SELALU kita tengok orang guna alatan untuk berzikir atau bertasbih di mana-mana. Malah, tasbih manik dan tasbih digital seakan menjadi barang yang wajib ada buat semua umat Islam.

Ya, pada perkiraan kita, alat tersebut sangat memudahkan kita untuk mengira jumlah tasbih dan zikir yang dibaca. Mungkin kerana reka bentuknya yang kecil dan ringan, mudah saja untuk di bawa ke mana-mana.

Tapi andai kita tiada alatan sekalipun, itu bukanlah alasan untuk kita tidak membasahkan lidah dengan membesarkan ALLAH SWT yang menciptakan segala makhluk yang ada di muka bumi ini.

Kitakan masih punya jari untuk mengira. Dengan jari inilah kita boleh berzikir dan bertasbih.

Bahkan, Rasulullah SAW juga menggunakan jari ketika berzikir dan bertasbih. Sebenarnya, ada sebab kenapa baginda berbuat demikian tau. Yang pastinya ia untuk kebaikan diri kita juga.

Apa istimewanya berzikir dan bertasbih dengan jari? Mengapa kita digalakkan bertasbih menggunakan jari bukannya dengan ‘mesin pengira’?

Sunat berpahala

Tatkala Sinar Islam mengajukan persoalan berkenaan, pendakwah Ustaz Fauzi Mustaffa mengajak kita mendalami hadis Nabi Muhammad SAW.

USTAZ FAUZI

Ujarnya, baginda SAW begitu mengalakkan umat Islam berzikir dengan menggunakan jari biarpun ketika itu sudah ada alat menyerupai tasbih diperbuat menggunakan anak-anak batu yang diikat.

Sabda baginda SAW: “Wahai para wanita mukminah, kalian harus rajin bertasbih, bertahlil dan mensucikan nama ALLAH. Janganlah kalian lalai sehingga melupakan rahmat. Hitunglah dengan jari-jari kalian kerana semua jari itu akan ditanya dan diminta untuk bicara (ditanya pada hari akhirat kelak).” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Tirmizi)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, ujar Ustaz Fauzi, meskipun hukumnya tidaklah wajib untuk kita bertasbih atau berzikir dengan jari, namun sunat seandainya perbuatan mulia itu dilakukan.

“Hukumnya sunat berpahala sebab kita beramal dengan sunah Nabi Muhammad SAW. Katakanlah kita bertasbih 33 kali atau melakukan tahlil, takbir, tasbih dan seumpamanya, gunakanlah jari.

“Jarilah yang akan menjadi saksi kepada kita sama ada kita berbuat baik atau sebaliknya. Seandainya kita gunakan jari ini (untuk bertasbih, berzikir) dan seumpamanya, jari inilah yang akan menjadi saksi di hadapan ALLAH bahawa kita menggunakannya untuk tujuan mengingati-NYA,” katanya kepada Sinar Islam ketika dihubungi baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ustaz Fauzi turut menegaskan, tidak menjadi satu kesalahan jika kita menggunakan peralatan seperti tasbih manik atau digital.

“Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan bilangan zikir yang banyak berjumlah ribuan dan sebagainya. Sebenarnya ada satu cara yang memudahkan untuk kita berzikir dengan banyak sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Bacalah subhanallah adada khalqihi (subhanallah sebanyak-banyak ciptaan-NYA),” jelas beliau.

Teladani cara Rasulullah SAW

Fakta yang dilontarkan oleh Ustaz Fauzi turut diakui oleh Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah.

USTAZAH SHARIFAH FADYLAWATY

Ujar beliau, sebenarnya, bertasbih atau berzikir menggunakan apa sahaja alat tidak menjadi halangan. Malah, dianjurkan jika penggunaan alat ibadah sebegini akan lebih mendorong, mempermudah dan memotivasikan kita untuk mengingati ALLAH.

Paling utama katanya, kita perlu sentiasa berusaha melazimi zikir dan tasbih sebagai sebahagian daripada rutin yang perlu dilakukan secara istiqamah.

“Namun dari sudut keutamaan, lebih afdal zikir dan tasbih dilakukan dengan jari berbanding alatan seperti manik dan tasbih digital. Ia berdasarkan kepada beberapa hadis-hadis Rasulullah SAW.

“Selain mengikuti sunah baginda dan jari menjadi saksi, amalan itu merupakan manifestasi syukur kita kepada ALLAH melalui sedekah oleh anggota badan kita,” katanya.

Jelas ahli akademik berkenaan, Rasulullah SAW juga sering mempraktis tasbih dengan jari.

Daripada Abdullah bin ‘Amr, beliau berkata: “Saya melihat Rasulullah SAW menghitung tasbih dengan melipatkan jari-jari menggunakan tangan kanannya.” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

Ustazah Sharifah Fadylawaty menjelaskan, maksud menghitung (aqdu) menurut amalan orang Arab adalah dengan meletakkan salah satu hujung jari pada pelbagai ruas jari yang lain. Ia sebagaimana disebutkan dalam Nataij Al-Afkar fi Takhrij Ahadith Al-Adzkar, 1/90.

“Dibolehkan kita berzikir dengan kedua-dua tangan. Namun, kita dianjurkan untuk mengutamakan yang kanan kerana Rasulullah SAW sentiasa mendahulukan anggota badan yang kanan untuk hal yang baik,” katanya.

 

Iklan
Berzikir
CONTOH kaedah pengiraan zikir menggunakan jari yang boleh kita amalkan. -Foto: Facebook Abu Anas Madani)

Menjawab satu soalan lain, kata Ustazah Sharifah Fadylawaty, dari sudut lain, berzikir atau bertasbih dengan jari didapati sangat efektif dalam terapi psikologi.

“Terdapat satu kajian di Indonesia membuktikan bahawa amalan berzikir menggunakan jari kanan didapati berupaya meningkatkan kemampuan kognitif pesakit skizofrenia,” jelas beliau mengakhiri bicara.

Sesungguhnya, terdapat banyak kelebihan berzikir dan bertasbih dengan jari. Fadilatnya bukan calang-calang. Sebagai hamba ALLAH SWT, selayaknya kita wajib mengingati-NYA yang menciptakan segala makhluk sekalian alam.

Justeru, walau sesibuk mana pun, latih diri agar sebati dengan amalan mulia itu. Paling tidak pun, lakukanlah pada setiap kali selepas menunaikan solat atau sebelum tidur sebagai ‘pemberat amal’ untuk kita pada hari perhitungan kelak.

ANEKDOT

Kelebihan dan ganjaran berzikir

– Pemberat amal.

Iklan

– Memperoleh keampunan ALLAH SWT.

– Mengurangkan tekanan dan kepenatan.

– Disukai oleh ALLAH SWT.

– Menyucikan hati.

– Penyelamat daripada azab ALLAH.