DETIK masa berlalu begitu pantas. Ramadan bakal mengucapkan selamat tinggal kepada kita kurang lagi dua hari. Mengenangkan bulan mulia dan penuh keberkatan ini bakal meninggalkan kita, mengundang rasa sayu dalam diri.

Masakan tidak, tiada siapa yang tahu apakah dia bakal bertemu sekali lagi dengan Ramadan al-Mubarak bulan penuh rahmat dan maghfirah. Apa sekalipun, panjatkanlah rasa syukur andai kita diberikan peluang menamatkan puasa dalam bulan ini dan meraikan hari kemenangan umat Islam yang bakal tiba.

Sana sini orang bercakap tentang normal baharu. Ya, lebaran kali ini juga turut terkena tempiasnya. Ada yang kata Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut insya-ALLAH pada hari Ahad ini sedikit suram kerana tidak dapat berkumpul bersama kaum keluarga, tak boleh balik kampung dan sebagainya.

Tidak kurang juga mereka yang berduka tidak dapat beraya dan meneruskan tradisi ziarah-menziarahi seperti tahun-tahun sebelum ini kerana masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk sama-sama membendung penularan wabak Covid-19.

Andai rasa ‘sesak’ itu yang terbuku di hati, usahlah terlalu bersedih sehingga merosakkan ‘nikmat’ hari raya itu sendiri. Sebaliknya, terimalah dengan hati yang terbuka untuk kebaikan kita bersama. Hakikatnya, kita masih boleh menghidupkan raya dengan suasana yang gembira dan ceria dalam kebiasaan baharu.

Paling penting, ada banyak lagi sunah lain yang boleh dilakukan untuk memeriahkan Aidilfitri kali ini. Apakah sunah yang dimaksudkan? Bolehkah menolak tetamu demi keselamatan pada Syawal ini?

Pendakwah, Ustaz Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau Imam Muda Aran berkata, Aidilfitri itu mempunyai maksud yang perlu difahami. Ia membawa makna kembali kepada fitrah. Dalam erti kata lain, kembali kepada ALLAH SWT.

IMAM MUDA ARAN

Dalam keadaan ketika negara sedang bergelut dengan wabak Covid-19, kita masih boleh mengamalkan beberapa sunah hari raya untuk meraikan Aidilfitri.

“Antaranya, pada malam raya, bangun qiamullail di rumah masing-masing. Perkara yang biasa kita lakukan adalah bertakbir, bertahmid, tahlil dan taqdis. Lazimnya kita akan ke masjid atau surau untuk berbuat demikian.

“Jangan disebabkan kita tak boleh ke masjid atau surau ketika musim PKPB ini, langsung kita tak buat apa-apa. Itu bukanlah raya namanya. Jika tak tahu bertakbir, gunakanlah teknologi yang ada pada hari ini untuk melakukan sunah yang satu ini,” jelasnya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Pada pagi raya, jangan lupa mandi sunat Aidilfitri. Tunaikan juga solat sunat hari raya, saran Imam Muda Aran.

“Andai kata tidak boleh ke rumah ALLAH, buatlah di rumah sendiri sama ada secara seorang diri atau berjemaah. Yang penting, kita kena ada ulang kaji cara bagaimana untuk melakukan solat sunat hari raya ini.

“Waktu yang sesuai adalah bila terbit matahari iaitu selepas Subuh hingga sebelum Zuhur. Paling afdal dilakukan ketika waktu duha,” katanya.

(Artikel berkaitan: Solat sunat Aidilfitri di rumah? Ketahui hukum-hakam dan panduan mudah untuk tunaikannya)

Buat mereka yang tidak hafal akan surah yang sering Nabi Muhammad SAW lafazkan pada solat sunat Aidilfitri, baca apa saja surah lazim yang dihafal.

Tiada masalah jika membaca Surah al-Ikhlas pada rakaat pertama dan kedua, yang mana tetap akan dapat pahala sunat, ujarnya.

“Usai menunaikan solat sunat Aidilfitri, disunatkan untuk membaca khutbah. Bagaimanapun, ia tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri masing-masing,” katanya.

Ziarah vs keselamatan

Mengulas situasi kekal duduk di rumah dan menolak tetamu yang bertandang pula, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah berkata, hal itu dibolehkan dalam Islam.

Iklan
USTAZAH SHARIFAH FADYLAWATY

“Ia bertepatan dengan cara Rasulullah SAW. Jangan dedahkan diri kita kepada mudarat dan pada masa sama tidak memudaratkan orang lain selari dengan kaedah fiqh; ‘Tiada mudarat dan tidak memudaratkan‘.

“Dalam Islam, maqasid syariah turut meliputi penjagaan nyawa. Islam mengharamkan seseorang memudaratkan diri sendiri dan orang lain,” katanya.

Jelas beliau, seandainya ada pertembungan antara menghubungkan silaturahim dengan menjaga nyawa, maka tidak salah jika memilih untuk tidak melakukan ziarah. Faktor melindungi keluarga dan masyarakat daripada dijangkiti wabak sebagai keutamaan.

Firman ALLAH SWT: “Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan…” (Surah al-Baqarah, ayat 195)

“Paling penting, matlamat menghubungkan silaturahim dan ukhuwah itu tercapai walau apa jua bentuk pendekatan yang kita ambil. Insya-ALLAH, ziarah ini boleh diteruskan pada masa-masa akan datang sekalipun bukan pada musim perayaan,” katanya.

Kepada satu soalan, ahli akademik itu berkata, memuliakan tetamu adalah akhlak yang mulia. Jumhur ulama berpandangan, melayan tetamu adalah sunah. Bagaimanapun, tuan rumah mempunyai hak mengehadkan waktu ziarah atas pelbagai faktor seperti privasi, kesihatan, keselesaan dan sebagainya.

Sunah Aidilfitri
JIKA ingin melakukan ziarah, patuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia. -Gambar hiasan

Menurutnya, Islam menggariskan adab-adab yang wajar diikuti ketika berziarah.

Iklan

“Sekiranya tuan rumah mempunyai kesulitan dan tidak bersedia, maka tak boleh datang ke rumahnya. Hal ini sepertimana yang dijelaskan dalam Surah an-Nur, ayat 27 dan Surah al-Ahzab, ayat 53 serta hadis Rasulullah SAW.

“Bagi pihak tuan rumah, Islam memberikan hak kepadanya untuk tidak menerima tetamu. Namun, perlu dimaklumkan secara beradab dan penuh hikmah agar tidak mengguris hati pihak lain kerana Islam menyarankan untuk kita berkomunikasi dengan cara yang baik,” jelas beliau.

Bagaimanapun, sekiranya ada pihak yang ingin melakukan ziarah ke rumah ahli keluarga terdekat, Ustazah Sharifah Fadylawaty mengingatkan agar semua pihak mematuhi prosedur standard operasi yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Antaranya tidak melebihi 20 orang dalam satu masa. Sebetulnya, penjarakan sosial itu lebih utama. Jadi, perlu melihat juga kepada kesesuaian rumah yang dikunjungi bagi mengelakkan kesesakan. Amalkan penjagaan kebersihan dan kesihatan, pakai pelitup muka dan gunakan pensanitasi tangan.

“Selain itu, elakkan kontak fizikal seperti bersalaman dan berpelukan bagi mengekang penularan Covid-19. Warga emas juga perlu dilindungi sewaktu aktiviti ziarah-menziarahi kerana mereka merupakan golongan yang paling berisiko dijangkiti Covid-19. Begitu juga dari segi tempoh masa, sebaiknya dipendekkan dan tertakluk kepada garis panduan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan,” pesan beliau mengakhiri perkongsian ilmunya.

ANEKDOT

Amalan sunah ketika Aidilfitri

  • Mandi sunat Aidilfitri
  • Menyediakan juadah istimewa mengikut kemampuan
  • Berpakaian indah
  • Menjamah makanan sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri