PEGUAM Syarie dari Tetuan Wan Rosmawai & Associates, Wan Rosmawati Wan Ali berkata, lafaz cerai melalui WhatsApp dikategorikan sebagai lafaz cerai kinayah, sama ada ia (lafaz) jelas atau tidak.

Ujar Wan Rosmawati, berdasarkan undang-undang syariah, untuk mensabitkan lafaz cerai sah atau tidak, perlu merujuk kepada niat si mati atau orang yang melafazkan cerai tersebut atau sekurang-kurangnya si mati telah menzahirkan lafaz tersebut secara lisan di hadapan saksi-saksi.

“Di mahkamah syariah, lafaz cerai yang dibuat seumpama ini memerlukan pengakuan suami.

“Lafaz cerai tidak disabitkan sah jika suami tidak mengaku dan mengatakan tiada niat, hatta telah menulis ‘aku ceraikan kau‘ dan kemudian terus menghantar mesej itu menerusi WhatsApp kepada pasangan,“ terang beliau ketika dihubungi baru-baru ini.


Dalam kes di antara Syazwan Abdillah dan Fadilah Mohd (kedua-duanya bukan nama sebenar), peguam syarie itu menjelaskan, terdapat sedikit keraguan memandangkan mesej tersebut tidak menggambarkan bahawa Ali benar-benar menceraikan Fadilah.

Kebiasaannya di mahkamah, suami akan disiasat sama ada setelah menaip lafaz cerai tersebut, dia ada membaca semula dengan lisan lafaz ditaip tersebut sebelum menekan butang hantar atau sama ada suami membaca sambil menaip lafaz tersebut dan kemudian terus hantar. Penting untuk mengetahui pengakuan suami itu kerana menjadikan lafaz yang dihantar sah atau sebaliknya. Ini kerana lafaz yang ditulis dan dibaca kemudian dihantar sah, meskipun suami menafikan berniat semasa hantar lafaz tersebut,“ katanya.

 

BACA kes mahkamah antara Syazwan Abdilah dan Fadillah Mohd (bukan nama sebenar) dengan klik di sini Suami sempat tulis lafaz cerai kepada isteri kedua melalui WhatsApp sebelum meninggal dunia

Iklan

Wan Rosmawati menambah, suami memainkan peranan sangat penting dalam hal-hal sebegitu kerana kesan yang akan ditinggalkan kepada waris-waris yang sah adalah bergantung kepada tindakan yang dibuat olehnya.

“Justeru dalam kes ini, Fadilah selaku isteri kedua masih lagi waris yang sah kepada Ali, melainkan mahkamah mengesahkan lafaz yang dibuat oleh Syazwan kepada isteri kedua sah dan jatuhkan talak. Kesilapan yang dilihat kecil, tetapi memberi impak begitu besar dalam kehidupan waris,“ ujarnya.

Iklan

 


Sementara itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menulis dalam ruangan Al-Khafi li al-Fatawi: 1014 bertajuk Cerai Menggunakan Aplikasi WhatsApp berkata, talak yang dilakukan dengan menggunakan alat komunikasi moden (seperti Whatsapp) adalah kaedah yang tidak menepati adab penceraian yang digariskan syarak.

Hal itu kata beliau, bertepatan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-59 yang menyatakan bahawa talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan kepada isterinya secara khusus seperti melalui faksimili, pesanan ringkas, e-mel dan sebagainya adalah talak secara kinayah. Ia sah sekiranya disertai dengan niat.