ADAKALANYA manusia begitu mudah menilai seseorang yang lain hanya dengan mata kasar.

Apabila nampak sahaja orang lain berbuat sesuatu yang tidak kena pada matanya, mulalah dirinya berburuk sangka kepada individu berkenaan.

Perbuatan itu kadangkala tanpa sedar telah membuatkan kita menjatuhkan ‘hukuman’ ke atas orang tersebut walaupun kita tidak begitu mengenalinya.

Hakikatnya, siapalah diri kita untuk menilai orang lain. Kita juga seorang hamba kepada Sang Pencipta, sama juga dengan makhluk-makhluk ALLAH SWT yang lain.

Pendakwah terkemuka Azhar Idrus menjelaskan, bagitu banyak nas yang memerihalkan tentang sangkaan buruk.

USTAZ AZHAR IDRUS

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman jauhilah kamu sekalian akan kebanyakan daripada sangkaan, sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu ialah dosa dan jangan kamu suka mencari-cari kesalahan.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Selain itu, dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Takutilah kamu sekalian akan sangkaan, maka sesungguhnya sangkaan itu ialah sebohong-bohong perkataan.” (Riwayat al-Bukhari)

Bukan itu sahaja, Azhar Idrus turut menukilkan pandangan Dr Wahbah Zuhaili yang menyatakan:

“Sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu iaitu sangka buruk akan orang yang baik atau sangka jahat akan orang Mukmin ialah dosa yakni yang menjatuhkan pelakunya kepada dosa kerana larangan ALLAH daripadanya.” (Kitab Tafsir Al-Munir)

Sementara itu, Imam Suyuthi menjelaskan: “Telah melarang oleh ALLAH akan orang Mukmin pada ayat ini bersangka buruk akan seorang Mukmin.” (Tafsir Durul Mansur)

Melihat kepada nas dan semua ungkapan itu, Azhar Idrus melarang kita daripada berburuk sangka dengan orang lain.

(Artikel berkaitan: Lakukan apa sahaja kebaikan kerana ALLAH SWT. Rugi jika beramal, tetapi tak dapat pahala…)

Antara contoh sangka buruk itu adalah apabila seseorang melihat orang lain yang tidak ada alamat atau tanda bahawa individu itu ialah orang yang jahat.

Boleh jadi orang itu baik dan barangkali juga orang itu jahat, namun kita telah ‘menghukumnya’ sebagai orang jahat, jelasnya.

“Maka sangkaan seperti inilah yang sangat disuruh oleh syarak untuk kita menjauhinya sekalipun orang tersebut pada hakikatnya ialah orang jahat. Begitupun, oleh sebab tidak ada tanda kejahatannya, maka syarak mengajar kita supaya mengambil sangkaan yang baik dahulu.

Prasangka buruk

“Sangkaan buruk boleh sahaja berlaku apabila seseorang melihat orang lain melakukan suatu amal kebajikan seperti bersedekah. Boleh jadi dia bersedekah kerana ALLAH dan barangkali juga kerana riak, lalu dihukumkan orang itu sebagai riak.

“Maka sangkaan buruk inilah yang diharamkan kerana hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu tujuan dia bersedekah jika dia tidak menyebutnya,” katanya.

Dalam perihal sangkaan, agamawan itu menjelaskan, sebenarnya ada pembahagian yang mana ia terbahagi kepada empat hukum yang berlainan iaitu wajib, sunat, haram dan makruh.

Bagi menjelaskan perkara itu, beliau kemudian memetik pandangan Syeikh Jamal tentang perkara itu: “Dan sangkaan itu terbahagi pada syarak kepada wajib, sunat, haram dan harus. Maka sangkaan yang wajib itu adalah sangka baik kepada ALLAH SWT bahawa tiada seorang itu sangkakan yang buruk dengan ALLAH seperti menisbahkan ALLAH itu kepada suatu yang tidak layak dengan-NYA. 

“Dan sangkaan yang sunat itu adalah sangka baik dengan seorang yang zahirnya elok dalam kalangan Muslimin. Dan sangkaan yang haram itu adalah sangka buruk dengan ALLAH SWT dan sekalian yang zahirnya elok dalam kalangan Muslimin. 

“Dan sangkaan yang harus itu adalah sangka dengan orang yang termasyhur antara orang Islam (iaitu tiada pada mana satu dari sangkanya itu memudaratkan).” (Kitab Hasyiah al-Jamal)

Iklan

Prasangka buruk

Namun demikian, Azhar Idrus menegaskan, hukum sangkaan yang buruk ke atas sesama saudara Islam itu adalah haram tanpa khilaf.

Ia sebagaimana disebutkan oleh Syeikh Al-Khalili bahawa: “Maka sesungguhnya buruk sangka dengan orang Islam itu haram ia dengan putus.” (Kitab Fatawa Al-Khalili)

Sementelah, Imam As-Samarqandi pula berkata: “Maksud ayat ini sesungguhnya sangka buruk dengan orang Islam itu adalah satu maksiat.” (Tafsir Samarqandi)

Demikian juga pandangan Imam Qurtubi yang menyatakan: “Bermula barang yang telah menyebut oleh Al-Mahdawi daripada kebanyakan ulama bahawasanya sangkaan yang buruk dengan orang yang zahirnya baik itu tidak harus, yakni haram.”

Justeru, pendakwah itu sekali lagi mengingatkan semua umat Islam agar melazimi sikap bersangka baik supaya terpelihara daripada dosa.

Iklan

“Sesungguhnya sangka baik itu adalah sebaik-baik ibadah,” katanya.

Rasulullah SAW besabda: “Sangkaan yang baik itu ialah setengah dari seelok-elok ibadah.” (Riwayat Abu Daud & Ibnu Hibban)

Begitupun, Azhar Idrus mengingatkan agar jangan pula terlalu bersangka baik walaupun sudah terang, jelas dan nyata bahawa orang tersebut melakukan maksiat atau kezaliman.

“Perbuatan itu, jangan pula disangka sebagai baik pula,” nasihatnya.

Sumber: uaioriginal

Foto: Freepik