SOLAT adalah ibadat yang menduduki tempat tertinggi bagi penganut agama Islam. Seandainya seseorang Muslim itu taat mendirikan solat fardu sebanyak lima kali dalam sehari bermakna dia seolah-olah menegakkan agamanya.

Apabila seseorang itu meninggalkan solat pula, ia umpama seseorang itu tidak mahu berusaha membina agamanya dengan sempurna.

Tambahan pula terdapat tidak kurang 100 ayat dalam al-Quran membicarakan mengenai solat.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Mukminun, ayat 1-2 yang bermaksud: “Benar-benar sangat beruntung orang-orang beriman. Yakni mereka yang khusyuk dalam mengerjakan sembahyang.”

Ya! solat itu wajib bagi setiap umat Islam. Namun dalam mengerjakan ibadat tersebut janganlah sehingga boleh memudaratkan diri sendiri dan orang lain.

Seperti apa yang berlaku baru-baru ini, tular di media sosial foto yang menunjukkan pengguna lebuh raya menunaikan solat Subuh di lorong kecemasan di Lebuhraya KLK akibat kesesakan lalu lintas untuk pulang ke kampung halaman bagi sambutan Hari Raya Aidiladha.

Pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dinasihat agar tidak menunaikan solat di lorong kecemasan lebuh raya itu atas faktor keselamatan.

Iklan

Menurut kenyataan media pemegang konsesi KLK dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Anih Berhad memaklumkan tindakan itu dikhuatiri boleh menyebabkan penunggang motosikal atau kenderaan lain yang mungkin tidak menyedari kehadiran individu di lorong kecemasan tersebut.

“Kami amat menghargai kesabaran pengguna Lebuhraya KLK dan juga ketaatan umat Islam menunaikan ibadah solat ketika dalam perjalanan ke Pantai Timur pada setiap kali musim perayaan dan cuti umum.

“Namun, kami sebagai pengendali Lebuhraya KLK juga ingin memohon kesabaran dan penelitian wajar daripada pengguna jalan raya agar tidak menunaikan ibadah solat di atas jalan raya iaitu di lorong kecemasan atas faktor keselamatan,” menurut kenyataan itu.

Hasil tinjauan SinarPlus, aliran trafik di beberapa lebuh raya utama didapati perlahan petang ini berikutan orang ramai mula pulang ke rumah masing-masing selepas menyambut Aidiladha di kampung halaman.

Iklan

Maka, rancanglah perjalanan korang dan elakkan perkara yang tidak sepatutnye seumpama ini berlaku lagi.

Jika tiada RnR, solatlah di dalam kereta. Konsepnya sama seperti solat di dalam kapal terbang. Hanya perlu membuat carian di Google, insya-Allah ada. Jika was-was boleh rujuk ustaz atau mereka yang lebih berpengetahuan luas dalam bidang agama.