PADA zaman milenial kini, tidak sukar untuk menyimpan dan memuat naik gambar. Kebanyakan orang lebih suka menyimpannya di media sosial sebagai kenangan peribadi.

Namun begitu, tidak semua gambar sesuai dimuat naik di media sosial. Ada sesetengah foto agak sensitif untuk dipertontonkan kepada umum.

Ia termasuklah gambar jenazah orang yang sudah meninggal dunia. Walaupun gambar itu mungkin diambil sebagai tanda kenangan dan ingatan, namun jika ‘terjatuh’ ke tangan orang yang salah, buruk akibatnya.

Apatah lagi jika foto berkenaan ditularkan. Sudah menjadi viral dan buah mulut warganet.

Menurut pendakwah selebriti, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, dari satu sisi, gambar berkenaan boleh dijadikan sebagai satu tanda kenang-kenangan dan ingatan.

“Namun begitu, gambar tadi boleh saja menjadi suatu cerita yang tidak habis. Apa tidaknya, katakan orang tangkap gambar saya sedang buat suatu gaya yang pelik, pastinya orang yang melihat hasil foto berkenaan tertanya-tanya kenapa saya buat gaya begitu.

“Itu yang dinamakan gambar itu boleh menjadi suatu cerita yang tidak habis,” katanya dipetik menerusi video yang dikongsikan dalam Instagram miliknya baru-baru ini.

Gambar jenazah
SEBAIKNYA, elakkanlah daripada mengambil gambar jenazah yang sudah meninggal dunia.

Bagitupun, apabila menyentuh perihal jenazah, jelas beliau, gambar itu menjadi ‘sangat tidak menyihatkan’ bagi individu yang sudah meninggal dunia.

“Ia (gambar) tidak bagus untuk jenazah kerana ada orang yang mahir bila tengok jenazah dan ada yang tidak mahir. Barangkali ada orang dapat melihat jenazah itu mati dalam keadaan husnul khatimah (kematian yang baik) atau su’ul khatimah (kematian yang tidak baik).

“Bukan sahaja jenazah berkenaan mendapat malu, tetapi juga ahli keluarganya terpalit sama. Walaupun tujuan asal ambil gambar jenazah itu sebagai kenangan, tapi kita tidak tahu mungkin satu hari nanti, kita tanpa sengaja upload dan tunjukkan pada orang.

“Apatah lagi, jika dimuat naik di WhatsApp group yang mungkin boleh tersebarnya gambar tadi,” katanya.

Pendek kata, Ustaz Don Daniyal mengingatkan kita agar tidak mengambil gambar atau menyimpan gambar jenazah ahli keluarga yang sudah meninggal dunia.

“Selesai sahaja pengebumian, maka selesailah. Selebihnya, serahkan urusan kepada ALLAH.

Iklan

“Janganlah kita cuba korek rahsia atau tengok (gambar) dia dan menganalisisnya,” jelasnya.

Sementara itu, memetik artikel menerusi portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, perbuatan menyebarkan mayat orang yang meninggal dunia adalah haram kerana ia boleh mendedahkan aib si mati dan menyakiti hati keluarga waris.

Tambahan pula, jika keadaan mayat yang agak tidak sempurna seperti terdedah aurat, tertanggal anggota tubuh daripada badan dan seumpamanya, maka haram menyebarkan gambar tersebut.

Ingatlah, agama Islam melarang umatnya mendedahkan aurat. Ia boleh menjatuhkan kehormatan si mati.

Iklan

Justeru, berhati-hatilah apabila memuat naik gambar di media sosial atau menerusi telefon bimbit masing-masing.

Peliharalah aib diri, keluarga dan juga kehormatan orang lain sekalipun ia sudah tiada lagi di dunia.

Sumber: Instagram ddaniyalbiyajid dan laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan