SETIAP orang pasti ada kisah silam masing-masing yang sukar dilupakan. Barangkali itu sahajalah memori indah dan mungkin juga pahit yang akan dikenang seumur hidup kita.

Namun begitu, tidak semua kisah lampau kita diketahui oleh orang lain. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan sisi ‘gelap’ kita suatu masa dulu.

Masakan tidak, tiada sesiapa pun mahu membuka pekung di dada. Ia seolah-olah membuka aib sendiri.

Jika kisah silam berkenaan turut melibatkan orang lain, pastinya ia hanya diketahui oleh diri sendiri dan individu yang terlibat sahaja. Semuanya akan tersimpan kemas jika ia tiada sesiapa pun yang membuka mulut membangkitkan perkara yang memalukan diri.

Apatah lagi jika kedua-duanya pernah melakukan maksiat dan sudah bertaubat sekarang.

Begitupun, ada orang yang ‘tidak makan saman’ dan bermulut lancang. Laju sahaja bibirnya mengungkit kisah silam kita yang cuba dirahsiakan hingga membuka aib sendiri. Sedangkan individu itu sudah pun bertaubat.

Apakah hukumnya jika kisah silam kita yang mengaibkan diungkit?

Menjawab persoalan itu, pendakwah Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani menjelaskan, Islam melarang umatnya untuk membuka aib orang lain termasuk juga aib sendiri.

USTAZ AHMAD DUSUKI

Jelas beliau, ALLAH mengajarkan kepada kita supaya tidak mengungkit setiap perkara yang lepas dalam perjalanan hidup kita, sebaliknya terus ‘berjalan’ ke hadapan.

Iklan

“Sesiapa sahaja yang mengungkit cerita-cerita lama kita, ketahuilah, individu yang mengungkit itu akan menanggung setiap dosa-dosa yang kita lakukan itu kerana dia telah mengungkit satu dosa yang telah ditutup oleh ALLAH SWT.

“Ini tidak kiralah siapa waima diri kita sendiri yang mengungkitnya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video TikTok yang dikongsikan menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

Ustaz Ahmad Dusuki menambah, umat Islam diajar supaya bertaubat dan meminta ampun kepada ALLAH SWT atas setiap perkara yang lepas apalagi jika kita melakukan dosa.

(Artikel berkaitan: Berkongsilah selagi mana ia tidak membuka aib sesiapa)

“Bagi perkara yang akan datang dalam hidup kita, kita diajar supaya sentiasa berharap kepada ALLAH SWT dan meminta agar ALLAH menunjukkan jalan yang lurus.

“Kepada mereka yang menjadi mangsa kisah silam diungkit, bersabarlah dengan karenah-karenah manusia yang mereka lakukan sedemikian rupa terhadap kita,” katanya mengakhiri perkongsian ilmunya.

Iklan

Justeru, usah sesekali kita membuka aib orang lain. Jangan mencari bala dengan menambah dosa baharu yang sia-sia.

Sumber: Instagram ustazahmaddusuki

Foto: 123rf