kita terima,” nasihatnya.

Ingatlah, rezeki bukan sekadar wang. Ia boleh datang dalam pelbagai bentuk. Barangkali keluarga yang bahagia, kesihatan yang sentiasa baik dan lain-lain lagi.

Percayalah dengan rezeki yang dijamin oleh ALLAH SWT. Jangan mendongak hingga kita jadi manusia yang tidak tahu bersyukur. Na’uzubillah.

Sumber: Instagram ddaniyaldbiyajid

Foto: Freepik