Iklan

Kalau kurang ajar dengan guru, hidup tak akan berjaya tanpa doa mereka

Guru
March 6, 2020
Nurulfatiha

“JANGAN kurang ajar dengan guru, tak berkat nanti ilmu tu.”

Ayat itu seringkali kita dengar daripada orang di sekeliling, bukan? Namun, sejauh manakah pernyataan itu?

Iklan

Berbicara tentang keberkatan ilmu ini, ingatan penulis terarah kepada satu kisah benar sepertimana yang dikongsikan oleh rakan penulis sebelum ini.

Ceritanya berkisar tentang seorang pelajar cemerlang dalam akademik, namun terkandas ketika mencari pekerjaan. Walaupun bertahun-tahun mencari pekerjaan yang secocok dengan kelulusannya, namun entah di mana silapnya, lelaki itu tetap gagal.

Bahkan, rakan sekuliahnya yang mempunyai keputusan biasa-biasa pula ditawarkan bekerja tetap dengan jawatan tinggi dan gaji yang lumayan. Sementelah, jejaka itu pula hanya mampu memperoleh kerja secara kontrak sahaja.

Iklan

Puas dicari kekhilafan diri, akhirnya terlerailah segala kekusutannya. Seingatnya, dia pernah ‘melawan’ gurunya ketika di bangku sekolah rendah dan menengah. Ya, anak muda tadi pernah ‘ponteng’ kelas. Walaupun berkali-kali dinasihati oleh gurunya, namun dia tidak makan ‘saman’.Barangkali itulah kifarah anak muda tersebut.

Kisah itu memerihalkan tentang impak perilaku seorang pelajar terhadap gurunya. Itu menunjukkan betapa pentingnya adab ketika menuntut ilmu.

Untuk mendapat keberkatan ilmu, beberapa perkara perlu dijaga termasuklah hubungan antara guru dengan anak murid.

Dalam kes terbaharu, tular tentang video seorang ibu ‘mendenda’ guru kepada anak muridnya. Ya, kes itu sudah selesai.

Akan tetapi, persoalan berkisarkan adab menuntut ilmu masih tidak bernoktah. Apakah adab sepatutnya seorang pelajar terhadap gurunya? Benarkah sikap ibu bapa murid kepada guru turut mempengaruhi keberkatan ilmu anak mereka?

Insan dihormati

Bagi mendasari topik itu, Sinar Islam mendapatkan pandangan pendakwah Ustaz Hadi Talhah untuk mengupas lanjut mengenainya.

Guru
USTAZ HADI

Jelas beliau, untuk memperoleh keberkatan ilmu, seorang pelajar atau murid perlu menjaga adab dengan gurunya. Ketika guru sedang mengajar, mereka tidak dibenarkan untuk bercakap, bermain atau melakukan perkara lain.

“Dalam Islam, guru ialah insan yang sangat dihormati. Tapi, apa yang berlaku di surau atau masjid kebelakangan ini, apabila guru bercakap (ketika kuliah), anak-anak murid pula sibuk bermain telefon bimbit, duduk bersembang dan sebagainya. Tindakan itu tidak beradab.

“Sedangkan, guru sepatutnya diberi penghormatan. Antara adab dengan guru ialah kita mendoakan insan yang telah mengajar kita dan memberi bantuan jika mereka meminta pertolongan,” katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Baik muda ataupun tua guru berkenaan, ujar beliau, mereka yang bergelar guru itu perlu dihormati kerana ilmu yang dimiliki mereka.

Beliau turut mengambil contoh kisah Saidina Umar al-Khattab yang mana khalifah Islam kedua itu begitu menghormati Abdullah bin Abbas kerana ilmunya.

“Abdullah bin Abbas atau Ibnu Abbas itu seorang yang berilmu walaupun usianya muda iaitu seperti pangkat anak kepada Saidina Umar ketika itu. Namun, Umar begitu menghormatinya kerana ilmu yang dimilikinya.

“Ini kerana Nabi Muhammad SAW mendoakan Abdullah: ‘Ya ALLAH ya Tuhan, ENGKAU berilah kepadanya kefahaman dalam agama dan ajarkannya ilmu tafsir’. Maka, sebab itu Ibnu Abbas sangat alim dalam bidang tafsir al-Quran.

“Andai kata Umar ada masalah apa-apa termasuklah perihal agama, Abdullah bin Abbas inilah antara individu yang dirujuk olehnya walaupun beliau masih muda. Begitu tawaduknya Umar dengan orang yang ada ilmu,” jelas beliau.

Justeru, Ustaz Hadi menitipkan pesan agar kita tidak sesekali melupakan jasa guru walaupun sudah berjaya kelak. “Sebaiknya, ziarahi mereka dan bawa buah tangan. Itu semua ajaran Islam kerana jasa mereka tidak mampu dibalas,” katanya.

Ilmu ibarat cahaya

Berkongsi ilmu tentang keberkatan ilmu, jelas agamawan itu, ilmu ibarat cahaya.

Guru
BAIK muda atau sudah berusia guru yang mengajarkan kita, mereka tetap perlu dihormati kerana ilmu yang ada padanya.

Beliau turut mengajak kita menyoroti kisah Imam Syafie yang ternampak aurat seorang wanita sehingga menyebabkan hafalannya hilang dan sukar untuk menghafaz.

Lalu, beliau mengajukan kepada gurunya tentang perkara itu. Lantas, gurunya memberitahu: “Sesungguhnya ilmu itu cahaya dan cahaya ALLAH tidak diberi kepada orang yang melakukan maksiat”.

“Ini bermakna, untuk memperoleh keberkatan ilmu itu, seseorang perlu menjaga dirinya daripada melakukan maksiat. Jika tidak, ilmu itu akan hilang. Bandingan maksiat dengan dosa yang dilakukan seseorang itu sebenarnya penyebab kepada ilmu atau hafalan itu hilang.

“Selain itu, untuk mendapatkan keberkatan ilmu, seseorang itu perlu mengamalkan ilmu yang diperoleh. Jika tidak diamalkan, ilmu tadi tidak akan jadi apa-apa sepertimana kata pepatah Arab ‘Ilmu tanpa amal seperti pokok tanpa buah’,” jelas beliau.

Kepada satu soalan, Ustaz Hadi menjelaskan, tindakan segelintir ibu bapa yang tidak beradab dengan guru tidak akan menjejaskan keberkatan ilmu yang diperoleh oleh anak mereka.

“Ia selagi mana anak-anak mereka tidak bersifat kurang ajar dengan guru dan menghormati guru mereka,” tegasnya.

Rasulullah SAW bersabda: “Jadikanlah dirimu orang yang alim (mengajarkan dan mengamalkan ilmu) atau orang yang menuntut ilmu (belajar) atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama, ataupun orang yang mencintai (ketiga-tiga golongan tersebut). Dan janganlah engkau sekali-kali menjadi golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.” (Riwayat al-Bazzar)  

Apa pun, beliau menasihatkan kita agar istiqamah dalam menuntut ilmu dan memelihara perilaku dengan guru.

“Seperkara lagi, duduklah di barisan paling hadapan atau dekat dengan guru untuk memperoleh ilmu yang berkat. Sebaiknya, bawalah kitab dan pen sekali ketika menuntut ilmu,” jelas beliau.

Doa guru

Sementara itu, pendakwah Ustaz Bakhtiar Fitri Abdul Hamid memperincikan tentang natijah apabila seseorang pelajar bersikap biadab terhadap gurunya.

Guru
USTAZ BAKHTIAR FITRI

Ujar beliau, sepandai mana seseorang pelajar itu, jika pernah bersikap biadab dengan gurunya, hidupnya tidak akan berjaya tanpa doa daripada insan yang telah memberikan ilmu kepadanya.

“Hakikatnya, kita berjaya kerana doa daripada guru yang menjadi salah satu penyumbang terbesar. Sebab itulah kedudukan guru dalam Islam sangat dipandang tinggi.

“Malangnya ada segelintir pelajar dan ibu bapa mereka pula merendah-rendahkan martabat guru. Walaupun guru ada kesilapan, jangan sampai kita merendah-rendahkan martabatnya dan melupakan jasanya,” kata beliau ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

Agamawan itu menegaskan, pekerti biadab dan barakah tidak boleh ‘duduk’ pada satu tempat yang sama. Keberkatan sangat berkait rapat dengan kemuliaan dan kehormatan.

“Antara impak anak murid biadab dengan gurunya, dia gagal dalam hidupnya kerana tiada barakah daripada insan yang mengajarkannya ilmu tadi,” katanya.

Ustaz Bakhtiar Fitri yang juga Perunding Utama Nadi Ilmu Training Management turut menegur sikap sebilangan ibu bapa yang adakalanya ‘campur tangan’ dalam urusan guru mendidik anak mereka.

“Apabila kita menghantar anak ke sekolah umpamanya, ia ibarat kita sudah bersetuju dengan undang-undang di sekolah berkenaan. Ibu bapa perlu mematuhinya dan menyerahkan urusan anak-pendidikan anak-anak di bawah seliaan guru.

“Ingatlah bahawa walaupun hanya anak kita yang belajar dengan guru, tetapi sebagai ibu bapa, kita juga sepatutnya menunjukkan rasa hormat kepada mereka,” ungkapnya.

Sebesar mana pun kesilapan guru, beliau menasihati supaya ibu bapa menegurnya secara berhemah mengikut lunas yang disediakan. Kenang kebaikan yang banyak dilakukan kepada anak sendiri.

“Dengan sebab guru itulah anak kita pandai berdoa, berwirid dan membaca al-Quran. Malah, guru jugalah yang mengajar anak kita pandai mendoakan ibu bapa mereka,” ujar beliau.

Tambah beliau, menjadi tugas ibu bapa untuk mengajar anak masing-masing supaya menghormati guru mereka.

“Antara adab murid dengan guru adalah pelajar tidak boleh memburuk-burukkan atau menghina guru,” jelas beliau.

Apa yang Sinar Islam dapat simpulkan, keberkatan ilmu itu begitu penting tidak kiralah dalam pendidikan formal atau tidak. Ia bagi memastikan ilmu yang diperoleh itu diredai oleh ALLAH SWT.

About Nurulfatiha

Biodata Penulis