Jangan sesekali buka aib diri dan orang lain. ALLAH SWT tutup segala cela manusia, tak wajar kita dedahkannya

Aib diri dan orang lain
February 19, 2021
Oleh Nurulfatiha

SUDAH menjadi satu kelaziman, kita akan memandang seseorang itu seolah-oleh begitu sempurna, tanpa ada kekurangan pun pada dirinya. Begitu juga halnya apabila orang lain melihat diri kita.

Hakikatnya, sebagai seorang insan, kita pasti memiliki kelemahan. Lagipun, kita bukanlah tergolong dalam kumpulan para anbia dan rasul yang bersifat maksum. Justeru, setiap daripada kita tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan dan dosa.

Ketahuilah, sebenarnya ALLAH SWT telah menutup aib hamba-hamba-NYA agar tidak dapat dilihat oleh orang lain. Oleh itu, bersyukurlah andai ALLAH SWT telah memelihara cela pada diri kita dengan kuasa-NYA.

Malangnya, entah mengapa masih ada segelintir orang yang tanpa segan-silu menjaja aib sendiri. Demikian juga ada yang tergamak membuka aib orang lain tanpa memikirkan impaknya kepada individu tersebut termasuk ahli keluarganya.

Ketahuilah, umat Islam diajar supaya tidak sewenang-wenangnya membuka aib sendiri. Apatah lagi, kelemahan yang terdapat pada orang lain.

Kenapa kita dilarang berbuat demikian? Bagaimana pula jika kita terlihat seseorang melakukan dosa secara terang-terangan, perlukah ia disembunyikan begitu?

Jatuhkan maruah

Bagi mendasari topik berkenaan, Sinar Islam menemubual Pensyarah Akademi Pengajian Islam dan Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah.

USTAZAH SHARIFAH FADYLAWATY

Jelas beliau, aib bermaksud sesuatu kelemahan yang boleh menjatuhkan maruah seseorang. Dalam Islam, katanya, kita wajib menutup aib sendiri dan tidak mendedahkannya kepada orang lain.

(Artikel berkaitan: Berkongsilah selagi mana ia tidak membuka aib sesiapa)

"Saat ALLAH SWT telah menutup segala keaiban dan dosa-dosa kita daripada pandangan manusia, maka adalah sesuatu yang tidak wajar jika kita sendiri mendedahkannya kerana perbuatan tersebut boleh menjatuhkan maruah sendiri," katanya kepada Sinar Islam ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: "Semua umatku akan ditutupi segala kesalahannya kecuali orang-orang yang berbuat maksiat dengan terang-terangan. Masuk dalam kategori berbuat maksiat terang-terangan adalah apabila seorang berbuat dosa pada malam hari kemudian, ALLAH SWT telah menutupi dosanya, lalu, dia berkata (kepada temannya): Hai Fulan! Tadi malam aku telah berbuat ini dan itu. ALLAH SWT telah menutupi dosanya ketika di malam hari sehingga dia bermalam dalam keadaan ditutupi dosanya, kemudian, di pagi hari ia sendiri menyingkap tirai penutup ALLAH SWT daripada dirinya." (Riwayat Muslim)

Berdasarkan ungkapan hadis berkenaan, ujar Sharifah Fadylawaty, perbuatan maksiat yang dikongsikan tanpa segan-silu di media sosial juga termasuk dalam perkara yang dibincangkan.

"Masakan tidak, tindakan mendedahkan perbuatan dosa secara terbuka itu dikhuatiri dapat mengundang fitnah kepada pelaku dan secara tidak langsung seolah-olah menggalakkan orang lain melakukan dosa yang sama. Seandainya kita melakukan kesalahan, biarlah ia menjadi rahsia diri kita sahaja," jelasnya.

Aib diri dan orang lain
ISLAM melarang keras umatnya membuka aib sendiri, apatah lagi kelemahan orang lain.

Beliau menjelaskan, bukan sahaja aib diri sendiri, perbuatan menyebarkan aib orang lain adalah berdosa dan dilarang sama sekali dalam agama.

Apatah lagi jika aib yang disebarkan itu menjadi tular asbab perbuatan tidak bertanggungjawab kita yang berdosa jika diteruskan oleh orang lain, ungkapnya.

"Justeru, berusahalah untuk menutup aib orang lain. Begitupun, ia bukanlah bermaksud kita reda atau bersubahat dengan perbuatan maksiat yang dilakukan seseorang," katanya.

Seperkara lagi, Sharifah Fadylawaty menjelaskan, akhlak mahmudah itu bukan sahaja dipraktikkan oleh seorang Muslim semasa bermuamalah dengan saudara seagama sahaja, tetapi juga sesama rakan yang bukan Islam.

"Ingatlah, perbuatan mengumpat, memfitnah dan menyebarkan keaiban orang lain meskipun bukan Islam adalah dilarang kerana tidak mencerminkan ajaran Islam," katanya.

Dedah kesalahan dengan syarat

Bagaimanakah jika seseorang melakukan kesalahan undang-undang dan bolehkah aib dirinya dibuka kepada pihak berkuasa?

Ketika menjawab persoalan itu, Sharifah Fadylawaty berkongsikan pandangan Imam al-Nawawi mengenai hukum mengumpat yang dibolehkan.

(Artikel berkaitan: Kita dibolehkan dedah aib seseorang, tetapi ada syarat-syaratnya…)

Jelas beliau, Imam al-Nawawi menyatakan, terdapat enam jenis mengumpat yang dibenarkan dengan tujuan yang sahih dan syar’i iaitu membuat aduan apabila dizalimi kepada sultan atau hakim; membantu dalam menentang perkara yang mungkar dengan tujuan mengembalikan pelaku ke jalan benar dan menceritakan kepada mufti bagi tujuan fatwa.

Aib diri dan orang lain

"Selain itu, dibolehkan mengumpat untuk mencegah umat Islam daripada sesuatu keburukan dan menasihati mereka seperti mengambil ilmu daripada bukan ahlinya serta menceritakan perihal orang yang melakukan dosa secara terang-terangan.

"Satu lagi adalah menyebut sesuatu sifat yang telah makruf (diketahui) kepada diri seseorang itu seperti bisu atau buta dan sebagainya. Namun begitu, jika mampu memanggilnya dengan panggilan yang lain adalah lebih baik dan haram memanggil panggilan-panggilan tersebut dengan niat menghina," katanya.

Melihat semua fakta itu, pensyarah berkenaan membantu kita membuat kesimpulan bahawa dibolehkan untuk mendedahkan kesalahan atau aib yang dilakukan oleh seseorang kepada pihak berkuasa dengan syarat tertentu.

"Jika terpaksa didedahkan, seseorang mesti tetap menurut keadaan yang diharuskan oleh syariat seperti untuk tujuan pendakwaan atau penghakiman yang sangat terhad kepada orang-orang tertentu.

"Batasan tersebut masih perlu dijaga kerana dalam Islam, sesuatu perbuatan maksiat bukan suatu yang perlu dipromosikan untuk mengelakkan daripada diterima sebagai satu normalisasi dalam masyarakat," jelasnya.

Apa-apapun, Sharifah Fadylawaty mengingatkan umat Islam bahawa perbuatan menyebarkan aib orang juga termasuk dalam tindakan membantu syaitan menyebarkan maksiat di atas muka bumi ini.

Didik sifat malu

Iklan

Fakta yang dilontarkan oleh Sharifah Fadylawaty turut dipersetujui oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi), Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Ahmad Sanusi Azmi.

DR AHMAD SANUSI

Bagi menyokong pernyataan itu, beliau menjelaskan, Rasulullah SAW melarang umatnya daripada mendedahkan aib mereka sendiri bagi mendidik Muslim agar sentiasa menjauhi dosa.

"Pada hari ini, timbul penyakit baharu yang mana sebahagian Muslim berbangga dengan dosa mereka. Mereka tidak segan untuk menayangkan perlakuan maksiat di platform media sosial seolah-olah perkara itu sudah menjadi satu kebanggaan.

"Atas dasar itu, bagi mendidik sifat malu dalam kalangan Muslim, Rasulullah SAW menegah kita daripada mendedahkan aib kita sendiri," katanya.

Hakikatnya, ujar beliau, banyak dosa yang kita lakukan tidak diketahui oleh orang lain. Hanya ALLAH yang mengetahui segala aib kita.

(Artikel berkaitan: Dah bercerai bukan lesen aibkan pasangan, tanggungjawab wajib dilaksanakan)

“Melalui limpah dan kasih sayang-NYA, ALLAH telah menutup aib kita. Namun, apabila seseorang itu bertindak untuk mendedahkan aib sendiri seakan-seakan tidak mensyukuri anugerah yang telah dikurniakan oleh-NYA kepada kita.

"Begitu juga halnya dengan perbuatan mendedahkan aib orang lain. Secara zahirnya, ia akan menyemarakkan api permusuhan sesama manusia. Tindakan seseorang mendedahkan perlakuan dosa berupaya mencetuskan kemarahan, bahkan mencalar maruah seseorang,” ujarnya.

Ketahuilah bahawa ALLAH SWT akan menutup aib hamba-hamba-NYA di akhirat kelak andai kita berbuat demikian kepada saudaranya, ungkapnya.

Dalam sebuah hadis, Dr Ahmad Sanusi yang juga Setiausaha Agung Majlis Ulama Isma berkata, Rasulullah SAW pernah mengungkapkan tentang pernyataan tersebut.

Namun begitu, hadis itu seharusnya difahami dari sudut konteks dosa yang dilakukan pada zaman muda seseorang, jelasnya.

"Sekiranya seseorang itu telah insaf, maka tidak wajar untuk kita mengungkit lagi dosa dan silap yang pernah mereka lakukan. Seandainya ketika usia muda, seseorang itu pernah minum arak atau mengambil dadah, mengapa perlu kita dedahkan kepada orang lain dalam keadaan dirinya yang sudah bertaubat dan insaf?

"Dibimbangi pendedahan kita akan membuatkan mereka kembali kepada dosa. Alangkah baiknya sekiranya kita mampu bersama melenyapkan memori hitam tersebut," katanya.

Dalam hal itu, ujar beliau lagi, tidak timbul juga isu bersubahat kerana pelaku kesalahan tersebut sudah pun bertaubat dan membenci kelakuan buruk mereka.

Aib diri dan orang lain
HARI ini, orang menggunakan media sosial sebagai saluran untuk membuat fitnah, adu domba, serangan peribadi dan membuka aib orang lain.

"Apa yang seharusnya dianggap bersubahat adalah mereka yang mendiamkan seseorang yang terus-menerus melakukan dosa, sedangkan kita tidak membimbing atau menegur mereka. Bahkan, kita mendiamkan mereka hanyut dalam kerosakan," katanya.

Andai kata, seseorang sudah bertaubat dan tiba-tiba ada orang lain bertanyakan kesalahan lampau, Dr Ahmad Sanusi menyarankan agar kita bersikap jujur dengan menolak untuk menceritakan aib diri kepada orang.

Iklan

"Jangan pula kita terjebak dengan perbuatan berbohong, bahkan sebaliknya berikan kepada mereka jawapan yang jujur dengan menyatakan bahawa topik tersebut adalah sesuatu yang tidak wajar untuk dibuka buat perbincangan umum," katanya.

Jangan sewenang-wenangnya menghukum orang lain

Sikap skeptikal segelintir masyarakat yang gemar menilai seseorang gara-gara kesilapan lampau lebih-lebih lagi jika individu itu pernah bergelar banduan suatu ketika dulu, begitu bertentangan dengan agama Islam.

Apatah lagi jika empunya diri sudah insaf dan cuba memperbaiki diri.

Pendakwah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Da’i Syafiqah menjelaskan, sangkaan buruk seperti itulah yang akan memberi kesan buruk terhadap bekas pesalah itu.

DA'I SYAFIQAH

Antaranya, ia membuatkan bekas pesalah tadi mungkin merasakan dirinya tiada harapan lagi di dunia, sekali gus mendorongnya kembali semula ke kancah lama.

Firman ALLAH SWT: "Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa…” (Surah Al-Hujurat, ayat 12)

“Sikap seperti itu juga tidak selari dengan akhlak Rasulullah SAW. Dalam sebuah hadis, Aisyah RA menceritakan bahawa Rasulullah tidak akan membalas perbuatan buruk dengan keburukan, tetapi memaafkan dan berlapang dada.

“Sifat seperti itulah yang perlu kita contohi sebagai sebuah masyarakat Islam yang membangun. Jadilah insan yang membantu, bukan ‘membuntu’,” katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Apabila kita terlihat seseorang melakukan kesilapan atau dosa, ujar Da’i Syafiqah, kita berperanan untuk mengajaknya ke arah kebaikan dan mencegahnya daripada perbuatan mungkar dengan cara teguran atau nasihat.

Usah sesekali kita menghukum atau melabelkan individu berkenaan dengan pelbagai perkataan yang menyebarkan aibnya, tegasnya.

“Tatkala kita mendengar bahawa seseorang itu dihukum di bawah undang-undang kerana melakukan kesilapan, itu bukanlah menjadi tiket untuk kita mengaibkannya lagi. Apatah lagi menokok tambah cerita sehingga langsung tidak nampak kebaikan orang itu sebelum ini.

“Seharusnya, kita ambil pengajaran daripada perbuatan yang dilakukan agar diri kita terpelihara daripada mengikut jejak langkahnya. Sentiasalah berhati-hati ketika bercakap tentang sesuatu perkara.

“Peribahasa Melayu ada menyebut, ini hari orang, besok hari kita. Jadi sama-sama kita ingatkan diri untuk tidak menghukum dan mengaibkan orang lain sesuka hati,” nasihatnya.

Seperkara, beliau mengingatkan agar umat Islam tidak mencari-cari kesalahan orang lain kerana perbuatan itu hampir sama dengan berburuk sangka.

Aib diri dan orang lain

Kedua-duanya tergolong sifat tercela yang amat dibenci dan dilarang oleh ALLAH dan Rasul-NYA.

“Renungkanlah kata-kata yang biasa kita dengar daripada orang di sekeliling; ‘Pegang cermin selalu untuk selalu lihat kesalahan diri sendiri, bukan pegang kanta pembesar untuk lihat kesalahan orang lain’,” katanya mengakhiri bicara.

ANEKDOT

CARA Rasulullah SAW menetapkan hukuman atas kesalahan orang

- Pada zaman Rasulullah SAW, kebanyakan hukuman dikenakan apabila terdapat aduan atau pelaku sendiri yang menyerahkan diri mereka atas kesalahan yang mereka lakukan.

- Malah, sekiranya seseorang itu datang mengakui dosa mereka, Rasulullah pada kebiasaannya akan meminta pelaku dosa itu pulang dan bertaubat kepada ALLAH.

- Mudah-mudahan mereka akan menarik balik kenyataan mereka dan menyerahkan urusan dosa mereka kepada ALLAH SWT.

- Namun, terdapat juga sahabat yang cekal untuk dikenakan hukuman kerana mereka tidak sanggup untuk memikul rasa bersalah menanggung bebanan dosa yang mereka lakukan.

DOA agar ALLAH SWT memelihara aib diri

Aib diri dan orang lainDaripada Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW sering mengulang-ulang doa ini pada waktu pagi dan petang yang berbunyi: “Ya ALLAH, aku memohon keselamatan di dunia dan akhirat. Ya ALLAH, aku memohon kepada-MU kemaafan dan keselamatan pada agamaku dan duniaku, pada ahli keluargaku dan harta bendaku. Ya ALLAH, tutuplah auratku (aib dan kelemahan), dan amankanlah ketakutanku. Ya ALLAH, peliharalah aku daripada bahaya yang datang dari hadapanku, dari belakangku, dari kananku, dari kiriku, dari atasku, dan aku berlindung dengan keagungan-MU daripada tergelincir daripada bawahku.” (Riwayat Imam al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad)

Sumber: Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi), Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Ahmad Sanusi Azmi & Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah

Foto: Freepik

About Nurulfatiha

Biodata Penulis

1 Comment

  1. Assalamualaikum

    Apa yg sy mahu terangkan adalah sikap segelintir umat manusia zaman sekarang adalah mahu cari kesalahan org lain, malah mereka ada rasa mulia di sisi rakan rakan yg sekutu dgnnya, tdk ada rasa bersalah akan atas perbuatannya, ……

Comments are closed.