SETIAP orang pasti mempunyai kisah silam tersendiri. Adakalanya kenangan lama itu melibatkan kisah hitam hingga sukar dilupakan.

Namun, untuk menceritakan aib diri kepada orang, tidak sama sekali. Apa tidaknya, Islam melarang umatnya membuka aib tidak kiralah aib orang lain mahupun diri sendiri.

Meskipun demikian, kadangkala masa lalu menggamit kenangan pahit hingga terbawa-bawa ke hari ini. Apatah lagi jika kita pernah melakukan kesilapan dan dosa kepada individu lain.

Barangkali ada dalam kalangan kita pernah menyakiti hati kenalan sendiri hingga mengaibkannya. Tidak semena-mena tindakan kita membuatkannya hilang pekerjaan suatu ketika dulu.

Baca juga Jangan sesekali buka aib diri dan orang lain. ALLAH SWT tutup segala cela manusia, tak wajar kita dedahkannya

Malangnya, tatkala kemaafan mahu dipohon, insan tadi pula sudah meninggal dunia. Bagaimanakah caranya untuk kita meminta maaf kepada orang yang sudah tiada?

Pendakwah Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da’i Fuad menjelaskan, dosa sesama manusia sangat sukar untuk diselesaikan berbanding apabila melibatkan dosa dengan ALLAH SWT. Masakan tidak, ALLAH SWT MAHA PEMAAF.

DA’I FUAD

“Andai kata, individu yang kita berhutang sama ada ‘hutang’ maaf atau duit sudah meninggal dunia, maka wajib bagi kita untuk mencari kerabat si mati sehabis ikhtiar.

“Antaranya menerusi platform media sosial, menjejaki rumahnya dan sebagainya sehingga kita dapat berjumpa dan meminta maaf dengan mereka. Mohonlah mereka supaya menerima diri kita dan melupakan segala-galanya jika mampu,” katanya.

Iklan

Seperkara lagi, ujar Da’i Fuad, para ulama berpesan, tidak salah kita melakukan infak atau wakaf atas nama individu berkenaan walaupun sudah meninggal dunia.

Minta maaf kepada orang sudah meninggal
BERISTIGHFAR dan memohon taubat daripada ALLAH SWT untuk diri sendiri dan si mati antara satu kaedah yang diajar dalam Islam.

“Bukan itu sahaja, mohonlah taubat daripada ALLAH SWT untuk diri kita dan si mati yang pernah dianiaya. Ucapkanlah Astaghfirullah lil mukminina wal mukminat pada setiap hari.

Iklan

“Seandainya individu yang pernah kita aniaya tadi dibuang kerja dan meninggal dunia, maka tidak salah untuk menolong ahli keluarganya. Ziarah balu, anak-anak dan ahli keluarganya serta membantu mereka mengikut kemampuan.

“Akhir sekali, serahkan segala usaha dan ikhtiar kita tadi kepada ALLAH SWT supaya DIA akan mengampunkan dosa berkat kita berbuat baik kepada kerabat si mati,” katanya.

Foto: Freepik & 123rf