Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

TAHUN 1984 melakar sejarah baharu buat Malaysia. Ketika itu, institusi perbankan Islam pertama di negara ini ditubuhkan yang dikenali sebagai Bank Islam Malaysia Berhad.

Pun demikian, orang awam masih lagi sama-samar dengan penubuhannya pada masa itu. Boleh dikatakan tidak ramai yang jelas tentang perbankan Islam apalagi kewangan Islam dalam konteks yang lebih luas.

Ditambah pula, pakar dalam bidang kewangan Islam terhad. Masakan tidak, ketika itu, belum ada lagi program dalam bidang kewangan Islam ditawarkan baik di kolej ataupun di universiti.

Kini, selepas hampir empat dekad berlalu, saya yakin sudah ramai yang mempunyai pengetahuan tentang kewangan Islam termasuk kewujudan perbankan Islam, takaful dan pasaran modal berasaskan agama suci ini.

Malah, banyak institusi pendidikan tinggi menawarkan program berkaitan dengan kewangan Islam. Begitu juga dengan institusiinstitusi yang menawarkan pelbagai latihan dan kursus berkaitan.

Dari segi produk yang bersifat Islamik pula, memang diakui tidak banyak bank yang menawarkan produk sebegitu waima syarikat takaful sendiri. Apalagi produk-produk pasaran modal Islam yang terhad. Namun begitu, semua yang kelihatan canggung pada suatu masa dahulu, tetapi tidak lagi pada masa kini. Sudah ada banyak pilihan di depan mata.

Bahkan, bilangan pakar bidang kewangan Islam pun semakin bertambah tahun demi tahun. Rata-rata kepakaran individu hebat dalam bidang berkenaan sejak tahun 1980-an lagi banyak menyumbang kepada pembangunan kewangan Islam di Malaysia.

Alhamdulillah, pada hari ini kita sudah boleh menarik nafas lega kerana berupaya memilih sama ada hendak beralih kepada kewangan Islam atau untuk kekal setia dengan kewangan konvensional.

Produk kewangan Islam

Malaysia memang mengamalkan dwisistem kewangan iaitu kewangan Islam dan kewangan bukan Islam berjalan serentak. Disebabkan itu, masih ada sebilangan umat Islam di Malaysia yang masih kekal dengan perbankan konvensional.

Barangkali mereka malas untuk menukar akaun simpanan atau pelaburan masingmasing kepada akaun perbankan Islam. Ia mungkin kerana sudah selesa dengan apa yang sudah menjadi kebiasaan mereka selama ini.

Iklan

Pada pandangan saya, kita sebagai umat Islam wajib berpegang kepada apa yang telah dijelaskan dalam al-Quran dan hadis tentang pengharaman riba. Jangan sesekali ambil mudah tentang riba.

Sewajarnya kita sama-sama memberi sumbangan untuk mengembang dan membangunkan lagi perbankan Islam di Malaysia dengan cara membuka akaun di institusi kewangan Islam.

Pada mata kasar, mungkin sumbangan kita itu dianggap kecil, tetapi sokongan daripada semua umat Islam di Malaysia sangat bernilai sebenarnya.

Bayangkan jika seluruh umat Islam di Malaysia memberi dukungan padu kepada produk perbankan Islam, produk takaful dan pasaran modal Islam. Saya yakin suatu hari nanti kewangan Islam akan menguasai pasaran kewangan di Malaysia. Ia merupakan satu jihad yang perlu diberi perhatian oleh seluruh umat Islam di negara ini.

Ketahuilah, jihad itu tidak terhad kepada medan peperangan sahaja. Bahkan, menyelamatkan diri dan seluruh umat Islam daripada sistem riba juga dikira sebagai satu jihad. Sekecil mana pun sumbangan kita, saya yakin, ada imbalan yang bakal ALLAH SWT kurniakan kepada hamba-hamba-NYA.

Produk kewangan Islam
JAUHI riba dan bertukarlah kepada produk dan perkhidmatan berteraskan Islam yang pastinya berteraskan al-Quran serta as-Sunnah.

Justeru, marilah kita sama-sama berusaha sedaya upaya untuk memberi sokongan kepada produk-produk kewangan Islam. Sekurangkurangnya kita bermula dengan membuka akaun simpanan atau akaun pelaburan dalam institusi kewangan Islam yang sudah banyak bertapak di Malaysia sekarang.

Misalnya, jika ingin membeli kereta atau rumah dan sebagainya, pastikan kita mengambil takaful dan bukannya insurans konvensional bagi melindungi aset kita apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini. Jika kita ingin melabur pula, pilihlah pelaburan berkonsepkan Islamik.

Iklan

Semoga sokongan kita kepada produk dan perkhidmatan kewangan Islam itu akan menpercepatkan lagi penguasaan kewangan Islam terhadap pasaran kewangan di Malaysia.

***Dr Shamsiah Mohamad ialah Ahli Jawatankuasa Syariah Persatuan Institusi Perbankan Malaysia, Panel Penilai Syariah di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Ahli Majlis Penasihat Syariah di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara Malaysia & Ahli Jawatankuasa Syariah Bursa Malaysia

Foto: Freepik & Bernama