BAGI mereka yang puasa ‘tak cukup hari’ pada bulan Ramadan lalu, jangan buat-buat lupa pula untuk ganti puasa.

Gantilah sikit-sikit dari sekarang. Kan senang sebab tempohnya masih panjang untuk sampai ke Ramadan akan datang.

Bukan apa, takut nanti lambat-lambat ada pula yang tiba-tiba tak sempat nak qada puasa disebabkan masalah-masalah tertentu seperti tak sihat dan sebagainya.

Apa tidaknya, kita sendiri tak tahu apa akan jadi pada masa akan datangkan, jadi eloklah kalau kita percepatkan apa yang wajib ke atas kita ni.

Andai kata kita dah mula puasa qada, tiba-tiba tengah hari itu, kawan ajak pula makan sama-sama dan siap janji nak belanja lagi atau mungkin ada sebab lain yang bukan disebabkan oleh keuzuran yang dibenarkan syarak, boleh ke kita nak batalkan puasa qada tadi?

Lepas tu, kalau kita batalkan puasa tu, kita kena gandakan ke puasa ganti tadi?

Ujar pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki, hukum asal puasa qada adalah ia tak boleh dibatalkan tanpa uzur yang diizinkan oleh syarak.

USTAZ MUSTAFAR

“Uzur ini seperti musafir, haid, nifas dan selainnya. Maka, seseorang mesti meneruskan puasa qadanya sehingga selesai disebabkan ia adalah perkara yang wajib,” jelas beliau.

Iklan

Agamawan itu menjelaskan, puasa qada boleh dilakukan dengan berturut-turut atau diselang-selikan.

“Namun begitu, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan para ulama sama ada ia perlu disegerakan atau ditangguhkan. Lebih utama adalah menyegerakannya,” katanya.

Menjawab tentang persoalan membatalkan puasa qada secara sengaja, Ustaz Mustafar menegaskan, pelakunya perlu bertaubat kepada ALLAH SWT kerana ia termasuk larangan dalam syariat.

Pun begitu, tambah beliau, tiada kafarah jika pelaku tersebut sengaja membatalkan puasa qada berkenaan tanpa keuzuran syarak.

“Cuma, dia wajib menggantikan puasa qadanya sahaja tanpa membayar kafarah dan tanpa menggandakan puasa. Ini pendapat Imam al-Nawawi dan Imam Ibn Qudamah,” jelas beliau.

Walaupun tiada kafarah, tapi sendiri mahu ingatlah. Takkan kita dah mula ganti puasa setengah hari, lepas tu nak buka dan sia-siakan puasa tadi.

Iklan

Kita kena ingat, puasa qada yang kita lakukan itu adalah wajib. Jadi anggap saja benda tu wajib macam puasa bulan Ramadan. Jangan mudah kalah dengan godaan-godaan lain ya.