Kaabah diangkat ke langit menjelang kiamat

Kiamat
April 3, 2020

KISAH tentang Yaumul Khalash iaitu Hari Pembersihan banyak dicatatkan. Ia ada kaitannya dengan Dajal, makhluk perosak yang akan ‘menghuni’ bumi sebelum hari kiamat.

Menyoroti peristiwa berkenaan, Dajal tidak akan dapat memasuki Kota Suci Makkah dan Madinah.

Iklan

Menerusi kenyataan media Bahagian Kandungan TV Alhijrah, kisah masyhur menyebut bahawa di setiap penjuru jalan di Madinah, akan ada malaikat-malaikat yang akan menjaganya supaya tanah haram berkenaan tidak dibolosi makhluk berkenaan.

“Ketahuilah bahawa Dajal hanya boleh tinggal di luar bandar sahaja. Maka, terjadilah goncangan hebat tiga kali yang akan menyebabkan kaum munafik dan orang fasik sama ada lelaki atau perempuan keluar dari kota.

“Yang tinggal dalam Kota Madinah hanyalah orang Muslim dan Mukmin lelaki serta wanita. Itulah yang disebutkan sebagai Yaumul Khalash,” kata kenyataan tersebut kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Iklan

Meskipun Dajal menguasai ketika itu, namun kenyataan itu menyebut, Kota Madinah tetap mempunyai ramai penduduk ketika datangnya Nabi Isa AS.

“Sehinggalah baginda AS wafat dan dikebumikan di sana, barulah penduduk Madinah akan keluar meninggalkan kota. Kemudian, dikatakan setelah Kaabah runtuh buat kali ketiga, Kaabah akan diangkat ke langit.

“Tiga kota Suci iaitu Baltulmaqdis, Makkah dan Madinah akan hancur sepertimana yang pernah disebutkan oleh Rasulullah SAW. Baginda juga memberikan gambaran bahawa tanah-tanah suci tersebut akan dibangunkan semula,” kata kenyataan tersebut.

Meneruskan kesinambungan topik ‘Hancurnya Kaabah’ pada minggu lalu, rancangan Al-Qariah akan memperincikan bahagian 2 tajuk berkenaan dalam episod 14 pada jam 7.30 malam ini.

Untuk mengetahui perinciannya, sama-samalah kita saksikan rancangan yang menampilkan panel Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim dan Ustaz Roslan Mohamed itu. Ia bakal dihoskan oleh Amin Idris.

USTAZ ABDULLAH BUKHARI (kiri) dan Ustaz Roslan akan mengupas topik ‘Hancurnya Kaabah’ bahagian 2 dalam rancangan Al-Qariah jam 7.30 malam ini di TV Alhijrah.

Al-Qariah antara lain membincangkan tanda-tanda besar kiamat yang mula bersiaran sejak 3 Januari lalu selama 16 episod.

​​​​​​​Pada masa sama, jangan lepaskan peluang untuk menyertai kuiz dianjurkan dan menangi hadiah yang ditawarkan.

Caranya mudah sahaja dengan mengumpulkan soalan dan jawapan daripada setiap episod selama 16 episod sehingga 17 April ini.

Semua jawapan dan butiran lanjut dikehendaki hendaklah dihantar kepada pihak penganjur.

About Nurulfatiha

Biodata Penulis