BERSEDEKAH menjadi amalan lazim oleh kebanyakan masyarakat kita. Barangkali kerana ia lebih mudah dilakukan berbanding ibadah sunat yang lain.

Tidak kiralah apa jua alasannya, tetapi rata-rata tujuan utama sedekah adalah bagi membantu meringankan bebanan golongan yang memerlukan. Bahkan, ia juga menjadi ‘pengubat’ dan memberi kegembiraan kepada orang fakir miskin.

Ya, begitu suci dan murni niat berkenaan. Melihat orang lain gembira, ia membuatkan hati kita sedikit lapang dan senang.

Namun begitu, amalan baik itu kadangkala dicemari dengan sikap segelintir orang yang begitu menjengkelkan. Apa tidaknya, habis satu kampung dicanang dan diungkit-ungkit sedekah yang selama ini dilakukannya.

Bukan sekadar menjelikkan sesiapa yang mendengarnya. Bahkan, perbuatannya tanpa sedar turut mengguris hati penerima sedekah berkenaan.

Pendakwah Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani menjelaskan, agama Islam mengajar kita agar tidak mengungkit-ungkit, apalagi menunjuk-nunjuk sedekah yang diberikan.

USTAZ AHMAD DUSUKI

Beliau kemudian memetik firman ALLAH SWT: “Wahai orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada ALLAH dan hari akhirat.” (Surah al-Baqarah, ayat 264)

“Berdasarkan ayat itu, kita diajar supaya bersedekah dengan penuh keikhlasan tanpa ada sekelumit pun perasaan hendak menunjuk-nunjuk, riak dan sebagainya.

“Pastikan hati kita sentiasa dalam keadaan jaga kerana apabila kita berkeadaan demikian, ALLAH SWT akan terima amalan-amalan yang dilakukan tersebut,” katanya sebagaimana dipetik dalam video TikTok yang dikongsikan menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

(Artikel berkaitan: Bersedekah pada hari Jumaat sangat dianjurkan Islam, tetapi jangan bertangguh untuk lakukan amalan mulia itu pada hari lain)

Seandainya ungkitan demi ungkitan sedekah tetap dilakukan, ujar Ustaz Ahmad Dusuki, amat rugilah sesiapa yang berbuat demikian.

“Nanti barang (sedekah) pun habis, pahala pun tiada, yang ada (hanyalah) dosa pula,” ujar beliau mengingatkan dirinya dan seluruh umat Islam.

Memetik artikel yang disiarkan dalam almanhaj.or.id, para ulama memasukkan perbuatan manna (mengungkit pemberian) sebagai antara dosa-dosa besar.

Ia sebagaimana yang disebutkan oleh al-Qurthubiy dalam tafsirnya, adz-Dzahabiy menerusi al-Kabair dan Ibnu Hajar al-Makkiy dalam az-Zawajir.

Ungkit sedekah(Artikel berkaitan: Sedekah kepada orang lain, tapi keluarga sendiri diabaikan…)

Bahkan, dalam hadis ada disebutkan ancaman-ancaman khusus kepada sesiapa yang mengungkit amalan sedekahnya.

Daripada Abu Dzarr bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Ada tiga orang, ALLAH tidak akan berbicara kepada mereka pada hari kiamat, ALLAH tidak akan melihat mereka, ALLAH tidak juga menyucikan (dosa-dosa) mereka, dan mereka akan mendapatkan seksa yang pedih.”

Rasulullah SAW kemudian membacakan ayat ini tiga kali.

Abu Dzarr berkata: “Mereka pasti kecewa dan rugi! Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?”

Rasulullah SAW bersabda: “Al-Musbil (orang yang melakukan isbal), Al-Mannan (orang yang suka menyebut-nyebut kebaikannya/pemberiannya) dan orang yang melariskan dagangannya dengan sumpah bohong.” (Riwayat Muslim)

Ungkit sedekahBukan itu sahaja, dalam satu riwayat lain, ada dinyatakan bahawa mereka yang mengungkit-ungkit pemberiannya diancam tidak akan masuk ke dalam syurga.

Daripada Salim bin Abdullah (bin Umar), daripada bapanya, beliau (Abdullah) berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Tiga orang yang ALLAH SWT tidak akan melihat mereka pada hari kiamat: anak yang derhaka kepada kedua orang tuanya, wanita yang menyerupai lelaki dan lelaki dayus. Tiga orang yang tidak akan masuk surga: anak yang derhaka kepada kedua orang tuanya, peminum arak dan orang yang menyebut-nyebut apa yang dia berikan.” (Riwayat an-Nasai, Ahmad & al-Hakim)

Justeru, usahlah kita mengungkit-ungkit sedekah yang diberikan. Jagalah amalan soleh kita dengan sebaiknya daripada perkara yang boleh merosakkan pahala hingga menjejaskan timbangan amal kita di akhirat kelak

Sumber: Instagram ustazahmaddusuki & almanhaj.or.id

Foto: Freepik