Jangan pamerkan kemesraan suami isteri berlebih-lebihan di media sosial. Ini sebab-sebabnya...

February 6, 2021
Oleh Nurulfatiha

BERGELAR suami dan isteri bukan suatu tugasan yang mudah. Masing-masing ada tanggungjawab yang perlu dilunaskan mengikut apa yang diajarkan oleh syariat.

Ia mesti dipikul bersama-sama demi memastikan kerukunan rumah tangga yang dibina dapat kekal teguh meskipun dilanda ujian. Pastinya, ramai yang mengimpikan keluarga yang bahagia, dlimpahi dengan sakinah dan mawaddah.

Walaupun ikatan perkahwinan itu telah menghalalkan apa jua perkara yang diharamkan sebelum menjadi suami isteri. Namun ingatlah, kita masih tetap mempunyai batasan-batasan yang perlu dijaga.

Ini kerana ada segelintir orang tanpa segan silu mempamerkan kemesraan bersama dengan pasangan masing-masing di media sosial.

Malah, ada yang tergamak berkongsi momen-momen bercium atau berpelukan hatta adegan-adegan yang tidak sewajarnya diperlihatkan kepada khalayak.

(Artikel berkaitan:

Baru-baru ini, Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Ahmad Sanusi Azmi tampil membuat teguran itu menerusi laman sosial Facebook miliknya.

DR AHMAD SANUSI

Pada hakikatnya, jelas beliau, kemesraan suami isteri merupakan sebahagian daripada elemen kebahagiaan.

Begitupun, tegas beliau, ia bukanlah bermaksud kita perlu mempamerkannya secara terbuka. Malah, cara itu bukanlah satu keperluan.

Dalam hal itu, ahli akademik berkenaan mengajak kita mendasari sifat Rasulullah SAW sebagai seorang suami yang romantik.

“Namun, perkara tersebut tidak diketahui sehinggalah para isteri baginda yang menceritakannya atau sahabat lain yang ternampak akan kemesraan tersebut.

“Ia bukanlah ditunjuk di khalayak umum,” terang beliau.

Iklan

Dalam satu keadaan, Dr Ahmad Sanusi menjelaskan, Rasulullah SAW pernah memerintah isteri baginda supaya memakai hijab sekalipun di hadapan seseorang yang buta.

Saranan itu, katanya ada diucapkan kepada Saidatina Ummu Salamah dan Saidatina Maimunah apabila datang seorang buta ke rumah baginda.

Sabda baginda SAW: “Hendaklah kamu berdua memakai hijab.”

Lalu, isteri baginda berkata: “Bukankah dia seorang yang buta wahai Rasulullah? Dan dia tidak boleh melihat kami.”

Rasulullah lantas menjelaskan: “Bukankah kamu berdua boleh melihat dia?” (Riwayat al-Tirmizi)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, jelaslah bahawa Rasulullah SAW tetap menyuruh isterinya menjaga penampilan dan aurat masing-masing walaupun dengan orang seorang lelaki yang tidak nampak.

Apatah lagi jika ia membabitkan aksi berlebihan yang dipamerkan buat tatapan jutaan mata yang melihat, terangnya.

“Sudah tentulah Nabi Muhammad SAW melarang. Apa yang lebih membimbangkan sekiranya video aksi kemesraan tersebut menjadi perhatian kepada anak-anak muda yang masih bersekolah sehingga mereka terkeliru dan merasakan perbuatan tersebut boleh dipraktikkan secara umum.

Kemesraan suami isteri

Iklan

“Boleh jadi, perbuatan tersebut diikuti pula oleh pasangan suami isteri lain yang turut mendedahkan aksi mesra mereka.

“Bukankah kita tidak mahu menjadi pencetus kepada kemungkaran lain?,” soalnya.

Semua implikasi yang diperkatakan oleh Dr Ahmad Sanusi ada kebenarannya. Malah, terdapat satu riwayat yang memerihalkan tentang ancaman apabila melakukan kejahatan hingga orang lain turut mengikut jejak langkahnya.

Ia sebagaimana disebutkan oleh Rasulullah SAW yang bersabda: “Dan barang siapa yang melakukan perlakuan jahat (dilarang) dalam Islam, sehingga diikuti oleh orang lain, maka dia beroleh dosa dan menanggung dosa mereka yang melakukan perbuatan tersebut.” (Riwayat Muslim)

Ujar beliau, nasihat yang diberikan olehnya itu hanyalah berpandukan kepada al-Quran dan as-Sunnah Rasulullah SAW demi kebaikan sesama Muslim.

“Jangan dilihat dari sudut negatif pula. Semoga ALLAH membimbing kita,” ujarnya.

Justeru, usahlah kita mempamerkan kemesraan suami isteri itu secara terbuka kepada orang lain. Jadikan Rasulullah SAW sebagai suri teladan untuk kita dalam kita melayari kehidupan di muka bumi ini.

Sumber: Facebook Dr Ahmad Sanusi

Foto: Freepik

About Nurulfatiha

Biodata Penulis