ANTARA perkara yang menjadi kekeliruan orang ramai ketika pada bulan Ramadan adalah melaksanakan witir selepas solat tarawih.

Ini kerana ada segelintir orang menganggap solat witir wajib ditunaikan selepas solat tarawih, manakala sebilangan masyarakat menganggap ia tidak wajib.

Apakah pandangan Islam tentang perkara ini?

Kepada Sinar Plus, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah merungkaikan jawapannya.

USTAZAH SHARIFAH FADYLAWATY

Berikut jawapan kepada kemusykilan tentang persoalan berkenaan:

“Solat sunat witir merupakan solat sunat yang dilakukan dengan bilangan rakaat yang ganjil iaitu 1, 3, 5, 7, 9 atau paling banyak 11 rakaat.

Hukum melakukan solat witir adalah sunat muakkad (sangat dituntut).

Bahkan, Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan solat sunat witir sama ada ketika baginda dalam keadaan bermukim mahupun bermusafir.

Ketahuilah bahawa solat sunat witir ini dianggap sebagai penamat bagi kesemua solat-solat sunat.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Jadikanlah solat terakhir pada malam sebagai solat witir”. (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Apatah lagi, jika ia dilaksanakan dalam bulan Ramadan. Begitu besar dan tinggi nilai ganjarannya di sisi ALLAH SWT.

Nabi Muhammad SAW bersabda:  “Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Apa pun, kita disunatkan untuk melakukan solat witir secara berjemaah dalam bulan Ramadan.

Iklan

Ia sepertimana disebutkan dalam sebuah hadis daripada Abu Zar al-Ghifari RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang berdiri (bersolat tarawih) bersama imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang qiyam semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam)”. (Riwayat al-Tirmizi) [Hadis ini adalah Hasan Sahih]

Sebagai kesimpulannya, dapat difahami bahawa adalah sangat dianjurkan untuk seseorang menunaikan solat bersama imam sehingga selesai; termasuklah bertarawih dan berwitir bagi mendapatkan pahala yang disebutkan seperti hadis di atas.

Ini juga selari dengan tuntutan ALLAH SWT dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 114 yang menganjurkan penganutnya sentiasa bersegera mengerjakan pelbagai amal kebajikan kerana ia merupakan sebahagian daripada sifat orang yang  soleh.

Iklan

Satu kerugian seandainya kita tidak merebut peluang keemasan pada bulan Ramadan yang penuh dengan pelbagai kelebihan dan keistimewaannya di sisi ALLAH  SWT.

Isikanlah kesempatan ini dengan memperbanyakkan amal kebaikan termasuk solat witir dan solat sunat yang lain,” jelas Ustazah Sharifah Fadylawaty.

Justeru, sama-samalah kita mengerjakan solat witir selepas selesai solat tarawih. Walaupun hukumnya tidak wajib, namun alangkah ruginya kita tidak merebut peluang berkenaan.